Tampar Muka Pemain: Isu, Hukum dan Bahayanya

Tampar Muka Pemain: Isu, Hukum dan Bahayanya | IKRAM

Wajah adalah simbol ekspresi kecantikan, maruah juga reputasi seseorang dan pada muka itu juga terdapatnya pancaindera yang paling penting bagi manusia iaitu mata. Oleh yang demikian, Islam sangat menekankan untuk memelihara wajah dengan sebaiknya.

Dalam sebuah hadis, Jabir bin Abdullah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melarang memukul muka kerana wajah itu lembut dan menggabungkan kebaikan, dan kerana ia adalah bahagian pertama badan untuk bertemu dan bercakap, dan kerana bahagian-bahagiannya berharga dan unik.

Tahun lalu, tepatnya awal April 2022, seantero dunia pernah kecoh berikutan insiden seorang bintang Hollywood ditampar secara langsung di kaca televisyen.

Will Smith telah dianugerahkan Anugerah Academy kerana memainkan watak bapa kepada bintang tenis Venus dan Serena Williams dalam King Richard, dalam program Akademi Seni dan Sains Filem (Oscar). Ia dinobatkan demikian tidak sampai sejam tragedi kontroversi menampar muka pelawak Chris Rock.

Namun, itu adalah tragedi yang berlaku di luar negara dan disaksikan ramai penonton di seluruh dunia.

Pembukaan 2023, tular pula di negara kita, tragedi ‘tampar’ yang berlaku pada hujung tahun 2022 itu. Insiden seorang jurulatih pasukan bola tampar remaja menampar dua muka pemain dalam satu kejohanan pada 16 Disember lalu masih lagi menjadi perdebatan umum. 

‘Musibah’ yang berlaku lebih dua minggu lalu, penularan video kejadian itu telah menaikkan kemarahan ramai pihak kerana dianggap tidak sewajarnya dilakukan, apatah lagi terhadap seorang wanita.

Walaupun ia bukanlah melibatkan artis dalam rancangan televisyen, tetapi ia tetap memberi kesan yang tidak baik kepada mereka yang menjadi mangsanya apalagi masyarakat.

Hakikatnya, ia adalah sesuatu yang tidak selayaknya berlaku.

Ketegasan Islam

Dari sudut agama, memang jelas Islam melarang umatnya melakukan kekasaran dan menyakiti orang lain. Walaupun ketika berperang, melaksanakan hukuman hudud, ketika mendidik anak sekalipun, adalah wajib untuk mengelak daripada melakukan perkara yang boleh mencederakan di bahagian muka.

Terdapat beberapa hadis Nabi SAW berkenaan larangan menampar muka ini;

1) Nabi SAW bersabda:

إِذَا ضَرَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَجْتَنِبِ الْوَجْهَ

“Apabila seseorang kamu memukul, maka jauhilah muka.” [HR Ahmad (7323)]

2) Sabda Nabi  SAW:

إِذَا قَاتَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَجْتَنِبْ الْوَجْهَ

“Apabila seseorang kamu berperang, jauhilah daripada (mencederakan) muka.” [HR Bukhari (2559) dan Muslim (6817)]

3) Sabda SAW:

“Apabila seseorang kamu hendak memukul saudaranya (dengan tujuan dibenarkan syarak), hendaklah dia menjauhi daripada memukul mukanya.” [HR Muslim (2612)]

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani berkata, “Termasuk dalam larangan adalah setiap pukulan ke muka ketika dalam hukuman hudud, takzir dan pukulan didikan.”

Dalam kitab Subulus Salam, 7/16 Imam al-Son’ani menyebutkan, “Hadis ini merupakan dalil haram memukul muka dalam semua keadaan, sama ada untuk mendidik atau sebagainya dan ia (muka) harus dielakkan, tidak dipukul, tidak ditampar sekalipun dalam melaksanakan hudud yang disyariatkan dan sekalipun dalam jihad.”

Hukum Tampar Muka

Tidak boleh memukul muka kerana terbukti dalam dua sahih daripada hadis Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda, “Jika salah seorang daripada kamu berperang, hendaklah dia menjauhi mukanya.”

Imam Nawawi berkata, “Hadis ini menyebut secara jelas mengenai larangan memukul muka. Ini kerana ia sesuatu yang lembut yang menghimpunkan segala keelokan. Anggota-anggota pada muka itu sangat berharga dan lembut juga sering terdedah. Memukul muka boleh merosakkannya atau boleh mengurangkannya atau boleh mencacatkannya atau boleh menghodohkannya. Kecacatan pada wajah itu buruk kerana ia jelas lagi zahir yang tidak mungkin untuk ditutupi. Apabila ia dipukul, maka biasanya tidak selamat daripada berlakunya kecacatan.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 8/437)

Setiausaha Fatwa di Dar al-Iftaa’ Mesir, Sheikh Mahmoud Shalabi berkata bahawa Nabi SAW melarang memukul muka, sama ada secara kecil atau besar. Baginda bersabda dalam hadis sahih, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim (2612) daripada Abu Hurairah:

“Jika salah seorang di antara kamu membunuh saudaranya, hendaklah dia menjauhi muka, kerana Allah menciptakan Adam menurut rupa-Nya.”

Ketika Sheikh Mahmoud Shalabi ditanya,”Apakah hukum memukul muka kanak-kanak?”

Beliau menjawab bahawa wajah manusia, sama ada muda atau tua, adalah dalam imej wajah yang Allah ciptakan yang sangat unik. Rasulullah SAW melarang (haram) memukul muka walaupun dalam peperangan, kerana ia adalah penghinaan terhadap orang yang dipukul dan juga suara yang keras.

Rasulullah SAW juga tidak meninggikan suara, baik untuk perintah mahupun larangan, malah baginda bersikap sederhana dan sentiasa membimbing Aishah r.a., dan baginda berkata:

“Wahai Aishah, kelembutan itu tidak lain hanyalah menghiasinya, dan tidak ada yang dicabut melainkan ia dimalukan.”

Sheikh Mahmoud Shalabi menegaskan bahawa apabila membesarkan anak-anak, ibu bapa mesti bersikap baik, lemah lembut iaitu ketegasan dalam kelembutan, namun tidak mengabaikan perkara-perkara yang sepatutnya sehingga anak-anak membesar secara normal, supaya mereka tidak memberi implikasi psikologi.

“Kami menasihati para ibu bapa agar menjadi teman dalam membesarkan anak-anak mereka tanpa kira usianya, kerana ini membantu untuk membesarkan generasi dari segi psikologi dan moral.”

Fenomena Kolektif?

Tahukah anda bahawa perbuatan menampar itu boleh memberi kecederaan yang serius jangka masa panjang terutama ke atas kanak-kanak dan pelajar?

Menurut Pakar Perunding Kanser Ginekologi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Dato Dr Mohd Rushdan Md Noor, dari sudut perubatan, kanak-kanak mempunyai organ-organ yang masih berkembang dan menjalani proses kematangan, yang juga merupakan organ yang rapuh, mudah tercedera dan berpotensi mendatangkan kesan negatif jangka masa panjang.

“Organ-organ di bahagian muka seperti mata, telinga, mulut, lidah, saraf tunjang di leher dan juga otak merupakan organ-organ penting yang berpotensi tercedera jika bahagian muka dan kepala dijadikan tempat membuat pukulan atau tamparan,” demikian kata beliau.

Menurutnya, apabila melakukan tamparan terutama dalam keadaan emosi yang tidak terkawal, seseorang itu tidak dapat mengawal dan menentukan dengan tepat bahagian muka yang akan terkena tamparan.

“Ini menyebabkan tamparan bahagian muka kadangkala boleh terkena leher, mata dan telinga. Tamparan yang dilakukan berulang kali tentu sekali memberi kesan yang lebih serius. Tamparan yang kuat bahagian kepala boleh mencederakan tulang leher (cervical spine) dan saraf tunjang kerana anjakan kepala yang mendadak dan cepat.”

Tambahnya lagi, otot-otot leher kanak-kanak belum cukup kuat untuk mempertahankan diri daripada pergerakan kepala yang seumpama itu.  Anjakan cepat bahagian kepala ini juga boleh menggoncang otak dan ini boleh memecahkan salur darah, mengoyak selaput otak dan boleh berlaku pendarahan di dalam otak.

“Pada waktu yang sama, jika kepala terhentak ke dinding atau apa-apa sahaja benda keras akibat momentum pergerakan kepala semasa ditampar, kecederaan yang berlaku boleh menjadi lebih serius dan mungkin boleh mengancam nyawa.”

Beliau yang juga Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi berkata, tamparan juga boleh mencederakan mata dan telinga.

“Jika tamparan ditujukan tepat pada cuping telinga dan menutup lubang telinga, maka tekanan kuat akan disalurkan ke dalam rongga telinga hingga sampai ke gegendang, gegendang telinga boleh pecah dan ini akan menyebabkan gangguan pendengaran yang mungkin kekal jika rawatan tidak diberikan, bahagian dalam telinga dijangkiti kuman. Pesakit yang mengalami pecah gegendang telinga perlu menjalani rawatan susulan untuk memantau perkembangan dan pendengaran.”

Melihat kepada situasi ini, ia adalah fenomena kolektif yang sering berulang yang berlaku di banyak rumah dan keluarga, kadang-kadang sebagai disiplin dan sebagai jenaka, tanpa menyedari bahawa ia membawa bahaya yang serius.

Bahaya dan Merosakkan 

Kekasaran fizikal atau pembulian sedemikian disifatkan sebagai tindakan keterlaluan yang mampu memberikan kesan negatif berpanjangan terhadap mangsa.

Pakar telah memberi amaran tegas terhadap tingkah laku ini, sama ada pukul di muka adalah cara mendisiplinkan dan menakut-nakutkan, sebagai jenaka atau main-main, kerana ia menyebabkan kerosakan psikologi dan kesihatan yang serius kepada kanak-kanak.

Hakikatnya, banyak lagi kesan-kesan fizikal akibat tamparan yang dilakukan. Apa yang penting adalah menampar bukan sesuatu perbuatan yang boleh dipandang ringan, apatah lagi jika ia digunakan sebagai kaedah untuk menghukum.

Kesan fizikal yang diakibatkan oleh perbuatan menampar ini mungkin hanya akan dikesan atau dialami beberapa ketika selepas perbuatan itu dilakukan. Di samping kesan fizikal yang dialami oleh sesiapa yang ditampar, kesan psikologi merupakan salah satu implikasi yang tidak kurang seriusnya.

Dalam pada itu, menampar juga adalah salah satu kaedah yang boleh menjatuhkan maruah seseorang lebih-lebih lagi jika ia dilakukan di hadapan khalayak ramai.

Kanak-kanak atau pelajar-pelajar yang ditampar akan merasa terhina dan seringkali menaruh perasaan dendam ke atas orang yang menampar.

Tidak hairanlah jika kajian menunjukkan bahawa kesan psikologi dan ingatan akibat menerima tamparan ini boleh kekal lama dalam ingatan seseorang.

Oleh yang demikian, ketika hendak menghukum terutama ke atas kanak-kanak atau pelajar, hukumlah dengan kaedah sesuai serta berhikmah bersesuaian tujuan mendidik dan penuh kasih sayang.

Ini penting supaya ia dapat menjadi pengajaran berguna serta bertujuan menjadikan mereka seorang insan yang lebih baik pada masa hadapan.

Maka, hukum memukul muka adalah haram walau dengan apa tujuan sekalipun, sama ada dalam hudud, takzir, denda anak, denda anak murid atau tujuan-tujuan yang lainnya.

Berhati-hatilah kita dalam membuatkan tindakan walaupun dalam keadaan marah atau tidak bersetuju dengan tindakan orang lain. 

Atriza Umar
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia