Berita demi berita yang mendedahkan kes buli di sekolah sama ada yang membawa kecederaan fizikal atau yang meninggalkan luka emosi, membuatkan ramai ibu bapa resah setiap kali menghantar anak ke sekolah. Dalam suasana ini, timbul persoalan: adakah anak aku selamat? Atau lebih menakutkan…mungkinkah dia bukan mangsa, tetapi pelaku?
Hakikatnya, benar; kerajaan dan sekolah memikul tanggungjawab besar dalam menangani isu ini. Namun akar yang paling awal sentiasa bermula di rumah. Cara anak dibesarkan, nilai yang ditanam, dan contoh yang ditunjukkan oleh ibu bapa akan menentukan bagaimana mereka melihat dunia, bagaimana mereka berkawan, mengurus konflik, menzahirkan empati, dan mempertahankan diri tanpa menindas orang lain.
Berikut adalah 5 cara praktikal bagaimana ibu bapa boleh membentuk anak agar tidak menjadi pembuli, sebaliknya membesar sebagai insan berakhlak mulia, berempati, dan berani menyokong orang lain.
- Didik dengan Empati Sejak Kecil
Anak-anak belajar melalui apa yang mereka lihat. Bila kita tunjukkan belas kasihan kepada jiran, bantu orang dalam kesusahan, atau bercakap sopan dengan orang lain, mereka menyerap semuanya. Empati tidak datang dengan sendirinya, ia perlu dilatih.
Libatkan anak dalam perbualan mudah: “Bagaimana agaknya perasaan dia kalau diperlakukan begitu?” Soalan sebegini mengasah kepekaan mereka terhadap perasaan orang lain. Anak yang terbiasa berempati akan lebih sukar untuk menyakiti orang lain, kerana mereka mampu membayangkan kesannya.
- Bina Keyakinan Diri Anak
Anak yang yakin tidak tunduk membuta tuli, dan tidak juga menindas untuk berasa kuat. Sebaliknya, anak yang rapuh mudah jadi pengikut; kadang-kadang mangsa, kadang-kadang terikut-ikut membuli demi diterima kawan.
Keyakinan diri tumbuh bila anak diberi ruang mencuba dan walaupun gagal, disokong dengan kata-kata yang ikhlas oleh ibu bapa, dan dirasai bahawa nilai diri mereka bukan bergantung pada merendahkan orang lain. Bila mereka tahu diri mereka berharga, mereka tidak perlukan buli untuk rasa dihormati.
- Ajarkan Cara Mengurus Emosi
Ramai anak membuli kerana mereka tidak tahu mengurus kemarahan, cemburu, atau rasa tidak puas hati. Semua emosi itu normal, tetapi tanpa panduan, ia boleh bertukar menjadi tingkah laku agresif.
Ibu bapa boleh mengajar cara mudah mengurus emosi seperti: tarik nafas dalam (deep breathing technique), berundur seketika bila marah, atau luahkan melalui kata-kata, bukan tangan. Bila anak tahu ada cara sihat meluah perasaan, mereka tidak perlu mencari “kuasa” dengan menyakiti orang lain.
4. Jadi Teladan, Bukan Sekadar Pemberi Arahan
Anak-anak meniru lebih daripada mereka mendengar. Kalau mereka lihat ibu bapa cepat marah, suka menghina, atau merendahkan orang lain, jangan terkejut bila mereka lakukan benda sama di sekolah.
Teladan baik bermula dari rumah: bercakap dengan hormat walau sedang marah, memohon maaf bila tersalah, mengurus konflik tanpa maki hamun. Dengan cara itu, anak belajar bahawa menjadi berani tidak sama dengan menjadi kasar.
5. Mewujudkan Komunikasi yang Terbuka
Anak yang rasa didengari akan lebih mudah berkongsi apabila mereka melihat atau mengalami sesuatu. Sebaliknya, anak yang dibesarkan dalam suasana takut dimarahi atau diabaikan, mereka akan menyembunyikan masalah.
Luangkan masa setiap hari untuk berbual dengan anak tanpa gangguan gajet. Tanyakan tentang hari mereka, kawan-kawan mereka, apa yang mereka rasa. Hubungan yang terbuka ini menjadikan ibu bapa tempat pertama yang anak cari apabila ada masalah, bukan tempat terakhir.
Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Anak Menjadi Mangsa Buli?
Jika anak mengadu dibuli, jangan anggap itu “masalah kecil” atau salahkan mereka kerana “tidak pandai jaga diri” dan anggap mereka lemah. Kesan buli boleh menjejaskan keyakinan diri dan mencetus trauma berpanjangan.
Langkah awal adalah dengar dengan penuh empati, catat butiran kejadian, simpan bukti (mesej, rakaman atau gambar), dan segera laporkan kepada pihak sekolah. Jika serius, dapatkan pemeriksaan kesihatan dan buat laporan polis. Bila ibu bapa bertindak cepat, anak akan rasa dilindungi dan mesej jelas sampai kepada pelaku bahawa buli ada akibatnya.
Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Anak Adalah Pembuli?
Sukar diterima, tetapi ada kemungkinan anak kita sendiri yang menjadi pelaku. Ramai ibu bapa menafikan kerana takut imej keluarga tercalar atau risau pandangan masyarakat. Namun, menutup mata hanya mengundang masalah lebih besar.
Pertama sekali, akui kesalahan itu berlaku. Ajar anak memahami kesan perbuatannya terhadap mangsa, dan galakkan mereka bertanggungjawab, sama ada dengan meminta maaf, menjalani sesi kaunseling, atau menerima tindakan disiplin. Membela anak tanpa menegur hanya akan mengajar mereka bahawa perbuatan salah boleh dilepaskan.
Penutup
Buli bukan sekadar isu di sekolah, ia adalah cerminan masalah dalam masyarakat. Sekolah dan kerajaan boleh menggubal dasar, tetapi yang sebenar-benarnya membentuk siapa anak-anak kita apabila mereka melangkah keluar dari rumah setiap hari adalah ibu bapa.
Anak yang penuh empati, yakin diri, tahu mengurus emosi, dibesarkan dengan kasih sayang, teladan yang baik dan mempunyai hubungan terbuka dengan keluarga adalah benteng paling kukuh menentang budaya buli.
Dan apabila kita sebagai ibu bapa berani bertindak; sama ada anak itu mangsa, saksi, atau pelaku, kita bukan sahaja melindungi mereka, tetapi turut menyumbang membina generasi yang lebih berani, berakhlak, dan berperikemanusiaan.
Dikeluarkan oleh,
Pn. Nurhakimah Mohamud
Timbalan Ketua Wanita IKRAM Malaysia
JK Advokasi Kanak-kanak




