Teroka Undang-undang Pelihara Kesejahteraan Generasi Masa Depan

Teroka Undang-undang Pelihara Kesejahteraan Generasi Masa Depan

Dalam satu kenyataan oleh Dr. Jufitri Joha, mantan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) ketika menyambut Hari Belia Negara tiga tahun yang lalu, beliau mengemukakan satu seruan penting yang wajar kita berikan perhatian semula. 

Ucap beliau, “Bagi tujuan agenda besar dan jangka panjang ini, MBM tegas mencadangkan agar digubal akta khusus yang dinamakan Akta Kesejahteraan Generasi Masa Depan yang berteraskan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030.”

Gesaan ini hadir dengan satu semangat yang jelas iaitu bagi memastikan pemimpin politik, pembuat polisi dan pentadbir sentiasa mengambil kira hak dan kesejahteraan generasi masa depan dalam setiap pembuatan keputusan yang dilakukan.

Jika kita memahami semula konteks ketika gesaan ini dinyatakan, kita baru sahaja berdepan dengan dua krisis besar iaitu bencana COVID-19 dan bencana politik yang telah mengharu-birukan keadaan negara yang kita cintai. 

Ini seruan yang penting untuk disahut. Tapi sayangnya, seruan ini tenggelam dengan drama-drama politik dan hal tular picisan dalam masyarakat massa. 

Membaca semula tantangan besar yang sedang kita hadapi, gesaan ini wajar untuk kita terokai semula. Terokai dengan wacana, kajian dan kesedaran bagi memastikan agenda kesejahteraan generasi akan datang dapat kita benar-benar jamin. 

Tuntutan ini besar sebenarnya. Namun demikian, kita harus sedar bahawa apa sahaja keputusan yang dilakukan pada hari ini akan dapat dilihat kesan langsungnya pada 10 tahun akan datang.

Mereka yang hari ini berusia 20 tahun akan menjejak usia 30 tahun. Soalnya, pada usia 30 tahun itu, adakah kehidupannya menjadi semakin baik atau sebaliknya? 

Maka, kerangka berfikir yang mengambil perhatian terhadap kesan pada masa akan datang mesti menjadi teras paling asas buat para penggubal dan pelaksana dasar.

Kita juga perlu mengiktiraf bahawa cabaran yang akan dihadapi oleh generasi baharu nanti pasti berbeza dengan apa yang sedang kita lalui.

Kita membaca beberapa unjuran yang dikeluarkan oleh World Economic Forum (WEF) yang menjangkakan lebih 50 peratus pekerjaan yang wujud pada hari ini akan menjadi tidak relevan menjelang tahun 2050.

Unjuran yang sama juga dikeluarkan tentang perubahan iklim yang memberi amaran rumah hijau dan gas akan memburukkan lagi keadaan. Inilah unjuran masa depan. 

Tugas kita ialah memastikan ruang persiapan itu disiapkan untuk mereka. Persiapan itu tidak lain hanya dengan mempunyai kemampuan melihat kesan jangka masa panjang dan iltizam politik mempersiapkan negara menghadapi tantangan masa depan. 

Meneroka kerangka undang-undang yang memaksa para penggubal dasar untuk memelihara kesejahteraan generasi akan datang mesti dimulakan dengan lebih serius terutamanya apabila krisis COVID-19 dan krisis politik telah menghasilkan kesan berpanjangan yang tidak pernah negara kita lalui baik pada sudut sosial, politik dan ekonomi.

Jika negara kita masih kekal dengan business as usual sedangkan situasi sekarang adalah very unusual, kita hanya mewariskan sebuah negara yang semakin teruk buat generasi baharu nanti. 

Saya percaya, cabaran besar dalam meneroka kerangka undang-undang ini adalah bagaimana membaca pola masa depan yang rumit. Seperti kata Scott E. Page, “Kerumitan itu wujud antara keteraturan dan kerawakan. Kerumitan juga sukar dijelaskan, diubah, dicipta dan diramal.”

Tapi, pembacaan pola yang melihat kepentingan terhadap kesejahteraan generasi masa depan akan mengurangkan lagi kesan buruk yang tidak dijangka muncul daripada pelaksanaan dasar-dasar kepada pewaris negara kita nanti. 

Bahkan, kita mampu menyusun gerak kerja menuju masa depan yang kita inginkan dengan kerja-kerja jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Bukankah ada satu ungkapan menyebut bahawa cara terbaik untuk menjangka masa depan adalah dengan menciptanya? Maka, meneroka kerangka undang-undang ini adalah jalan utama untuk mencipta masa depan yang kita inginkan. 

Ruang penerokaan ini saya fikir tidak bermula dari titik kosong. Kita boleh mulakan dengan ruang perkongsian pintar daripada negara-negara yang sudah memulakannya.

Antaranya ialah negara Wales, Hungary, Finland dan Scotland. Modelnya beragam, tetapi tujuannya tetap sama iaitu usaha untuk memelihara kesejahteraan generasi akan datang.

Usaha ini mesti diarusperdanakan agar kesedaran dan pendidikan mula mendapat tempat di ruang awam. Suatu masa nanti ketika ia benar-benar disistemkan, masyarakat awam dapat menyambutnya dengan cermat dan matang. 

 

Usaid Muhamad Asmadi

Beliau kini ialah Ketua Penerangan IKRAM Muda Malaysia merangkap Ketua JK Advokasi dan Libat Urus. Beliau juga ialah Ahli Jawatankuasa Pendidikan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan mantan Presiden Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI). Beliau aktif menghasilkan makalah dan penulisan yang berkaitan dengan belia dan mahasiswa.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia