Kembara tadabbur psikospiritual dengan al-Quran

Kembara Tadabbur Psikospiritual Al-Quran

Aku selalu cuba memahami surah al-Fatihah dengan membaca kitab-kitab tafsir. Tapi bilakah kali terakhir aku tadabbur, menghayati mesej surah al-Fatihah secara personal kepada jiwaku?

 

Sebab setiap pembaca al-Quran mempunyai personaliti, karakter, kemampuan, minat, pengalaman dan rahsia tersendiri yang tidak sama dengan pembaca al-Quran yang lain.

 

Ini adalah kisah pengembaraan tadabbur (refleksi kendiri) psikospiritualku bersama al-Quran, yang bukan sahaja sesuai dimulakan pada bulan Ramadan, malah perlu diteruskan pada bulan-bulan lain.

 

Kembara basmalah, al-Fatihah

 

Apabila aku membaca basmalah iaitu Bismillah-ir Rahman-ir Rahim, Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang (Al-Quran, al-Fatihah 1:1), emosiku tersentuh kerana mengetahui ada satu zat, yang Maha Besar, yang Maha Berkuasa dan Maha Memiliki kesemuanya, yang mengasihi diriku dan menyayangi diriku, dengan kasih sayang tanpa syarat atau unconditional love dalam erti kata yang sebenar, yang tidak sama dengan konsep unconditional love yang diajar dalam psikologi humanism Barat yang diasaskan oleh Carls Roger yang masih wujud kesendengan atau bias dan yang terlalu mengutamakan tujuan kendiri atau self  hingga boleh mengorbankan tujuan bermasyarakat. 

 

Apabila aku membaca keseluruhan surah al-Fatihah, emosiku berasa bahawa aku tidak cukup bersyukur (berterima kasih dan menyatakan penghargaan) kepada Allah yang merupakan Rabb sekalian alam, meliputi alam insan (human atau manusia, alam hayawanat (fauna atau haiwan), alam nabatat (flora atau tumbuh-tumbuhan), dan alam jamadat (inanimate objects atau bukan benda hidup),   (Al-Quran, al-Fatihah 1:2), Rabb yang mencipta, menghidupkan, mematikan, mengatur, memberi rezeki ditambah pula yang rahmah kepada segala makhlukNya.

 

Malah Dia mengulangi semula pernyataan sifat cinta dah rahmah-Nya kepadaku (Al-Quran, al-Fatihah 1:3). Sudah tentulah ini menyebabkan aku lagi cintakan Allah SWT. Tetapi, tiba-tiba, perasaan cinta itu dirobek seketika apabila Allah SWT mengingatkan aku bahawa Dia adalah Raja ataupun Maha Memiliki Hari Pembalasan (Al-Quran, al-Fatihah 1:4). Aku rasa takut, khuatir, bimbang dan resah. Perasaannya seperti mendapat peneguhan (reinforcement) dan hukuman (punishment) dalam masa yang sama. 

 

Khauf dan raja’

 

Tetapi, rasa takut (khauf) ini tidaklah pula mengurangkan rasa cinta (hubb) aku kepada Allah SWT. Bagaimana mungkin kita takut dan cinta kepada satu Zat yang sama pada masa yang sama yang tidak mampu dikecapi oleh pancaindera? Saya rasa teori peneguhan (reinforcement) B. F. Skinner, pengasas psikologi behaviourism pun tidak mampu untuk menerangkannya secara tuntas.

 

Ada kaum terdahulu yang bersangatan rasa takutnya kepada Allah (hingga syariat mereka menjadi sangat memayahkan penganutnya) tapi sedikit rasa cintanya terhadap Allah (hingga status nabi-nabi AS malah status Allah SWT sebagai Tuhan direndah-rendahkan). 

 

Ada kaum terdahulu yang bersangatan rasa cintanya kepada Allah (hingga meningkatkan status nabi sebagai Tuhan dan status wali seolah-olah nabi) tapi sedikit rasa takutnya terhadap Allah SWT (hingga syariatnya begitu mudah ditukar, mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram). 

 

Ini mengingatkan aku sekali lagi untuk bersyukur (Al-Quran, al-Fatihah, 1: 2) kerana mampu mempunyai kedua-dua emosi dan perasaan ini serentak. Sebahagian kaum terdahulu (dan juga sekarang) mengoperasikan emosi cinta dan takut sebagai dua konsep yang berbeza. Tapi aku sebagai seorang Muslim mampu mengoperasikan dua emosi tersebut sebagai satu konsep.

 

Aku berharap (raja’) aku bukanlah seorang Muslim yang berlebih-lebihan khuatirnya tentang mengikut syariah Allah hingga aku terlupa tentang emosi cintaku terhadap Allah SWT dan terlupa yang Allah telah menurunkan kepada kita syariah yang penuh dengan rahmah dan kasih sayang ke seluruh alam.

 

Dan aku berharap (raja’) aku bukanlah seorang Muslim yang berlebih-lebihan cintanya terhadap Allah hingga terlupa untuk bersikap takut kalau-kalau aku telah melanggar hukum syariat-Nya. 

 

Rabb dan Ilah

 

Bukankah suatu yang bersifat semula jadi bagi seseorang yang menerima Allah sebagai Rabb (Al-Quran, al-Fatihah 1:2) untuk turut menerima Allah sebagai Ilah juga?

 

Aku agak risau kerana biasanya bahasa Melayu menterjemahkan kedua-dua istilah Rabb dan Ilah sebagai Tuhan tanpa dapat membezakannya secara langsung. Sebab itulah agaknya untuk menjadi seorang Muslim kita mengucapkan “La Ilaha illa Allah” bukannya “La Rabba illa Allah.” 

 

Sebab Ilah itu bermaksud yang disembah dan yang diminta pertolongan (Al-Quran, al-Fatihah 1:5). Bila terbaca kisah-kisah non-Muslim memasuki Islam dengan mengucapkan La ilaha illa Allah sebagai dengan penuh debaran, tangisan, kesungguhan dan keikhlasan, rasa malu pula aku apabila cuba mengingati bilakah kali pertama aku mengucapkan kalimah La ilaha illa Allah dengan emosi sebegitu sebagai tanda aku sebagai seorang Muslim setelah mencapai umur akil dan baligh.

 

Rasa sangat malu. Tetapi pernyataan dan penegasan bahawa Allah adalah satu-satunya tumpuan pengabdian dan tumpuan memohon pertolongan (Al-Quran, al-Fatihah 1:5) ) sekali lagi mengembalikan harapanku (raja’) sebagai seorang yang berusaha menjadi hamba Allah yang baik.

 

Jalan yang lurus

 

Sudah beberapa kali aku menyebut emosi harapan (raja’) setelah menyebut emosi takut (khauf) dan emosi cinta (hubb). Apakah harapanku sebenarnya di dunia ini? Adakah harta kekayaan, kesihatan atau rupa paras kecantikan? Aku berharap Allah SWT memberikan aku petunjuk (hidayah) ke arah jalan yang lurus (sirat al-mustaqim) (Al-Quran, al-Fatihah, 1:6). 

 

Kalaulah aku rasa takut dan cinta secara serentak, bukankah “jalan yang lurus” yang aku harapkan? Tapi, ia terlalu umum, terlalu kabur, terlalu konseptual. Aku perlukan sesuatu yang operasional, boleh dilihat (observable) dan boleh diukur (measureable) seperti contoh manusia yang berada di atas jalan yang lurus.

 

Aku memohon kepada Allah SWT supaya aku mampu mengidentifikasi diriku dengan psikospiritual (pemikiran dan iman, tingkah laku dan amal, serta emosi dan akhlak) mereka yang diberi nikmat oleh Allah SWT (Al-Quran, al-Fatihah 1:7). 

 

Aku juga memohon kepada Allah SWT supaya aku mampu melakukan penjarakan identiti psikospiritual (pemikiran dan kepercayaan, tingkah laku dan amal, serta emosi dan akhlak) mereka yang menerima kemurkaan daripada Allah SWT dan mereka yang sesat (Al-Quran, al-Fatihah 1:7). 

 

Barulah rasa lebih konkrit dan operasional. Sekarang perjalanan kembara psikospiritualku menjadi lebih mudah untuk mendapatkan hidayah. Jangan lupa sebut amin (kabulkanlah permintaanku). 

 

Dulu selalunya aku sebut amin selepas baca surah al-Fatihah secara automatik sahaja tanpa rasa dari hati persis peneguhan klasikal (classical conditioning) yang diperkenalkan oleh pengasasnya pada zaman moden iaitu Ivan Pavlov.

 

Aku sebut ‘zaman moden’ sebab sebenarnya ulama terdahulu seperti Ibnu Sina RH dan al-Ghazali RH telah terlebih dahulu membicarakan konsep dan operasi peneguhan klasikal beratus ratus tahun sebelum Ivan Pavlov. 

 

Cara beroleh hidayah

 

Tapi nanti dulu! Masih ada lagi persoalan-persoalan yang belum terjawab. Bagaimana caranya untuk beroleh hidayah? Dan apakah karakteristik psikospiritual tiga golongan yang disebut di atas? 

 

Dalam kitab tafsir, golongan yang mendapat nikmat daripada Allah SWT adalah golongan al-anbiya (nabi-nabi) AS, al-siddiqin (golongan yang sentiasa membenarkan), al-syuhada’ (golongan yang mati syahid) dan al-salihin (golongan yang soleh) (Al-Quran, al-Nisa’ 4:69).

 

Dan golongan yang mendapat kemurkaan daripada Allah SWT adalah kaum terdahulu yang berilmu (kognitif) tanpa beramal (tingkah laku), manakala golongan yang sesat adalah kaum terdahulu yang beramal (tingkah laku) tanpa berilmu (kognitif). 

 

Sekarang aku rasa takut (khauf) semula. Takut jika aku termasuk dalam golongan yang mempunyai ilmu tentang akidah, syariat, akhlak dan dakwah tapi tidak mengamalkannya; ataupun takut jika aku termasuk dalam golongan yang ikhlas beribadah dan berdakwah tapi tidak berdasarkan ilmu yang sahih.

 

Tapi aku sangat-sangat cintakan (hubb) Allah. Sekarang rasa harapanku (raja’) semakin meningkat untuk mendapatkan hidayah.

 

Patutlah, secara tidak sedar, aku telah berdoa untuk mendapatkan hidayah sebanyak paling kurang 17 kali sehari dalam 17 rakaat solat fardu lima waktu. Aku tidak sepatutnya acah-acah yakin (over-confident) yang aku pasti mendapat hidayah sepenuhnya hanya semata-mata aku seorang Muslim. 

 

Aku juga berharap kepada Allah agar dapat memperjelaskan lagi ciri ketiga-tiga kumpulan ini. Ciri-ciri tingkah laku dan juga ciri-ciri pemikiran (kognitif) dari segi akidahnya, ibadahnya, akhlaknya, malah semuanya. 

 

Petunjuk orang bertakwa

 

Surah al-Baqarah. Di sini aku menjumpai jawapannya. Jika aku inginkan hidayah, jawapannya ada dalam al-Quran (Al-Quran, al-Baqarah 2: 2).

 

Maksudnya, aku perlu membaca keseluruhan kitab al-Quran, bukan sekadar membaca Surah al-Fatihah di awal majlis, Surah al-`Asr di akhir majlis, Surah al-Mulk setiap malam, Surah Yasin pada setiap malam Jumaat atau surah al-Kahf pada setiap hari Jumaat.

 

Bukan juga sekadar membaca al-Quran kepada roh yang telah mati, tapi membaca al-Quran sebagai panduan kehidupan bagi diriku yang masih hidup. 

 

Rasanya aku boleh buat. Lagipun, apakah yang lebih penting daripada mendapat hidayah daripada Allah yang kita takuti, cintai dan berharap kepada-Nya?

 

Buku teks pengenalan psikologi pun lebih tebal daripada al-Quran. Ia tidaklah susah sangat. Aku hanya perlu senaskhah terjemahan al-Quran yang bagus dan kesediaan rohani untuk membacanya. 

 

Sebab orang yang bertakwa (muttaqin) sahaja yang akan menerima hidayah (Al-Quran, al-Baqarah 2:2). Siapakah orang yang bertakwa ini? Sebab aku ingin turut menyertai mereka. Terasa Allah SWT membaca fikiranku. Ciri orang yang bertakwa ada diberikan (Al-Quran, al-Baqarah 2: 3-5). Ciri orang yang kufur juga ada diberikan (Al-Quran, al-Baqarah 2: 6-7).

 

Tapi, pendek sangat penjelasannya. Tidak puas aku membacanya. Malah lebih banyak soalan yang timbul dalam kepalaku. Aku akan tunggu kalau-kalau Allah akan menjawab persoalan-persoalanku dalam ayat-ayat dan surah-surah yang berikutnya. 

 

Maksud orang bertakwa

 

Dengan menggunakan istilah psikologi, orang yang bertakwa ialah orang yang menerima hidayah dalam bentuk tingkah laku dan juga kognitif; manakala golongan yang kufur pula ialah orang yang menolak hidayah dalam bentuk tingkah laku dan juga kognitif. Nampak mudah sahaja. Mestilah aku yakin yang aku berada dalam golongan yang bertakwa. 

 

Tapi nanti dulu. Ramai juga yang aku baca non-Muslim yang membaca al-Quran tapi mendapat hidayah dan memeluk Islam, dan ramai pula yang lebih baik Islamnya daripada mereka yang lahir sebagai Muslim.

 

Adakah mereka orang yang bertakwa sebelum mereka memeluk Islam? Adakah non-Muslim ini mempunyai kesediaan rohani untuk menerima hidayah semasa mereka membaca al-Quran?

 

Istilah  taqwa berasal daripada kalimah waqa-yaqi-wiqayah yang bermaksud memelihara agar diri selamat. Mungkin apabila aku membaca al-Quran dengan niat untuk memastikan hidupku terpelihara di dunia dan selepas mati, aku akan lebih fokus kepada memahami dan menjiwai makna ayat-ayat al-Quran.

 

Nampaknya menjadi seorang Muslim tidak cukup untuk kita mendapat hidayah daripada al-Quran tanpa kesediaan rohani yang betul. 

 

Golongan kufur

 

Yang pastinya, aku tidak termasuk dalam golongan yang kufur. Tapi istilah kufr ini berasal daripada kalimah kafara-yakfuru-kufran yang bermaksud menyembunyikan dan menolak kebenaran. Maksudnya, seseorang itu sudah mengetahui hakikat kebenaran, lalu sengaja menolaknya.

 

Ini bermakna, mereka yang Muslim berdasarkan kelahiran atau kebudayaan sentiasa berisiko untuk menolak kebenaran mana-mana mesej hidayah dalam al-Quran. Ini sangat menakutkan sebab ia boleh sahaja berlaku kepada aku – moga Allah menjauhi daripadanya!

 

Surah al-Baqarah sebagai surah terpanjang dan surah-surah yang sangat panjang berikutnya seperti Al-Imran dan al-Ma’idah penuh dengan kisah-kisah bangsa Yahudi dan Nasrani zaman dahulu yang aku anggap sebagai golongan yang kufur.

 

Tapi para Sahabah RA, apabila mereka membaca al-Quran mengenai bangsa Yahudi dan Nasrani, mereka lebih banyak memuhasabah diri sama ada ciri-ciri psikospiritual bangsa Yahudi dan Nasrani ada pada diri mereka ataupun tidak.

 

Aku rasa malu pula sebab, biasa bila kita baca kisah-kisah kekufuran Yahudi dan Nasrani, aku jadi angkuh kerana aku Muslim dan mereka kufur, malah kadang-kadang dalam hati terdetik pula ingin melabel Muslim lain yang seagama denganku sebagai mempunyai ciri-ciri kekufuran.

 

Ini lebih kurang seperti menggunakan helah bela diri (defense mechanism) ala Sigmund Freud, pengasas psikoanalisis yang dikatakan digunakan secara tidak sedar untuk mengurangkan rasa konflik dalaman diri sendiri. 

 

Cuma dalam Islam, ia lebih berkaitan dengan bisikan hawa nafsu, malah boleh juga daripada bisikan syaitan supaya kita menjadi angkuh dan tidak memuhasabah diri untuk menjadi lebih baik, luar dan dalam.

 

Golongan munafik

 

Apabila sampai kepada ayat-ayat yang memperincikan golongan munafik iaitu mereka yang menerima hidayah dalam bentuk tingkah laku luaran, tapi menolak hidayah dalam bentuk kognitif dalaman, aku rasa seperti harapan aku menjadi agak kelam untuk mendapatkan hidayah.

 

Sebab kejadian manusia itu rupa-rupanya mampu menunjukkan ciri-ciri hipokrit yang sukar dilihat dengan mata kasar, nampak seperti seorang yang bertakwa di luar tapi hati seorang yang kufur di dalam.

 

Sedangkan Saidina Umar al-Khattab RA pun boleh rasa khuatir dan bertanya kepada Huzaifah al-Yamani yang memegang senarai nama orang munafik sama ada beliau (Umar) berada dalam senarai itu. Dalam psikologi sebenarnya lebih mudah mengukur tingkah laku luaran berbanding aspek kognitif dalaman.

 

Patutlah Allah SWT memberi keterangan yang sangat terperinci tentang ciri golongan munafik (Al-Quran, al-Baqarah 2: 8-20). Dan sebab itu jugalah, bukan mudah untuk Islamisasi bidang psikologi sekular berbanding Islamisasi bidang sains tulen dan sains gunaan sekular.  

 

Definisi psikologi sekular ialah kajian saintifik tentang tingkah laku dan kognitif.  Apa sebenarnya yang mengurus tingkah laku dan kognitif manusia ini hingga ia boleh bertentangan antara satu sama lain?

 

Kita biasa merujuknya sebagai ‘jiwa’ (al-nafs atau soul). Ini lebih menyukarkan Islamisasi psikologi. Psikologi kognitif yang mengkaji unsur yang tidak tampak pun mengalami kesukaran untuk menerangkan tentang jiwa yang sangat kompleks ini.

 

Tapi setiap manusia tahu yang jiwa itu wujud dan dapat dirasakan kewujudannya. Untuk mendapat hidayah, aku perlu terima kewujudannya kerana aku tidak mahu tergolong dalam golongan munafik.

 

Sebab itulah definisi psikologi dalam Islam adalah tentang kajian ilmiah kejiwaan yang memanifestasikan tingkah laku dan kognitif berdasarkan gabungan kaedah Islam dan kaedah saintifik. 

 

Bila aku baca tentang kumpulan-kumpulan ini: yang bertakwa, yang kufur dan yang munafik, pernah terdetik dalam hatiku: “Alangkah baiknya jika manusia itu semuanya daripada satu golongan iaitu golongan yang bertakwa.” Tentu indah, bukan? Satu keluarga besar, keluarga Malaysia, keluarga Asia, keluarga dunia.

 

Dunia yang tiada peperangan, tiada jenayah, tiada diskriminasi, tiada judi, tiada arak dan tiada riba. Semua manusia menunaikan solat, membayar zakat, berpuasa, menunaikan haji, semuanya bahagia dalam perkahwinan dan tiada perceraian, persis berada di syurga. 

 

Persoalan dan jawapan

 

Aku terus membaca surah al-Baqarah tentang keperluan untuk menyembah satu Tuhan, tentang kerasulan Nabi Muhammad SAW, tentang akhirat dan hari pembalasan, tentang kebangkitan manusia daripada mati dan tentang kekuasaan Allah SWT.

 

Ya, aku percaya semua itu. Tapi satu persoalan yang selalu ditanyakan oleh semua ahli psikologi, malah ahli sains sosial dan ahli falsafah, dan pernah bermain-main di fikiranku ialah kejadian manusia dan psikologi jiwa manusia.

 

Aku tidak perlu menunggu lama. Benarlah seperti yang dikatakan orang. Jika kita benar-benar mentadabbur dan membuat refleksi kendiri ketika membaca al-Quran, bukannya kita yang membaca al-Quran, tapi kita akan merasakan yang al-Quran yang ‘membaca’ diri kita. Itu yang aku selalu rasa.  

 

Allah SWT berbicara tentang kejadian manusia pertama iaitu Nabi Adam AS (Al-Quran, al-Baqarah 2: 30-38), peranannya sebagai khalifah di bumi, kecerdasan akal baginda, penghormatan malaikat terhadap baginda, kemunculan pertama kali peristiwa ‘dosa’ dan ‘mengikut hawa nafsu’, taubat baginda dan rahmah Allah SWT terhadap baginda dan isteri baginda.

 

Aku mula faham sekarang, sedikit demi sedikit, kerana manusia diciptakan dengan dwi-kejadian (dual nature) iaitu jasad dan roh. Tapi hatiku pernah terdetik, alangkah indahnya jika kita manusia kekal hidup di syurga tanpa ‘dicampak’ ke bumi yang penuh derita.

 

Walaupun aku masih ada beberapa persoalan yang belum dijawab, aku percaya Allah SWT akan memberi jawapannya dalam surah-surah berikutnya. Kisah Nabi Adam AS ini diulang-ulang dalam beberapa surah (Ali Imran, al-Ma’idah, al-A`raf, al-Isra’, Taha, dan lain-lain) memperincikan lagi idea kejadian manusia dan psikologi jiwa.

 

Kisah, arahan dan komunikasi

 

Al-Quran ini penuh dengan kisah, perumpamaan, arahan dan komunikasi dua hala antara manusia untuk mengoperasikan tingkah laku dan kognitif ke arah hidayah yang memberi manfaat kepada jiwa kita di dunia dan di akhirat. 

 

Oh ya, teringat pula harapan utopia yang aku dambakan. Setelah menceritakan kejadian Nabi Adam AS, surah al-Baqarah turut menyentuh isu-isu yang menjadi persoalanku iaitu tentang peperangan, jenayah, diskriminasi gender dan kaum, judi, arak dan riba. Malah persoalan solat, zakat, puasa, haji, perkahwinan dan perceraian juga ada diceritakan dalam Surah al-Baqarah.

 

Semua persoalan ini diceritakan secara ringkas, menjadikan minatku untuk terus membaca al-Quran meningkat hingga mewujudkan soalan-soalan pemikiran atau spiritual-kognitif aras tinggi.

 

Walaupun isu-isu di atas begitu besar dan berat, Allah SWT sentiasa mengekalkan mesej hidayah apabila membicarakan isu-isu tersebut dengan sentiasa memperkenalkan dan memperteguhkan nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang sempurna, mengingatkan aku kembali tentang sifat Allah sebagai Rabb dan juga Ilah yang tersulam di antara kisah-kisah silam dan hukum-hakam feqah.

 

Tapi, banyak juga isu yang diperkenalkan dalam surah al-Baqarah. Rasa terbeban pula secara kognitif dan terbeban pula untuk melaksanakannya dalam bentuk tingkah laku. Tapi aku tetap mengharapkan hidayah daripada-Nya.

 

Aku mahu berada di atas jalan yang lurus (Al-Quran, al-Fatihah 1:6). Aku mahu menjadi golongan yang diberi nikmat (Al-Quran, al-Fatihah 1:7). Aku tidak mahu menjadi golongan yang dimurkai atau golongan yang sesat (Al-Quran, al-Fatihah 1:7).

 

Kemampuan dan harapan

 

Banyak betul arahan dan larangan dalam surah al-Baqarah ini. Mampukah aku untuk memahami (kognitif) dan mengamalkannya (tingkah laku)? Sesetengah pengajian agama fokus kepada halal vs haram, sah vs batal, sunnah vs bid’ah.

 

Jika aku terus membaca al-Quran, adakah aku akan jadi seperti golongan yang dimurkai (berilmu tanpa amal) atau golongan yang sesat (beramal tanpa ilmu) (Al-Quran, al-Fatihah 1:7)?

 

Jauh di sudut hati, aku ingin berkata, aku akan dengar dan aku akan taat Allah SWT kerana aku sangat-sangat inginkan hidayah. Rupa-rupanya, Allah SWT sendiri menjelaskan harapan orang yang beriman di akhir surah ini (Al-Quran, al-Baqarah 2:286).

 

Terasa beban kognitif dan beban tingkah laku terangkat dari hatiku. Allah ‘menenangkan’ aku dengan mengatakan bahawa Dia tidak akan membebankan jiwaku lebih daripada yang aku mampu. Malah Allah SWT meletakkan kalimah harapan itu ke lidahku:

 

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, bantulah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kufur (menentang kebenaran).”

 

Kembara tadabbur

 

Sebenarnya ada banyak lagi persoalan tentang amalan yang baik dan buruk yang masih belum terjawab dalam surah al-Baqarah. Tapi, seperti yang aku jangka, al-Quran ‘membaca’ fikiran aku.

 

Semua persoalan itu dijawab sedikit demi sedikit dalam surah-surah yang berbeza hingga meningkatkan lagi rasa ingin tahu (curiosity) dan motivasi untuk membaca dan terus membaca dan meningkatkan keberkesanan kembara tadabbur psikospiritualku untuk mendapatkan hidayah. 

 

Seolah-olahnya Surah al-Fatihah itu seperti sebuah kata-kata pembukaan kepada al-Quran, manakala surah al-Baqarah itu adalah bab pengenalan kepada seluruh tema yang dibicarakan dalam al-Quran.

 

Dalam kembara tadabbur ini, Allah sentiasa mengingatkan aku dalam setiap muka surat al-Quran tentang mesej hidayah sehinggakan semua persoalan-persoalan dalam al-Quran yang nampak seperti tiada kaitan bersatu di bawah tema tauhid (keesaan Allah SWT). 

 

Apabila kembara tadabbur ini berterusan, aku merasakan hubunganku dengan Allah SWT semakin diperincikan dan diperjelaskan hingga aku merasa lebih dekat secara kejiwaan dengan Allah SWT daripada surah-surah yang sangat panjang (al-sab’u al-tiwal), panjang (al-miin), sederhana (al-mathani) hingga yang sangat pendek (al-mufassal). (Musnad Ahmad, No. 16982)

 

Mesej hidayah

 

Dalam surah-surah pendek yang terakhir, barulah mesej hidayah disebut dengan cara langsung, tegas, dan no-nonsense tentang kepercayaan kepada keesaan Allah SWT sebagai asas hidayah yang merupakan dasar kepada kewujudan manusia.

 

Dan rasa begitu sempurna al-Quran ini, apabila aku mengakhiri kembara tadabbur psikospiritualku ini dengan surah yang bernama al-Nas atau ‘manusia,’ dengan cara jiwaku menerima hidayah dalam bentuk tingkah laku dan juga kognitif bahawa Allah SWT adalah Rabb manusia (Al-Quran, al-Nas 114: 1) dan Ilah manusia (Al-Quran, al-Nas 114: 3) dan memohon kepada Allah SWT untuk menjauhkan diriku daripada pengaruh dalaman (jin) dan pengaruh luaran (manusia) (Al-Quran, al-Nas 114: 4-6) yang boleh mengganggu misi aku untuk mendapatkan hidayah dan kekal di atas jalan yang lurus. 

 

Aku baru sedar yang ayat-ayat al-Quran berkaitan dengan hukum hanya sekitar 200 hingga 500 ayat sahaja. Oleh itu, Islam bukanlah sekadar tentang halal-haram, sah-batal atau suci-najis semata-mata.

 

Aku juga mendapati aku tidak perlu menghafal istilah-istilah akidah yang sukar difahami apabila berbicara tentang iman dan tauhid. Al-Quran telah mengajak aku untuk berfikir dengan akal dan bertadabbur dengan hati secara ilmiah dan secara psikospiritual untuk memahami konsep keesaan Allah.

 

Kebanyakan ayat al-Quran sangat berunsurkan psikologi atau psikospiritual – berbicara denganku tentang jiwa dan hubungannya dengan Allah SWT disulami dengan contoh-contoh tentang tingkah laku manusia dan kognitifnya.  

 

Kembara tadabbur psikospiritual dengan al-Quran ini bukanlah satu perjalanan yang lancar. Ia umpama menaiki roller-coaster di taman tema. Kadang-kadang aku berasa sedih, kadang-kadang aku berasa gembira, dan kadang-kadang aku berasa malu.

 

Lagipun, bukankah Allah SWT mempunyai akses sepenuhnya terhadap jiwaku? Dia tahu bila untuk memujukku, memberi galakan kepadaku, malah memarahiku.

 

Tapi Allah SWT sentiasa melimpahkan kasih sayang-Nya kepadaku ketika aku rasa keseorangan, memberi harapan kepadaku ketika aku putus asa, tapi turut memberikan aku amaran secara lemah-lembut.

 

Umpama topik psikologi

 

Pengalaman kembara tadabbur psikospiritual al-Quran adalah umpama mempelajari topik-topik psikologi sekular secara psikospiritual. Sesetengah ayat al-Quran mewujudkan reaksi fisiologi yang berbeza dan memaksa sistem sarafku (nervous system) untuk bekerja lebih kuat (tajuk psikologi fisiologi). 

 

Sesetengah ayat al-Quran menggunakan teknik audio-visual maya untuk mengetuk rasa kesedaran dalam jiwaku dan mengajarku bagaimana menggunakan pancainderaku untuk mendapatkan hidayah (topik psikologi pancaindera dan persepsi).

 

Sesetengah ayat al-Quran mempertingkatkan tahap kesedaran (consciousness) dan kadang-kadang membawa ke jauh ke alam kesedaran batin (unconcsciousness) (topik psikologi kesedaran).

 

Sesetengah ayat al-Quran membuatkan aku belajar sesuatu yang berharga atau menunjukkan kepadaku bagaimana aku telah mengubah tingkah laku aku daripada baik kepada yang tidak baik (topik psikologi pembelajaran).

 

Sesetengah ayat al-Quran membuatkan aku mengingatkan aku tentang mesej hidayah yang aku selalu lupa dan menunjukkan kepada aku bagaimana aku telah melupakannya (psikologi memori).

 

Sesetengah ayat al-Quran memberi provokasi kepada aku untuk menggunakan skil kognitifku – untuk berfikir, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah – untuk mendapatkan hidayah (topik psikologi kognitif).

 

Sesetengah ayat al-Quran menajamkan kecerdasanku dan kadang-kadang menyedarkan jiwaku betapa bodohnya aku (psikologi intelijens). Sesetengah ayat al-Quran memberi motivasi kepadaku untuk terus berusaha mendapatkan hidayah dan juga menyebabkan aku mahu mengawal motivasiku yang berasaskan hawa nafsu (psikologi motivasi).

 

Sesetengah ayat al-Quran mengawal emosiku, menjadikan aku takut, terkejut, sedih, gembira, dan ya, termasuk juga jijik dan marah (psikologi emosi). Sesetengah ayat al-Quran menunjukkan bahawa tingkah laku dan kognitifku tidak sesuai dengan tahap perkembanganku yang sudah dewasa (psikologi perkembangan).

 

Sesetengah ayat al-Quran menyedarkan aku bahawa apa yang aku sangka tingkah laku dan kognitif normal adalah sebenarnya tidak normal (psikologi abnormal).

 

Sesetengah ayat al-Quran menunjukkan kepadaku betapa mudahnya aku tergelincir daripada hidayah kerana pengaruh orang lain, dan mengajarku bagaimana pula untuk berdakwah mempengaruhi orang lain ke arah hidayah (psikologi sosial).

 

Aku merasakan bahawa semua bab dalam buku pengenalan pskologi telah dibaca dan dialami secara psikospiritual dalam kembara tadabbur al-Quran ini. 

 

Pengalaman kembara

 

Beginlah pengalamanku dalam kembara tadabbur al-Quran. Dan setiap kali aku mengulangi kembara tadabbur ini – daripada surah al-Fatihah hingga surah al-Nas – ia seolah-oleh satu perjalanan yang baru dengan pengalaman yang baru.

 

Aku dapati apabila aku bertadabbur atau membuat refleksi kendiri apabila membaca al-Quran, al-Quran akan memberi refleksi balik terhadap diriku. Memahami bahawa aku mempunyai dwi-kejadian (jasad dan roh) menyebabkan aku lebih menerima diriku sendiri seadanya (self-acceptance).

 

Aku menerima kebesaran Allah SWT dalam menciptakan aku sebegini. Aku juga menerima bahawa imanku boleh menaik dan boleh menurun, dan aku juga menerima yang aku mampu melakukan amal soleh dan juga amal dosa.

 

Aku juga mengetahui bahawa sekali-sekala apabila sesuatu yang buruk akan berlaku kepadaku, atau apabila aku melakukan satu dosa, atau apabila aku tiba-sangsi tentang sesuatu perkara, ketika itu al-Quran sentiasa di hadapanku sebagai seorang peneman berinteraksi yang boleh menyimpan rahsia, yang sentiasa bersamaku dalam susah dan senang, yang memuji dan memarahiku dan yang mengetahui rahsia paling sulit dalam jiwaku.

 

Aku tahu kadang-kadang aku mengabaikan al-Quran, tapi al-Quran tidak pernah mengabaikanku. Setiap kali aku memerlukan peneman dan penyimpan rahsia luahan hati, al-Quran sentiasa ada di sisi kerana jiwaku sentiasa memerlukan hidayah.

 

Itulah dia kalam Allah yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dengan perantaraan malaikat Jibril, diriwayatkan secara mutawatir dan membacanya sahaja, walaupun tanpa kefahaman, sudah dikira satu ibadah.

 

Oleh itu, jika aku satu hari nanti melakukan tingkah laku dan kognitif yang berbentuk dosa, aku tidak menyalahkan faktor tidak sedar (seperti anggapan psikologi berasaskan psikoanalisis), atau menyalahkan faktor persekitaran (seperti anggapan psikologi berasaskan behaviourisme), atau menyalahkan faktor genetik, neuron, hormon dan evolusi (seperti anggapan psikologi berasaskan biologi), atau menganggap perbuatan dosaku adalah baik kerana manifestasi aktualisasi kendiri (seperti anggapan psikologi berasaskan humanisme). 

 

Aku hanya akan menyalahkan jiwaku sendiri, tapi dalam masa yang sama tidak putus harapan kepada Allah dalam memberikan aku petunjuk dan hidayah. 

 

Aku akan ulangi sekali psikologi dalaman atau psikospiritualku ketika membaca surah al-Fatihah. 

 

Aku bersyukur kepada-Mu ya Allah (Al-Quran, al-Fatihah 1:2).

Aku cintakan-Mu ya Allah (Al-Quran, al-Fatihah 1:3). 

Aku takut kepada-Mu ya Allah (Al-Quran, al-Fatihah 1:4). 

Aku abdikan diri kepada-Mu dan aku sentiasa berharap kepada-Mu ya Allah (Al-Quran, al-Fatihah 1:5).

Bimbinglah aku ke jalan yang lurus (Al-Quran, al-Fatihah 1:6).

Bantulah aku membezakan antara tingkah laku dan kognitif yang baik dan buruk. Bantulah aku berada bersama golongan yang baik dan bukan golongan yang jahat (Al-Quran, al-Fatihah 1:7).

Moga hidupku bahagia di dunia dan di akhirat. Amin (Kabulkanlah permintaanku)

 

Pengerusi
Psikospiritual IKRAM (P.S.I)
Profesional, Saintifik dan Islamik.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia