Di seluruh dunia, tiada peranan yang lebih penting dan universal daripada peranan seorang ibu. Ibu adalah nadi kehidupan, pembentuk generasi akan datang dan penjaga warisan keluarga.
Dalam setiap senyuman dan titisan peluh mereka, tersembunyi cerita tentang kasih sayang yang tidak berbelah bagi serta pengorbanan yang tiada tara.
Siapakah ibu?
Ibu ialah wanita yang mengandung, melahirkan atau memelihara anak-anak dalam naungan kasih sayangnya. Namun, peranan ibu tidak terhenti setakat itu. Ia juga merangkumi peranan sebagai pendidik, penasihat dan pelindung.
Dalam lingkup yang lebih luas, ibu merupakan simbol kekuatan dan ketabahan, menjadi asas kepada struktur sosial mana pun di dunia. Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan Kami wajibkan manusia (berbuat baik) kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu; hanya kepada-Kulah kembali(mu).” (Luqman: 14)
Ibu yang sedang menanti zuriat
Dalam masyarakat kita, jangan kita lupakan wanita yang masih menanti untuk menyandang gelaran ibu. Kisah Asiyah binti Muzahim, isteri Firaun, adalah satu contoh yang mengharukan.
Walaupun hidup dalam kemewahan sebagai permaisuri, hatinya kesunyian dan mendambakan suara anak kecil. Kehadiran Nabi Musa a.s, bayi yang dihanyutkan di dalam bakul di sungai telah memenuhi keinginan mendalamnya untuk menjadi ibu.
Kasih sayang dan perlindungannya kepada Nabi Musa a.s. membuktikan bahawa naluri keibuan mengalir dalam darah dan sanubari seorang wanita.
Ibu yang mengambil anak angkat dan berusaha kuat hingga berjaya menyusukan anak angkat menjadi anak susuan juga turut menumpahkan kasih sayang yang tidak kurang hebatnya.
Dalam Islam, ibu yang menyusui (ibu susuan) mempunyai kedudukan yang dihormati dan diiktiraf. Kasih sayang yang ditunjukkan oleh ibu susuan membentuk ikatan mahram yang kekal, menjadikan anak susuan sebagai sebahagian daripada keluarga tanpa hubungan darah biologi.
Kedudukan ibu susuan dijelaskan dalam al-Quran yang bermaksud:
“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang hendak menyempurnakan penyusuan… Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut.” (Al-Baqarah: 233)
“Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan saudara-saudara bapa kamu dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki dan anak-anak saudara kamu yang perempuan dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu…” (An-Nisa: 23)
Ayat-ayat ini menegaskan tentang pengiktirafan dan perlindungan yang diberikan kepada hubungan ibu susuan dan anak susuan dalam syariat Islam.
Kasih ibu tiada sempadan
Fitrah semula jadi seorang ibu sering kali dikaitkan dengan kelembutan, ketabahan dan ketekunan. Kelembutan hati seorang ibu memungkinkan dia memahami dan berkorban demi memenuhi keperluan anak-anaknya.
Ketabahan dan ketekunan ibu terlihat jelas dalam kegigihan mendidik dan membesarkan anak-anak hingga dewasa walau apa pun halangan dan dugaan menimpa. Sifat ini bukan sahaja memperkukuh hubungan keluarga tetapi juga membentuk asas bagi perkembangan sosial dan emosi anak.
Kasih seorang ibu adalah abstrak dan amat mendalam. Ia bermula daripada ikatan biologi dan hormonal yang terbentuk sejak kehamilan hingga melahirkan. Namun, kasih ini juga diperkukuh oleh pengalaman dan interaksi sehari-hari.
Ibu melihat anaknya sebagai cerminan dirinya sendiri, yang memotivasikan dia untuk memberikan yang terbaik demi kesejahteraan anak. Kasih ibu bersifat intuitif, tanpa syarat, dan sering kali mengatasi kepentingan diri sendiri.
Pengorbanan ibu tanpa batas dan sempadan. Seorang ibu mengorbankan diri dan keselesaan fizikal hatta nyawanya semasa hamil dan melahirkan.
Hari demi hari, ibu tidak lepas daripada mengorbankan waktu, tenaga dan emosi dalam membesarkan dan mendidik anak.
Malah, kasih ibu memungkinkan mereka sanggup mengorbankan kerjaya, kepentingan peribadi dan waktu rehat untuk memastikan anak-anak mendapat yang terbaik.
Bagi semua ibu, tidak kira bekerja dari rumah atau luar rumah, segala penat lelah tidak dihiraukan. Setiap pengorbanan ini dilakukan dengan penuh kasih sayang, tanpa mengharapkan balasan.
Maka, bagaimana cara untuk anak-anak mengungkapkan terima kasih kepada Ibu?
1. Luangkan waktu bersama
Dalam kesibukan harian, sesekali luangkan waktu khusus untuk menghabiskan momen bersama ibu. Boleh jadi sekadar minum teh pada petang hari atau berjalan-jalan santai, kebersamaan ini akan menjadi kenangan berharga buat ibu.
2. Dengarkan dan hargai ceritanya
Setiap ibu memiliki kisah dan pengalaman hidup yang unik. Mendengarkan cerita mereka tidak hanya sebagai bentuk penghargaan, tetapi juga mengakui kebijaksanaan dan pengalaman yang telah mereka kumpulkan sepanjang hidup.
3. Bantu meringankan beban
Tawarkan bantuan dalam aktiviti sehari-hari atau ambil alih beberapa tanggungjawab yang biasanya dipegang oleh ibu. Inilah cara untuk menunjukkan rasa terima kasih dan memberi mereka sedikit waktu untuk bersantai atau menikmati hobi.
4. Ungkapan melalui hadiah atau tulisan
Hadiah tidak perlu mewah. Kad yang ditulis tangan dengan kata-kata yang tulus atau apa saja yang menimbulkan senyuman ibu sudah mencukupi. Tulisan yang mengungkapkan perasaan dan memori bersama mungkin menjadi amat bererti dalam jiwa seorang ibu.
5. Kukuhkan hubungan keluarga
Menjaga dan memperkukuh ikatan keluarga adalah salah satu cara terbaik untuk menghargai ibu. Bagi ibu, kebahagiaan terbesar ialah melihat keluarganya bersatu dan saling menyokong antara satu sama lain.
6. Doa anak soleh
Doa daripada anak yang soleh adalah kecukupan dan kebahagiaan hakiki. Berdoa untuk kesejahteraan, kesihatan dan kebahagiaan mereka adalah cara mendalam untuk menunjukkan cinta dan terima kasih. Apalagi jika ibu sudah tiada di alam dunia ini, hanya doa anak soleh menjadi bekal di alam akhirat sana.
Terima Kasih Ibu
Sempena Sambutan Hari Ibu 2024 di peringkat Malaysia pada 12 Mei 2024, tema “Terima Kasih Ibu” bukan sekadar ucapan, tetapi seruan kepada kita semua untuk mengungkapkan rasa terima kasih yang mendalam kepada ibu di seluruh dunia.
Kita meneruskan nilai dan kasih sayang yang telah mereka tanam dalam diri kita. Terima kasih ibu atas segala pengorbanan, pelajaran dan cinta yang tidak terhingga.
Kita adalah siapa adanya hari ini kerana cinta dan bimbinganmu. Ingatlah pedoman daripada mukjizat sepanjang zaman, al-Quran yang bermaksud:
“Dan rendahkanlah dirimu kepada mereka berdua (ibu bapa) dengan penuh kesayangan dan katakanlah: Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka sebagaimana mereka telah mendidik aku ketika kecil.” (Al-Israa’: 24)
Dr Zilal Saari merupakan pensyarah kanan di Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.