Teks khutbah sempena Hari Untuk Syria

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan dari Rasulullah SAW: “Ada sebahagian dari umat ku mereka tidak akan berhenti berjihad di pintu-pintu masuk Damsyik dan di pintu Baitul Maqdis dan kawasan sekitarnya. Pengkhianatan dan pembelotan sesiapa yang membelot tidak akan memudaratkan mereka sedikit jua. Mereka akan tetap menang, istiqamah, sehingga tibanya saat kiamat.” (HR Thabrani)

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Hadis ini menggambarkan tentang hubungkait di antara jihad di Damsyik dan Baitul Maqdis. Syeikh Raed Solah, pemimpin gerakan Islam Palestin 1948 apabila ditanya dalam Muktamar Bantuan Untuk Syria anjuran Rabitah Ulama al-Ittihad al-Alami lil-Ulama al-Muslimin (Persatuan Ulama Muslimin Sedunia) dan Rabithah Ulama Syria, apakah kaitan di antara Baitul Maqdis dan Syria, beliau jawab ringkas: “Hari ini Damsyik, esok Baitul Maqdis.”

 

Siapakah Syeikh Raed Solah? Beliau adalah pemimpin umat Islam yang bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan Masjid al-Aqsa dan Kota Lama (Madinah al-Qadimah) di Baitul Maqdis dari pencerobohan dan ancaman Zionis Israel. Beliaulah orang yang membongkar aktiviti penggalian terowong di dasar Masjid al-Aqsa dan figura yang paling dikehendaki oleh Israel kerana menggagalkan perancangan jahat mereka untuk mengambil alih Masjid al-Aqsa yang ditawan sejak 47 tahun yang lalu iaitu pada bulan Jun 1967.

 

Beliau yang berada di tengah-tengah medan jihad yang utama iaitu menjaga masjid ketiga paling tinggi darjatnya dalam Islam daripada pencerobohan Israel, berada dalam muktamar yang membincangkan tentang perjuangan yang sedang berlangsung di bumi Syria. Ini menunjukkan bahawa beliau meletakkan kepentingan yang sangat besar terhadap apa yang berlaku di Syria, meskipun beliau diamanahkan untuk menjaga sisi yang paling penting dalam jihad mempertahan dan membebaskan Masjid al-Aqsa.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Hari ini umat Islam berhadapan dengan satu persoalan lagi tentang pergolakan di Timur Tengah. Pembunuhan yang berlaku ke atas rakyat Syria kini mengundang pelbagai reaksi umat Islam. Apa sebenarnya yang berlaku di Syria sehingga pandangan umat Islam tak dapat disatukan. Ada yang melihat ini sebagai isu dalaman Syria dan negara lain termasuk negara umat Islam tidak perlu campurtangan. Biarlah pihak keselamatan Syria dan kerajaannya menangani isu yang berlaku. Ada yang menganggap pergolakan ini dicetus oleh tangan-tangan kuasa Barat bahkan Israel, dan umat Islam jangan terpancing dengan agenda Barat yang mahu melihat tumbangnya Regim Basyar Assad.

 

Syria dikatakan satu-satunya negara Arab yang menjadi ancaman kepada Israel dan dengan itu Barat berusaha untuk menggantikan kerajaan Basyar Assad dengan kerajaan  tajaan Barat yang tidak akan menjadi ancaman kepada Israel. Agenda ini penting terutama apabila sekutu Israel yang boleh diharapkan selama ini iaitu Rejim Husni Mubarak di Mesir telah ditumbangkan. Keadaan ini menjadi semakin genting apabila calon dari gerakan Ikhwan Muslimin iaitu Dr Muhammad Mursi dipilih sebagai Presiden Mesir. Benarkah pandangan ini?

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pertimbangkan perkembangan ini. Bilangan rakyat Syria yang terbunuh kini sudah mencecah 90,000. Pembunuhan ini turut melibatkan kanak-kanak kecil bahkan bayi sekalipun. Maklumat yang diperolehi menunjukkan di antara 50 sehingga 100 orang terbunuh, dengan purata hampir 10 daripadanya adalah kanak-kanak setiap hari. Pembunuhan ini pula berlaku dengan cara-cara yang sangat kejam dan melibatkan penggunaan senjata berat termasuklah dengan menggunakan kereta kebal, pengeboman dengan jet pejuang dan tembakan roket. Kanak-kanak dibunuh dengan cara disembelih hidup-hidup, dipukul dan dikeluarkan isi otaknya.

 

Wanita diperkosa dan kemudian dihumban dari atas bumbung bangunan. Rakyat tidak mungkin melakukan kekejaman ini. Sekiranya mereka hendak menumbangkan kerajaan Basyar Assad, kenapa mereka mesti membunuh kanak-kanak dengan cara yang sadis dan penuh kebinatangan? Sekiranya kebangkitan rakyat Syria didalangi oleh kuasa-kuasa Barat dan Israel, kenapa tentera kerajaan tidak melindungi rakyat Syria dari serangan ganas ini? Dan satu persoalan yang wajar difikirkan oleh semua, rakyat yang tidak berdosa menjadi sasaran senjata berat seperti kereta kebal dan jet pejuang. Dan kini sudah ada bukti bahawa tentera Syria menggunakan gas sarin yang beracun ke atas sasaran orang awam. Bukankah ini bukti jelas bahawa tentera Basyar Assad digunakan untuk membunuh rakyatnya sendiri?

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada tahun 1982, satu tragedi pembunuhan yang lebih dahsyat telah berlaku berbanding sekarang. Dalam tempoh satu bulan iaitu pada bulan Februari 1982, rejim Hafez Assad, bapa kepada Basyar Assad telah membunuh 45,000 rakyatnya di Hama. Tragedi ini tidak diketahui kerana ketiadaan teknologi maklumat untuk menembusi kawalan berita yang begitu ketat di Syria pada zaman itu. Hari ini maklumat tidak dapat dibendung lagi sehingga tsaurah atau kebangkitan rakyat merebak dari Tunisia sehingga Syria melalui media sosial dan Internet.

 

Sebenarnya rakyat Syria sudah terlalu lama hidup di bawah kezaliman yang mencengkam sejak tahun 1970-an lagi. Kezaliman yang menekan rakyat Syria sama seperti kezaliman yang berlaku di Tunisia di bawah pemerintahan diktator Habib Bourguiba dan penggantinya Zainal Abidin Ben Ali sejak tahun 1960-an, begitu juga Libya yang diperintah secara kuku besi oleh Muammar Ghadaffi sejak tahun 1961, dan Mesir yang hidup di bawah kezaliman King Farouk, Gamal Abdul Nasser dan Hosni Mubarak yang membunuh dan memenjarakan ulama dan pendukong dakwah terutama Ikhwan Muslimin sejak tahun 1940-an lagi. Namun apa yang berlaku di Syria adalah jauh lebih kejam dan zalim lagi. Ini adalah kerana Rejim Basyar Assad dikuasai oleh golongan Nusayriah – satu cabang melampau aliran Syiah.

 

Agama Nusayriah adalah disebarkan 200 tahun selepas wafatnya Rasulullah SAW. Mereka sebagaimana golongan Syiah telah mensucikan Ali bahkan dengan menggabungkan dengan ajaran Kristian dan Majusi. Oleh kerana itu kebencian mereka kepada umat Islam Sunni yang merupakan majoriti rakyat Syria iaitu 78% memuncak apabila rakyat bangkit menentang kezaliman Basyar Assad. Kekufuran mereka amat jelas apabila tentera Assad memaksa rakyat Syria untuk mengucapkan kalimah kufur dengan syahadah “Asy-hadu alla ilaha illa Basyar” (Na’uzubillah). Kerana itu kita lihat kebencian ini diluahkan dalam bentuk pembunuhan ke atas kanak-kanak tanpa sebarang belas kasihan. Bahkan mereka menembak menara-menara masjid sama sebagaimana yang dilakukan oleh Israel di Gaza, memperolok-olokkan solat umat Islam, membakar al-Quran bahkan mencemarkan masjid.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Rasulullah saw. bersabda : “Pusat kepimpinan kaum Muslimin pada hari peperangan yang paling besar adalah di sebuah negeri yang bernama Ghuthah, yang mana di negeri itu terdapat sebuah kota yang bernama Damsyik (Damaskus), ia merupakan tempat tinggal yg terbaik bagi kaum Muslimin pada waktu itu”. (HR Imam Ahmad, Abu Daud disahkan oleh Al-Abani dalam Sahih Al-Jami’)

 

Meskipun hadis ini tidak semestinya merujuk kepada apa yang berlaku di Syria pada hari ini, namun ia memberikan dorongan yang cukup kuat bagi rakyat Syria untuk berjihad. Mereka melihat apa yang berlaku saat ini adalah pertentangan di antara al-Haq dan bathil. Ini jugalah yang mendorong Syeikh Raed Solah untuk mengaitkan Damsyik dan Baitul Maqdis dalam jihad untuk membebaskan baitul Maqdis dan bumi Palestin. Kezaliman melampau yang digunakan oleh Rejim Basyar Assad mendorong rakyat Syria untuk kembali kepada Allah dan Rasul-Nya. Begitu banyak pengalaman yang dikongsikan di medan bagaimana rakyat Syria mula kembali kepada Islam yang sebenar dan berlindung dengan kekuasaan Allah yang Maha Kuat dan Maha Perkasa.

 

Sehingga ada seorang pemuda yang sepanjang hayatnya tidak pernah solat apabila dipaksa untuk sujud kepada potret Basyar Assad beliau mengatakan “Sepanjang usiaku aku tidak pernah sujud kepada Allah, bagaimana mungkin aku akan sujud kepada seorang manusia?” Dan ada seorang kanak-kanak yang kehilangan ke dua tangannya dan buta sebelah matanya berkata dengan penuh yakin: “Aku bersyukur kepada Allah kerana aku mempunyai sebelah mata lagi untuk melihat kejatuhan Basyar Assad”.

 

Dan Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi mengatakan beliau akan turun ke Damsyik dan akan bersolat Jumaat dan berkhutbah di sana apabila rakyat Syria berjaya dalam perjuangan mereka yang beliau anggap suatu yang pasti akan berlaku, insya-Allah.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Beberapa fatwa telah disepakati oleh 400 delegasi ulama sedunia yang berkumpul di Istanbul pada 1-3 Julai 2012 yang lepas. Mereka secara ringkasnya memutuskan:

 

1) Wajib bagi umat Islam untuk bersama-sama dengan kebangkitan rakyat Syria kerana perjuangan mereka adalah di antara hak dan batil, di antara keadilan dan kezaliman. Perjuangan mereka juga adalah untuk melawan pemerintah yang membunuh dan menindas rakyat. Dan ini menunjukkan bahawa wajib bagi umat Islam untuk membantu dan menyatakan sokongan kepada umat Islam yang dizalimi.

 

2) Wajib ke atas setiap pemimpin umat Islam agar menyatakan sokongan dan dokongan kepada kebangkitan rakyat Syria. Sokongan samada dari sudut bantuan kewangan, senjata dan pelbagai bantuan agar kebangkitan mereka mendapat kemenangan. Mereka juga perlu menyatakan sokongan dan memberi bantuan senjata kepada Tentera Pembebasan Syria yang telah berjihad dan berjuang melawan rejim Basyar yang zalim.

 

3) Merupakan kewajipan untuk menyokong golongan yang memperjuangkan kebenaran. Maka, tidak ketinggalan kepada para alim ulama’ dan juga pemikir Islam agar menyatakan sokongan dan dokongan mereka terhadap kebangkitan rakyat Syria. Dan haram bagi mereka diam membisu melihat kezaliman demi kezaliman berlaku di Syria.

 

4) Haram bagi umat Islam menyatakan sokongan dan dokongan kepada rejim Basyar mahupun sekutunya dari sudut ketenteraan, harta benda, sokongan politik dan sebagainya.

 

Dan terkini Syeikh Dr Yusuf Qardhawi telah mengeluarkan pandangan yang sangat tegas terhadap Iran dan Hizbullah yang mengirimkan tentera untuk membantu Rejim Basyar Assad membunuh rakyatnya. Dr Yusuf Qardhawi tidak teragak-agak untuk menggelar Hizbullah sebagai Hizbusy Syaitan. Bahkan beliau telah memuji ulama Saudi yang lebih tegas daripada beliau dalam memberikan pandangan lebih jelas terhadap persekongkolan Syiah Iran dan Nusairi Assad.


قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاء وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاء وَتُعِزُّ مَن تَشَاء وَتُذِلُّ مَن تَشَاء بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ {26}

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Ali Imran: 26)


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 

Dr Hafidzi Mohd Noor

Sumber: http://lambaian-islah.blogspot.com/2013/06/cadangan-teks-khutbah-14-jun-2013.html

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia