SERI KEMBANGAN – Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Hj Badlishah Sham Baharin menggesa para aktivis IKRAM supaya meningkatkan usaha membimbing masyarakat melalui pelbagai aktiviti yang bermanfaat.
Beliau berkata demikian ketika persidangan Dewan Persidangan Nasional (DPN) kali ke-12 bagi sesi 2022-2026 pada Sabtu, 16 November lalu dan melahirkan keyakinan bahawa para aktivis IKRAM mampu melakukannya.
Tambahnya, beliau dan Ahli Jawatankuasa Pusat (JKP) sedang mengadakan lawatan kepada ahli-ahli IKRAM untuk merapatkan ukhuwah dan setakat ini telah melawat sembilan negeri iaitu Melaka, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Putrajaya, Johor, Sabah dan Negeri Sembilan.
Melalui lawatan yang diadakan, beliau berasa bangga mendengar mengenai pelbagai aktiviti IKRAM di negeri dan kawasan untuk masyarakat, namun menyarankan agar usaha tersebut dapat dipertingkatkan dan diperluaskan.
Gesaan beliau agar ahli-ahli IKRAM aktif membimbing masyarakat dengan lebih luas supaya mereka terlibat dalam pelbagai perkara bermanfaat dan mesej Islam sebagai agama yang rahmah dan wasatiyah (sederhana dan cemerlang) dapat disampaikan dengan lebih mudah dan berkesan.
Persidangan DPN adalah dewan syura tertinggi dalam IKRAM melibatkan 121 orang ahli, yang diadakan secara berkala bagi membincangkan pelbagai gerak kerja IKRAM melibatkan aktiviti dakwah, tarbiah, khidmat dan islah untuk masyarakat dan negara.
DPN Sesi 2022-2026 dikendalikan oleh Yang Dipertua, Prof. Ir Dr Ts. Mohd Rizal Arshad, Timbalan Yang Dipertua, Dr Muhammad Munawar Mohamed Hatta dan Setiausaha, Pn Maryam Jailani.
Menurut Penolong Setiausaha Agung IKRAM, En. Khubaib Azahari yang berucap melaporkan aktiviti semasa DPN, bilangan ahli IKRAM meningkat kepada 29,710 orang pada tahun ini dan masih kekal dengan cawangan 15 negeri dan 103 kawasan di seluruh negara.