Memorandum tersebut diserahkan kepada Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri, Norazlan Hasbullah. Wanita IKRAM diwakili Ketuanya Datin Paduka Hajah Che Asmah Ibrahim, Setiausaha Prof Madya Dr Sabariah Baharun dan Bendahari Puan Sharifah Mahiza Syed Abd Kadir.
Menurut Che Asmah, ibu tunggal merupakan kumpulan yang sering terpinggir dalam berhadapan dengan pelbagai kemelut kehidupan secara bersendirian.
“Mereka berhadapan dengan masalah memenuhi keperluan sara hidup, cabaran membesarkan anak-anak tanpa kehadiran suami/ayah, persepsi masyarakat, isu keselamatan keluarga dan banyak lagi yang menyumbang kepada kegagalan mereka untuk menikmati hidup yang sempurna,” jelasnya.
Beliau berterima kasih kepada pihak kementerian yang menyambut baik memorandum oleh Jaringan Rakan Ibu Tunggal ini dan bersedia mengkaji saranan yang dikemukakan.
Sementara itu, Wanita IKRAM turut menyampaikan hasrat kepada wakil kementerian agar satu kajian yang lebih menyeluruh dapat dibuat mengenai kehidupan ibu tunggal bagi mengenal pasti bantuan yang benar-benar menepati keperluan mereka untuk keluar dari kemelut kehidupan secara jangka panjang di mana bantuan hendaklah ‘beneficary driven’ dan bukan apa yang kita fikirkan mereka perlu.
Che Asmah turut berkongsi pandangan kepada wartawan bagaimana Islam meletakkan tanggungjawab ke atas waris bagi menguruskan kehidupan ibu tunggal dan keluarga dalam situasi suami/ayah sudah tidak menjalankan tanggungjawab tersebut.
“Lebih banyak keindahan syariat Islam perlu dikongsi dan dihidupkan kembali sebagai penyelesaiaan kepada masalah umat hari ini,” katanya lagi.
Dalam serahan memorandum tersebut, Jaringan Rakan Ibu Tunggal meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian baucar bulanan kepada ibu tunggal yang mempunyai pendapatan bulanan di bawah RM1,500.
Penyelaras jaringan tersebut, Veronica Retnam berkata, pemberian baucar harus meliputi bantuan sewa rumah, baucar makanan, baucar prasekolah dan baucar penjagaan anak pada setiap bulan termasuk menyediakan baucar pembelian pakaian dan kasut sekolah.
Selain baucar bantuan, jaringan tersebut turut mencadangkan penyediaan perkhidmatan pengangkutan percuma dengan menggunakan pas ibu tunggal untuk kanak-kanak di bawah 18 tahun dan penyediaan pangkalan data ibu tunggal kebangsaan supaya program sesuai dapat dijalankan untuk mengurangkan beban golongan itu dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah.
Sumber: