Telah berlangsung Konvensyen Nasional Keluarga Utuh 2021 pada Sabtu, 6 November lalu, sempena Sambutan Bulan Keluarga 2021 dengan tema ‘Keluarga Utuh, Kekuatan Negara’ anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).
Sesi yang pertama konvensyen pada sebelah pagi bertajuk ‘Peranan Keluarga Utuh dalam Keharmonian dan Pembangunan Negara’ menampilkan tiga orang ahli panel yang mengupasnya dari perspektif masing-masing.
Apa itu keluarga utuh?
Dalam Dasar Keluarga Negara, dinyatakan bahawa keluarga adalah sebuah unit asas sosial yang membekalkan sumber manusia untuk pembangunan serta menjamin kesinambungan insan sebagai generasi akan datang.
Ketua Pasukan Petugas Masyarakat Progresif IKRAM, Haji Ainullotfi Abdul Latif menyatakan bahawa dalam Islam, takrifan keluarga merujuk kepada keluarga yang sah terbentuk berasaskan ikatan perkahwinan di antara lelaki dan wanita, dan dikaitkan dengan pergaulan antara ahli keluarga.
Ada unit keluarga yang juga mempunyai anak-anak angkat. Manakala dalam konteks yang lebih luas, keluarga juga boleh merangkumi anggota generasi yang lebih jauh; sama ada ke atas mahupun ke bawah. Selain itu, terdapat juga keluarga yang kemudiannya menjadi keluarga tanpa salah seorang ibu atau bapa, lantaran perceraian ataupun kematian.
Dewasa ini, timbul pula istilah ‘keluarga sandwic’ yang merujuk kepada keluarga yang tinggal sebumbung bersama-sama generasi datuk dan nenek, bagi menjaga mereka tanpa mengabaikan tanggungjawab menjaga anak-anak.
Kadangkala ada juga keluarga yang perlu tinggal bersama-sama dengan keluarga kembangan termasuk ipar duai. Setiap keluarga mempunyai situasi yang unik. Tiada keluarga yang tidak ditimpa badai. Walau bagaimanapun, keutuhan keluarga akan mampu membawa keluarga mengharungi cabaran yang melanda.
Apakah yang dimaksudkan dengan keluarga utuh? Menurut Prof Datuk Dr Harlina Halizah Hj Siraj (moderator), keluarga utuh ialah keluarga yang mampu mengatasi segala kesukaran dan konflik yang timbul, dengan cara yang berkesan (efektif), dan sentiasa berusaha bersama untuk meningkatkan potensi setiap ahli keluarga.
Tidak ada keluarga yang tidak ditimpa badai cabaran. Tetapi keluarga yang utuh tetap bingkas menghadapi cabaran yang datang. Selain itu, potensi setiap ahli keluarga juga dihargai dan dibangunkan bersama.
Apakah ciri-ciri keluarga utuh?
Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Yang Amat Arif Dato’ Setia Dr Hj Mohd Na’im Hj Mokhtar menyatakan bahawa dalam Surah ar-Rum ayat 21, Islam mendidik manusia agar membina institusi keluarga yang hidup dalam suasana sakinah, mawaddah dan rahmah.
Ia merupakan batu bata pembinaan masyarakat dan negara yang baik, serta mendapat rahmat dan keampunan Allah.
Dr Dennis Lynn dari Oregon State University melakukan sebuah kajian pada 2018 mengenai keutuhan institusi kekeluargaan. Kajian ini melibatkan 7,000 buah keluarga dari pelbagai benua di serata dunia, sebagai sampel kajian.
Hasil kajian merumuskan enam kualiti yang mendefinisikan keluarga utuh:
- Keluarga utuh menzahirkan penghargaan dan kasih sayang
- Keluarga utuh mempunyai keazaman dan komitmen yang kuat terhadap satu sama lain
- Keluarga utuh memperuntukkan masa bersama yang membahagiakan
- Keluarga utuh menguruskan tekanan dan krisis secara efektif
- Keluarga utuh mempunyai kesejahteraan spiritual
- Keluarga utuh mempunyai corak komunikasi yang efektif dan positif
Menurut Ainullotfi, dalam Islam, ciri-ciri keluarga utuh adalah senada dengan enam kualiti di atas. Walau bagaimanapun, asas pegangan dan pasak pembinaan keluarga adalah ciri yang diberikan keutamaan tertinggi.
Ahli-ahli keluarga utuh mempunyai landasan sepunya yang menjadi asas pegangan paling teguh untuk mereka bertahan mengharungi apa jua iklim yang datang. Ia juga menjadi motivasi kukuh untuk mereka terus mara menyumbang peranan.
Sistem yang menjadi pasak sandaran keluarga utuh ialah sistem keluarga berpandukan syariat dan perundangan Islam. Ia mencontohkan tatacara dan peraturan berkeluarga yang praktikal dan mempunyai sistem nilai yang kukuh – yang tidak berubah sewenang-wenangnya tanpa asas yang benar.
Selain itu, keluarga utuh mempunyai ketua keluarga dan anggota-anggota yang berfungsi dengan baik. Ia bermaksud keluarga utuh memiliki kemampuan untuk bekerjasama mengendalikan isu-isu pembangunan keluarga dari pelbagai aspek; fizikal, mental, ekonomi, sosial mahupun kerohanian.
Keluarga utuh mementingkan kesejahteraan dari pelbagai aspek agar sistem keluarga dapat berkembang dengan menyeluruh dan seimbang.
Keluarga utuh juga adalah keluarga yang bersistem, tapi dalam masa yang sama juga berupaya untuk bersifat anjal dan akomodatif dalam penyelesaian masalah, serta dalam menghadapi cabaran dan konflik yang unik dan pelbagai dalam keluarga – termasuklah cabaran ideologi dan pemikiran yang boleh meruntuhkan kerukunan keluarga.
Keluarga yang utuh juga adalah keluarga yang menghidupkan nilai-nilai kemanusiaan dalam hidup berkeluarga. Nilai-nilai yang ingin diangkat di peringkat makro; peringkat negara dan dunia, terlebih dahulu ditanam dan dibaja dalam keluarga.
Contohnya nilai berilmu, beramal dan bebas merdeka, nilai syura dalam kehidupan berkeluarga, nilai amanah dan saling bertanggungjawab, serta nilai keadilan dan persaudaraan.
Selain itu, keluarga utuh dibangunkan dengan hubungan kasih sayang. Ahli-ahli keluarga tidak dilihat sebagai individu-individu berasingan yang tiada ikatan hati, dan tiada komunikasi. Dalam Surah ar-Rum ayat 21 dijelaskan bahawa antara tujuan pembinaan keluarga ialah bagi mewujudkan ketenteraman serta kasih dan sayang.
Setiap anggota dalam keluarga utuh menjalankan peranan masing-masing yang bersifat saling melengkapi (complementary) dan sinergi antara satu sama lain. Masing-masing ada peranan berdasarkan kekuatan masing-masing serta sesuai dengan tabii kejadian serta penciptaan diri. Namun, ia dijalankan secara saling harmoni antara satu dengan yang lain.
Dalam keluarga utuh, kita akan melihat bahawa ketua keluarga bersungguh-sungguh memimpin dan menjalankan tanggungjawabnya. Sifat amanah dalam menjalankan tanggungjawab akan menyelamatkan keluarga utuh daripada api neraka, sebagaimana yang diingatkan oleh Allah dalam ayat 6 Surah at-Tahrim.
Selain itu, ketua keluarga juga membina kemampuan untuk mengendalikan isu dan cabaran keluarga serta membekalkan diri dengan ilmu psikologi dan sosial kekeluargaan yang kontemporari.
Ketua keluarga tidak boleh sama sekali mengabaikan peranannya, jika tidak, ia amat berbahaya kepada keutuhan keluarga dan kesejahteraan ahli-ahlinya.
Justeru kempen-kempen berkaitan yang dijayakan oleh IKRAM seperti ‘Lelaki Hero Keluarga’ adalah bukan semata-mata untuk mengangkat martabat seorang ketua keluarga, tetapi adalah untuk memastikan ketua keluarga menjalankan tanggungjawabnya.
Setiap anggota keluarga pula saling mendukung untuk berkembang dan membina kemahiran kekeluargaan yang diperlukan dalam situasi semasa, contohnya kemahiran pengurusan kewangan keluarga, komunikasi dan psikologi.
Begitulah cita-cita untuk membina keluarga yang utuh tidak akan berlaku jika hanya satu komponen dalam keluarga sahaja yang berusaha melaksanakan tanggungjawab. Ia memerlukan semua pihak bekerjasama melaksanakan peranan.
Dato’ Dr Mohd Na’im juga menyatakan bahawa prinsip kebersamaan dan prinsip syura dalam menyelesaikan cabaran secara bersama, menjadi asas penting yang turut mendukung pembinaan keluarga utuh.
Peranan setiap anggota keluarga tidak hanya didefinisikan berdasarkan sangkaan atau ikutan kepada peranan secara tradisi, tetapi ia adalah perkongsian tanggungjawab kolektif yang dikukuhkan dengan syura dan persefahaman yang sejahtera.
Contohnya, permuafakatan dalam keluarga untuk mengizinkan isteri turut keluar bekerja, tanpa suami mengabaikan tanggungjawab untuk tetap memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anak berdasarkan kemampuannya. Isteri pula dengan kemurahan hatinya, tanpa dipaksa, bersetuju berkongsi sebahagian pendapatannya untuk turut membangunkan keluarga.
Bahkan prinsip kebersamaan dan syura ini amat bermanfaat meski dalam situasi getir seperti situasi perceraian yang tidak dapat dielakkan. Misalnya rundingan yang dimudahcarakan oleh pegawai sulh (perdamaian) berkenaan jumlah dan terma tuntutan nafkah iddah yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.
Tambahan pula, walaupun ibu dan bapa bercerai, mereka masih perlu berunding dengan makruf dan ihsan, serta bekerjasama bahu-membahu untuk membangunkan anak-anak mereka dalam kesejahteraan.
Dengan ciri-ciri dan kualiti ini, keluarga utuh akan berupaya untuk berkembang ke tahap yang lebih tinggi serta teguh menghadapi turun naik gelombang dan badai dalam kehidupan berkeluarga.
Mengapa keluarga utuh signifikan kepada kesejahteraan negara?
Ainullotfi menyatakan bahawa ‘kesihatan’ sesebuah masyarakat dan negara banyak bergantung kepada ‘kesihatan’ institusi keluarga yang tinggal dalam masyarakat tersebut.
Hal ini kerana institusi keluarga merupakan unit paling asas dan terpenting dalam pembinaan sesebuah masyarakat dan seterusnya negara. Ia adalah akar umbi paling asas yang akan menentukan kukuh atau tidak pembangunan sesebuah masyarakat dan negara.
Tidak ada negara yang boleh berkembang dengan baik tanpa mempedulikan kesejahteraan institusi keluarga. Oleh kerana itulah Dasar Keluarga Negara (2010) diwujudkan bagi memperkukuhkan institusi keluarga dan menginsafi peranan keluarga dalam pembentukan sebuah negara yang mantap, maju dan progresif.
Nilai murni keluarga asas perpaduan negara
Pengerusi Yayasan Perpaduan Malaysia, Prof Dr Suresh Kumar A/L P Govind menyatakan bahawa nilai-nilai murni mampu menjadi tapak asas kepada cara berfikir yang murni.
Untuk membina negara yang dibina atas nilai-nilai murni dan prinsip yang luhur, maka benihnya harus ditanam di akar umbi negara, iaitu institusi keluarga. Siapapun kita, pemimpin mahupun rakyat jelata, kita semua berada dalam institusi keluarga yang merupakan unit asas sosial pembentukan negara.
Garapan impian di peringkat makro akan boleh bertahan dan berterusan, apabila ia didukung kuat di peringkat akar umbinya lagi.
Cita-cita membina masyarakat yang bersatu dan berintegrasi, serta ‘Keluarga Malaysia’ yang memiliki nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran perlu dihayati dalam unit asas masyarakat dan negara. Di mana lagi jika bukan dalam institusi keluarga?
Bagaimana nilai-nilai murni keutuhan dan perpaduan ini boleh dihidupkan dalam institusi keluarga? Prof Dr Suresh menyatakan bahawa keyakinan dalam diri anak boleh dibina sejak awal usia kelahiran hingga tujuh tahun, apabila ibu bapa sanggup meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak.
Nilai keyakinan diri yang dibina sejak dari awal usia ini amat signifikan untuk menghadapi cabaran kehidupan yang mendatang tanpa putus asa.
Justeru, adalah amat penting untuk ahli keluarga saling mengukuhkan interaksi bermakna dan ikatan jiwa bagi membina asas yang kukuh bagi keutuhan keluarga ini. Kasih sayang yang mewarnai institusi keluarga juga memberikan kesan positif kepada kesihatan fizikal dan minda.
Selain itu, keluarga juga boleh dibimbing dengan penuh kasih sayang, untuk melakukan anjakan paradigma daripada hanya memikirkan tentang ‘saya’ kepada ‘kita’.
Apa jua tindakan dan keputusan yang dilakukan akan mengambil kira kesannya kepada pelbagai pihak, tanpa sama sekali mengabaikan kepedulian terhadap penjagaan diri.
Ia akan memotivasi kita untuk mengenali dan berusaha memahami, menghargai dan saling menghormati kepelbagaian yang wujud dalam keluarga dan masyarakat.
Nilai-nilai murni perpaduan yang ditanam dan dibajai dalam setiap rumah dan setiap keluarga, akan membentuk masyarakat yang kukuh dengan ciri kesatuan.
Melalui teladan berterusan daripada ibu bapa, anak-anak melihat sendiri contoh hidup bagaimana perpaduan dan kesatuan dipraktikkan.
Contohnya, interaksi yang baik oleh ibu bapa dengan jiran berbilang bangsa akan memberikan keyakinan kepada anak-anak untuk berinteraksi silang budaya secara sihat.
Begitulah pendidikan dan bimbingan kecil yang berlaku dalam keluarga menjadi tapak asas bekalan kepada kita untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan. Perubahan nilai yang ingin direalisasikan di peringkat dunia, negara mahupun masyarakat, harus berlaku juga dalam unit keluarga.
Maryam Jailani ialah Pengerusi Jawatankuasa Muafakat, PIBG Sri Al-Amin Bangi dan pemenang ‘Young Parents of the Year Award’ dalam Above & Beyond Award 2021 anjuran IKRAM Muda.