Qadhiah Palestin (Persoalan Palestin) adalah isu yang paling jelas yang tidak ada sebarang khilaf tentangnya. Isu Palestin adalah isu usul bukan isu furu’ atau pecahan dan ranting. Ia adalah isu yang menimbulkan kekuatan bagi umat ini sehingga umat ini bangkit dengan satu kehendak yang kuat untuk membebaskan tanah suci Baitul Maqdis. Ia adalah isu akidah bukan isu fiqh atau isu siasah. Ia adalah isu ummah. Tidak ada isu yang lebih besar dari isu Palestin yang kembali menyatukan umat ini setelah mereka terpecah pada pelbagai kelompok dan kecenderungan.
Siri 1 – Isu ‘Tidak ada jihad di Palestin’
Saya akan cuba ulas dalam beberapa siri wall post. Saya mulakan dengan persoalan yang paling asas.
1. Dalam semua isu samada kecil atau besar, al-Quran dan hadis tetap menjadi pegangan dan panduan. Berkaitan Baitul Maqdis atau entiti politiknya Palestin pada hari ini, Al-Quran sudah menggariskan kedudukannya sebagai ‘barakna haulahu’ atau ‘barakna fiha’ (pada 4 tempat di dalam Al-Quran) iaitu ‘bumi yang diberkati di sekelilingnya’ atau ‘bumi yang diberkati padanya’.
Ia adalah bumi Isra’ sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran pada surah al-Isra ayat yang pertama. Ia adalah bumi anbiya’, tempat di mana para Rasul diutus. Ia adalah bumi yang muia dan penduduk nya adalah penduduk yang dimuliakan sebagaimana yang disebut oleh Nabi SAW dalam beberapa hadisnya berkaitan Asy-Syam (negeri Syam).
Jika mana-mana bahagian dari negara Islam menjadi sasaran pencerobohan musuh-musuh Islam, maka jihad menjadi kewajipan kepada umat Islam di negara tersebut untuk mempertahankannya. Jika umat Islam di negeri tersebut tidak berkemampuan, maka mereka wajib di tolong oleh umat Islam dari tempat-tempat yang berhampiran.
Jihad menjadi satu kewajipan yang tidak boleh diengkari. Sekiranya bumi umat Islam itu ditawan maka menjadi kewajipan umat Islam seluruhnya untuk memerdekakannya dari belenggu musuh-musuh tadi.
Jika itulah kedudukan jihad dalam mana-mana wilayah Islam, bagaimana pula halnya dengan tanah suci yang menjadi milik seleruh umat Islam. Bahkan tanah suci al-Quds sudah diisytiharkan sebagai tanah wakaf yang menjadi milik seluruh umat Islam di jagat raya ini. Apabila tanah suci itu diceroboh dan dijajah, tidakkah ia merupakan satu kewajipan bagi umat Islam di seluruh dunia untuk membebaskannya?
Apakah jalan untuk membebaskan bumi suci Baitul Maqdis dan Palestin yang sedang terjajah selain dari mengisytiharkan jihad dan mengangkat senjata untuk mengusir musuh-musuh Islam (bahkan musuh Allah) yang telah melakukan begitu banyak kerosakan dan mencemarkan kesucian tanah suci al-Quds?
Dalam keadaan wilayah umat Islam yang berjiran perlu dibebaskan dari cengkaman musuh jika ia ditawan atau diceroboh, inikan pula tanah suci yang bukan milik ekslusif umat Arab atau rakyat Palestin bahkan milik seluruh umat Islam tanpa kecuali yang mempunyai hak samarata untuk memelihara tanah wakaf umat Islam itu.
Siri 2 – Isu ‘Tidak ada jihad di Palestin’
Setelah kita melihat kedudukan Baitul Maqdis dan Bilad-us-Syam dari perspektif al-Quran, mari kita lihat pula kedudukan jihad di bumi barokah itu dari sumber-sumber hadis Nabi SAW.
Beberapa hadis boleh dikemukakan untuk menunjukkan bahawa Baitul Maqdis dan kawasan sekitarnya adalah bumi ribat (bumi berkubu dalam peperangan). Nabi SAW dengan jelas menggambarkan kedudukan Muslim yang berada pada pos masing-masing di Baitul Maqdis. Mereka berada di dalam ribat. Makna hadis lebih kurang membawa maksud “Mereka, isteri mereka, anak mereka dan pembantu mereka tetap berada di dalam ribat (kubu) sehinggalah mereka dimenangkan oleh Allah SWT”.
Ada beberapa hadis yang berkaitan jihad di Syam dan sekitarannya . “Akan ada di kalangan umat ku mereka yang berjihad di Baitul Maqdis dan akan ada di kalangan umat ku mereka yang berjihad di Damsyik dan mereka tidak dapat dilemahkan oleh pengkhianatan golongan yang berkhianat”.
Sebuah hadis yang masyhur jelas menunjukkan bahawa kemanangan adalah memihak kepada Muslimin yang berjuang di Baitul Maqdis: “Akan ada umat ku yang berjuang melawan musuh-musuh mereka. Musuh mereka tidak boleh memudaratkan mereka sehingga Allah memberi kemenangan kepada mereka. Ditanya oleh sahabat, “Di mana mereka itu ya Rasulullah SAW?” Dijawab Nabi: “Mereka itu berada di Baitul Maqdis dan di sekitarnya”.
Hadis-hadis ini dengan jelas menunjukkan bahawa jihad adalah ciri al-Quds. Jihad adalah nadi yang akan terus berdenyut sejak zaman berzaman sehingga Allah SWT memberi kemenangan kepada Muslimin. Bahkan melalui jihadlah Allah memenangkan kaum Muslimin di Baitul Maqdis sepanjang sejarah.
Melalui jihad di medan-medan Mu’tah, Yarmouk dan Ajnadain akhirnya Baitul Maqdis di buka oleh Umar al-Khattab pada tahun 637 M. Melalui jihad qital jugalah Baitul Madis dipertahan, diambil semula dan dipertahan lagi dari asakan tentera salib dari tahun 1087 – 1190. Melalui jihad jugalah tentera Monggol dikalahkan di Ain Jalut dalam siri-siri pertempuran yang sengit pada tahun 1258.
Dengan jihad juga armada Fransisca De Almeida dan Afonso D Albuqueque dikalahkan di Jedah lalu mematahkan hasrat kuasa imperialis Portugis untuk menuju Baitul Maqdis dari laluan Mekah dan Madinah. Dengan jihad juga Bumi Palestin di pertahankan dalam siri menang-kalah yang silih berganti pada kurun ke-20 ini sejak dari tahun 1922 hingga 1935, 1948, 1956, 1967, 1973, 1987 (intifadah) dan dari tahun 2000 hingga 2012 (yang diterajui oleh HAMAS).
Apakah kita hendak menafikan bahawa bumi Palestin dipertahan dan dibela dengan jihad selama ini? Bahkan jihad pada fasa terkini jelas menunjukkan umat menuju kemenangan. Seolah-olah segala cerita duka yang bermula sejak tahun 1914 kini berputar balik 180 darjah apabila berlaku siri-siri kebangkitan umat pada tahun 2011 – 2012.
Perubahan ini tidak berlaku sekelip mata. Ia adalah kemenangan yang dibina dari asas kekuatan jihad oleh watak-watak seperti Izzuddin al-Qassam, Al-Haj Amin Husaini, asy-Syahid Hassan al-Banna, asy-Syahid Syeikh Ahmad Yaasin, asy-Syahid Dr Abd Aziz Rantisi, asy-Syahid Yahya Ayyash, dan terkini asy-Syahid Ahmad Ja’bari. Di kalangan mereka yang masih teguh berjihad dan sedang menunggu giliran mereka seperti Ismail Haniyeh, Syeikh Abdul aziz Duweik, Khaled Mish’al, Mahmud Zahar dan lain-lain.
Mereka adalah saksi kepada hadis-hadis Nabi tentang jihad di bumi Al-Quds. Siapakah yang lebih benar dalam persaksian terhadap hadis-hadis ini selain daripada yang menghayati hadis tersebut lalu membuktikan akan kebenarannya samada dengan syahid atau menang?!
Siri 3 – Boikot kerja bodoh?
Ada orang kata boikot kerja bodoh! Dan orang Islam baru nak boikot dan bila boikot bermusim pula…
Boikot barangan atau syarikat yang memberi sokongan kewangan kepada Israel semakin rancak pada tahun 2000 apabila pecahnya Intifadah Al-Aqsa, apabila 2000 tentera rejim Zionis di bawah pimpinan Ariel Sharon mencerobohi dan mencemarkan masjid al-Aqsa.
Prof Dr Yusuf al-Qardhawi mengeluarkan fatwa: “Setiap dinar yang dibelanjakan untuk membeli produk yang menyokong Israel bererti satu peluru yang akan menembusi dada anak-anak kita di Palestin”.
Pandangan ini disokong oleh Ulama Azhar dan juga ulama-ulama Indo-Pakistan. Semenjak itu gerakan Islam dan NGO-NGO yang memperjuangkan isu pembebasan Palestin mempopularkan kempen boikot barangan yang menyokong ekonomi Israel.
Sebenarnya boikot dengan Zionis-Israel ini sudah diisytiharkan sejak awal lagi sebelum berdirinya negara Israel, iaitu ketika lobi Zionis berusaha gigih untuk mendirikan negara Israel di Parlimen British dan kemudian melalui PBB. Al-Haj Amin Husaini, mufti Palestin telah memanggil satu ijtimak ulama dari seluruh Timur Tengah, Afrika Utara dan sub-kontinen India untuk menghalang proses transaksi penjualan tanah kepada pendatang Zionis di Palestin.
Ijtimak ini kemudiannya memutuskan satu fatwa yang amat tegas iaitu memulau orang-orang Islam yang menjual tanah mereka kepada pendatang Yahudi. Ini termasuklah mereka yang menjadi broker, memudahkan urusan jual beli, mendapat sebarang keuntungan darinya termasuk komisen atau redha sekalipun. Mereka ini bukan sahaja dipulau bahkan butiran fatwa menggariskan mereka:
1. Putus hubungan silaturrahim sesama keluarga termasuk ibu bapa, anak-anak dan adik beradik. Sekiranya mereka berkahwin maka fasakhlah hubungan di antara suami dan isteri.
2. Jika mereka meninggal jenazah mereka tidak boleh disempurnakan sebagai mana yang selayaknya ke atas jenazah orang Islam dan tidak boleh dikebumikan di tanah perkuburan Islam.
(Fatwa ini diwartakan pada 26 Januari 1935M).
Sesiapa yang menganggap usaha boikot adalah sia-sia maka ia sebenarnya telah difatwakan dalam bentuk yang amat tegas iaitu sesiapa yang berurus niaga dengan Yahudi yang memusuhi Islam (di Palestin, berniat untuk menguasai bumi Palestin), maka mereka bukan sahaja dipulau bahkan boleh diisytiharkan keluar dari Islam! Fatwa ini masih sah dan tidak pernah ditarik balik sejak 77 tahun yang lalu.
Mari kita lihat pula pendekatan Zionis dalam memerangi rakyat Palestin. David Ben Gurion, Perdana Menteri negara haram Israel yang pertama berkata:
“Saya pertahankan gesaan supaya suri rumah (Yahudi) tidak membeli dari kedai-kedai Arab, untuk pertahan sikap kami (Yahudi) berkawal di kebun-kebun untuk menghalang pekerja Arab dari mendapat pekerjaan, untuk mencurah kerosene (minyak tanah) ke atas tomato yang ditanam oleh orang Arab, untuk menyerang suri-suri rumah Yahudi yang di pasar-pasar dan memecahkan telur-telur yang mereka beli dari kedai-kedai Arab.”
Nah! Ketika kita merasakan boikot adalah kerja bodoh (walaupun ianya diseru oleh para ulama yang jelas, bahkan dengan implikasi yang lebih tegas), ‘kerja bodoh’ inilah yang digunakan oleh musuh-musuh (Zionis) dengan sungguh-sungguh. ‘Kerja bodoh’ (boikot) inilah sebenarnya yang menyebabkan tumbangnya rejim Afrika Selatan yang mengamalkan dasar apartheid (perkauman melampau).
‘Kerja bodoh’ inilah yang telah menyebabkan beberapa syarikat seperti Caterpillar dan Alstom mengalami kerugian. ‘Kerja bodoh’ ini jugalah yang menyebabkan antara lain McDonalds mencatat kerugian sebanyak 2.4% dari hasil jualannya di seluruh dunia.
Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi
Aqsa Syarif Berhad
Sumber: FB Dr Hafidzi