Bengkel ini telah dirasmikan oleh Yang Dipertua IKRAM Terengganu, Ustaz Lokman Awang dan dihadiri 18 peserta dari Kelantan, Terengganu dan Pahang. Dalam ucapannya, beliau telah menekankan betapa perlunya para pendakwah menguasai bidang media ini sebagai saluran atau media penting bagi dakwah masa kini.
Prof Madya Mohamad Saidy Ismail selaku Editor Perunding IKRAMedia Pusat telah memberi kefahaman tentang peranan editor, penulis dan wartawan kepada peserta. Beliau turut berkongsi pengalaman bagaimana menulis berita yang menarik untuk dakwah.
Latihan kedua dalam siri jerayawara IKRAMedia Pusat ini diisi dengan pembentangan mengenai fotografi yang berkesan dan bagaimana menggunakan telefon pintar (smartphone) untuk tujuan kewartawanan. Sesi tersebut telah dibentangkan oleh ahli jawatankuasa IKRAMedia Pusat, Amir Farid Sabuddin.
Selain itu, seorang lagi ahli jawatankuasa IKRAMedia Pusat, Zulkarnain Jamaluddin, berkongsi maklumat tentang penggunaan alat-alat media baru untuk membantu kewartawanan Islam.