Keluarga utuh tanggungjawab bersama (Bhg 2)

Keluarga dan masyarakat saling bertaut dan berpaut. Keluarga utuh tidak wujud bersendirian dalam sistem sosial negara. Ia dipengaruhi dan mempengaruhi masyarakat di mana ia wujud.

 

Maka masyarakat juga mempunyai peranan penting dalam usaha memartabatkan keluarga utuh. Kedudukan institusi keluarga harus diberikan pengiktirafan sebagai unit asas sosial yang penting.

 

Pengiktirafan institusi, pemimpin dan ahli masyarakat bukan sekadar dengan berbicara tentang kepentingan keluarga, tetapi juga dengan menzahirkan dan mempraktikkan pengiktirafan ini dalam realiti sebenar. 

 

Peranan masyarakat membina keluarga utuh

 

Untuk itu, cara pandang masyarakat terhadap kedudukan institusi keluarga harus mengalami lonjakan paradigma agar sesuai dengan kedudukannya yang signifikan kepada pembangunan negara.

 

Institusi keluarga tidak boleh hanya dilihat sebagai kilang produksi bagi meramaikan bilangan umat atau rakyat, tetapi ia mempunyai peranan yang lebih holistik. 

 

Justeru, polisi, keputusan dan dasar yang dibuat dalam masyarakat dan negara harus mempertimbangkan kesannya kepada institusi keluarga, secara langsung mahupun tidak.

 

Peranan institusi keluarga boleh lebih diperkasakan dan diupayakan untuk mampu terlibat secara aktif dalam pembangunan masyarakat dan negara. 

 

Memberikan hak keluarga tidak wajar dianggap sebagai kos yang tiada kena mengena dengan fungsi kerja. Bahkan ketenteraman dan kesejahteraan kehidupan berkeluarga dapat menyumbang kepada produktiviti dalam fungsi kerja.

 

Pengabaian hak keluarga dan hanya mementingkan penghasilan kerja pula akan memberikan kesan negatif kepada produktiviti kerja, bahkan kepada kesejahteraan masyarakat.

 

Apatah lagi dengan mengambil kira situasi penuaan masyarakat Malaysia menjelang 2030, kita tidak hanya memperkatakan tentang peri pentingnya institusi keluarga kepada pembangunan generasi muda Malaysia.

 

Tetapi, kita juga sedang bergerak ke arah aspirasi pemerkasaan peranan warga emas, dan penjagaan mereka; agar setiap anggota keluarga dihargai kewujudannya, berasa sentiasa diperlukan dalam masyarakat dan berpeluang untuk terus menyumbang dalam kapasiti yang mereka ada. 

 

Sistem sokongan masyarakat juga perlu diberikan bagi mendukung pelbagai persediaan untuk menjaga anak-anak, seiring dan sebumbung dengan datuk dan nenek mereka, di samping bekerja untuk membangunkan kehidupan – dari persediaan mental dan psikologi, hingga kepada persediaan kewangan, ilmu dan kemahiran. 

 

Begitu juga dukungan masyarakat kepada ibu tunggal dan bapa tunggal dari pelbagai aspek kehidupan ini termasuklah sokongan emosi dan psikologi.

 

Ia boleh bermula dengan sokongan oleh keluarga kembangan mereka sendiri, jiran-jiran serta seluruh ahli institusi masyarakat. Mudah-mudahan dengan gandingan yang kuat ini, keutuhan institusi kekeluargaan dapat terus dijaga meski mengharungi episod perpisahan. 

 

Selain itu, cabaran sepunya yang dihadapi oleh institusi keluarga dalam negara ini harus dikenal pasti dan diberikan perhatian sewajarnya. Umpamanya cabaran kesihatan mental yang menunjukkan trend peningkatan dalam kalangan rakyat Malaysia.

 

Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye mengatakan bahawa berdasarkan survei Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2017, sebanyak 29 peratus rakyat Malaysia mengalami kemurungan dan kecelaruan keresahan berbanding 12 peratus pada 2011. 

 

Ia memberikan petanda bahawa kemurungan akan menjadi cabaran kesihatan mental yang utama dalam kalangan rakyat Malaysia kini, apatah lagi dengan peningkatan tekanan di tempat kerja dan dalam keluarga pada era pandemik. 

 

Untuk menghadapi cabaran sepunya seperti ini, ia juga memerlukan kekuatan kerjasama dalam kalangan seluruh ahli keluarga serta sektor-sektor dalam institusi masyarakat dan negara.  

 

Gandingan erat kerajaan, swasta dan NGO 

 

Gandingan dan interaksi erat kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menggalas tanggungjawab bersama akan mewujudkan sistem sokongan padu buat institusi kekeluargaan di Malaysia. Ia adalah dukungan penting yang amat diperlukan dalam merealisasikan impian ‘Keluarga Utuh, Kekuatan Negara’. 

 

Atas semangat ini, sektor kerajaan harus berupaya untuk memastikan polisi dan dasar yang dibentuk, serta belanjawan yang dirangka telah mempertimbangkan impaknya kepada pengupayaan dan pemerkasaan institusi keluarga.

 

Dasar-dasar seperti Dasar Keluarga Negara (2010) berserta tiga teras strateginya adalah sebuah dasar yang amat dialu-alukan. Teras strategi pertama ialah meningkatkan komitmen dan penglibatan pelbagai pihak untuk mengutamakan perspektif keluarga dalam segala usaha pembangunan sosioekonomi.

 

Teras strategi kedua pula adalah memastikan undang-undang, dasar, prosedur serta penguatkuasaan undang-undang dan peraturan mengutamakan perspektif keluarga. Manakala teras strategi ketiga ialah menyedia dan memastikan program, perkhidmatan dan kemudahan mesra keluarga mudah diakses atau dicapai.   

 

Selain daripada dasar dan teras strategi ini, Dato’ Dr Mohd Na’im menyatakan bahawa peruntukan sedia ada dalam Undang-Undang Keluarga Islam tidak berdiri secara sendirian dalam mendukung pembinaan keluarga utuh di Malaysia. Ia harus dijiwai dengan falsafah ‘shared responsibility’ (tanggungjawab bersama) oleh semua pihak. 

 

Tanggungjawab memelihara dan membela keluarga utuh tidak mampu hanya ditegakkan oleh Undang-Undang Keluarga Islam. Peranan agensi perundangan dalam pengukuhan institusi perkahwinan dan kekeluargaan juga memerlukan sokongan serta kepekaan keluarga kembangan dan jiran-jiran, selain pihak kerajaan, swasta dan juga organisasi sukarela. 

 

Dengan memahami falsafah dan semangat ‘shared responsibility’ inilah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) memainkan peranan dan tanggungjawab untuk menyeragamkan pentadbiran keadilan di Mahkamah Syariah di Malaysia. 

 

Antara usaha dan inisiatif JKSM ialah membangunkan prosedur operasi standard (SOP) untuk perkahwinan bawah umur, memperkukuhkan sulh di mahkamah di seluruh Malaysia, penubuhan Mahkamah Khas Bahagian Nafkah dan Hadhanah, memperkasa pelaksanaan dan penguatkuasaan, serta mewujudkan Kaedah Hakam. 

 

Selain itu, JKSM juga menubuhkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) pada 2008 untuk berperanan membantu isteri dan anak yang berhak mendapat nafkah daripada suami dan juga bapa.

 

Bahagian ini terdiri daripada tiga unit iaitu Unit Khidmat Nasihat Perundangan, Unit pelaksanaan Penguatkuasaan Perintah Nafkah atau Hadhanah, dan Unit Pengurusan Dana. Mulai 2010 juga, inisiatif BSK Transit diwujudkan bagi memberi bantuan tempat penginapan untuk menghadiri perbicaraan di mahkamah. 

 

Melalui unit-unit ini, BSK membantu isteri dan anak yang memerlukan nafkah untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan sakinah mawaddah dan rahmah.

 

Suami dan bapa yang menzalimi keluarga kerana mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah pula dibantu oleh BSK dengan cara ‘paksaan daripada mahkamah’ dan penguatkuasaan agar berupaya menjalankan tanggungjawab memberikan nafkah.

 

Dalam masa yang sama, BSK turut menyediakan dana pendahuluan nafkah agar isteri dan anak yang dizalimi dapat meneruskan kehidupan. Pun begitu, peranan masyarakat, terutamanya yang paling hampir dengan akar umbi sangat penting dalam menjayakan fungsi dan peranan BSK ini.

 

Misalnya, sekiranya jiran sebelah rumah mengetahui bahawa ada ahli keluarga jirannya yang didera, maka jiran tersebut bertanggungjawab untuk melaporkan kepada pihak berwajib dengan segera. Dengan gandingan semua pihak, maka pembinaan keluarga utuh akan lebih kemas dan lebih dekat untuk direalisasikan.

 

Sektor swasta dan NGO pula berupaya menggalas peranan bersama ini dengan mendukung dasar, falsafah, undang-undang dan teras-teras strategi tersebut. 

 

Misalnya, sektor swasta boleh memberikan kemudahan-kemudahan bersesuaian untuk kesejahteraan institusi keluarga. Sektor sukarela atau NGO boleh menggerakkan sumber-sumber khidmat sukarela dalam masyarakat untuk mendukung keluarga utuh di peringkat akar umbi.

 

Seiring dengan aspirasi ini, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) meletakkan Institusi Keluarga Utuh sebagai salah satu teras utama Masyarakat Progresif yang diidamkan. IKRAM juga mendukung pembinaan institusi keluarga yang anjal dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran dunia masa kini yang dinamik.

 

Selain itu, IKRAM mendukung agar semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan sebaiknya serta seimbang. Bagi merealisasikan hasrat ini, IKRAM berusaha membantu peningkatan kemahiran sebagai ibu bapa dan anggota keluarga. 

 

Masyarakat progresif yang diimpikan bukan hanya masyarakat yang maju dalam penggunaan teknologi mahupun menyumbang kepada tamadun saintifik masa depan. Tetapi, ia juga adalah masyarakat yang memanfaatkan sains dan teknologi untuk pembinaan tamadun bercirikan kemanusiaan.

 

Masyarakat progresif bukan hanya bermaklumat, tetapi juga berintegriti. Masyarakat progresif juga memiliki akar umbi yang teguh daripada institusi keluarga yang utuh. Ia melahirkan masyarakat yang peduli, sihat, selamat serta bersatu dalam perpaduan.  

 

Kesimpulan

 

Begitulah jelasnya hubungan langsung antara keutuhan institusi keluarga dengan kekuatan negara.

 

Semoga ia memangkin keyakinan dan semangat segenap unit masyarakat dan sektor negara untuk memperkukuhkan kekuatan barisan di setiap lapisan, agar impian membina negara yang utuh dan teguh dapat direalisasikan.

 

Ia cita-cita kita bersama, yang akan kita kedepankan merentasi apa jua kepelbagaian, biar apa pun cabaran yang melanda. 

 

Maryam Jailani ialah Pengerusi Jawatankuasa Muafakat, PIBG Sri Al-Amin Bangi dan pemenang ‘Young Parents of the Year Award’ dalam Above & Beyond Award 2021 anjuran IKRAM Muda.

Baca artikel Bahagian 1: https://ikram.org.my/tanggungjawab-bersama1/

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia