Syamsul Yusof Kahwin Ira Kazar: Poligami Menzalimi?

Tular di media sosial isu pengarah filem terkenal Syamsul Yusof yang telah bernikah dengan pelakon Ira Kazar sebagai isteri kedua.

Berita ini hangat diperkatakan oleh warga maya yang melibatkan mereka yang menyokong tindakan pelakon tersebut terutamanya di kalangan kaum lelaki.

Manakala reaksi kekesalan ibu bapa Syamsul Yusof yang jelas kecewa dengan tindakan anaknya itu dalam menyelesaikan isu kemelut rumah tangganya bersama pelakon Puteri Sarah Liyana telah membangkitkan lagi kekecewaan dan kemarahan mereka yang menentang isu ini.

Apabila isu ini serta-merta menimbulkan kontroversi dalam masyarakat Muslim Malaysia amnya, jelas sekali ia bagaikan mencurahkan minyak ke atas api yang telah lama membara. Ada luka yang meninggalkan parut.

Keharusan Yang Dicemari

Mengapa situasi ini berlaku sedangkan ia amalan berpoligami adalah sesuatu yang dibolehkan dalam agama Islam? Sudah tentu apa yang datang daripada Ilahi harus memberikan manfaat buat manusia demi menyelesaikan isu kemaslahatan yang ada.

Maka di sini, dapat dilihat bahawa keindahan dan hikmah yang terkandung dalam ajaran Islam melalui wahyu Ilahi dan tauladan para Nabi seringkali dicemari dengan perangai buruk sebahagian penganutnya.

Kegagalan masyarakat untuk menghayati falsafah di sebalik hukum ini menyebabkan amalan poligami sering disalah erti dan disalah guna sehingga amalan poligami tidak lagi bersifat melindungi tetapi sebaliknya menzalimi pihak-pihak yang terlibat. 

Isunya bukan hukum syarak poligami itu yang ditentang, tetapi penyelewengan dan kezaliman yang berlaku akibat daripada amalan poligami yang salah telah membangkitkan penentangan terhadap poligami. 

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (An-Nisaa’: 3)

Ketika ayat ini diturunkan, ia telah membawa mesej untuk membolehkan poligami. Namun pemahaman masyarakat sering terhenti terhadap hukum poligami yang disangkakan jatuh hukum sunat untuk semua orang sedangkan terdapat segelintir orang berada dalam golongan makruh atau haram untuk mengamalkannya.

Ayat tersebut turut membawa makna bahawa hukum poligami ini harus jika tidak mendatangkan kemudaratan dan penganiayaan ke atas isteri.

Sekiranya suami tidak dapat berlaku adil dan akan memudaratkan isteri termasuk dari segi kesihatan mental, mereka diarahkan untuk beristeri hanya seorang sahaja. 

Oleh itu, jelas di sini bahawa poligami diperbolehkan dalam keadaan tertentu sahaja dan berkait rapat dengan peranan suami untuk berlaku adil dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dalam segala aspek rumah tangga.

Perundangan Dipandang Remeh?

Realitinya tidak sedikit perkahwinan pertama runtuh setelah perkahwinan dengan isteri seterusnya terlaksana. Perkahwinan yang didasari atas nilai kepercayaan dan kejujuran antara suami isteri boleh mengalami ketegangan apabila pihak suami tidak telus dan jujur dalam tujuannya untuk beristeri lebih.

Adanya peruntukan-peruntukan berkaitan poligami dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam adalah bagi memastikan konsep poligami yang disyariatkan tidak bertentangan dengan prinsip keadilan yang sepatutnya dilaksanakan. 

Namun sedihnya, peruntukan ini dipandang remeh dan mudah oleh sesetengah pihak sehingga ada yang menganggap ia menyalahi hukum Islam dengan alasan menyekat hak kaum lelaki untuk berpoligami. 

Disebabkan ini, berlaku lambakan kes poligami yang dilakukan di luar negara melalui sindiket perkahwinan seperti di Selatan Thailand atau Indonesia. Pernikahan ini tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia sehingga pasangan ini mendaftar perkahwinan mereka di negara ini. 

Kajian kes keputusan kes permohonan poligami di Selangor dari tahun 2009 ke 2013 menunjukkan sebanyak 56 peratus kes diluluskan, manakala selebihnya dibuang kes, ditarik balik atau ditolak. 

Mahkamah tidak sewenang-wenangnya meluluskan atau menolak permohonan poligami. Sebaliknya ia melalui pertimbangan yang wajar dan teliti sekalipun permohonan plaintif iaitu pihak suami untuk berpoligami disokong oleh isterinya dan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh. 

Mencerahkan Salah Faham

Polemik poligami di Malaysia adalah berpunca daripada salah faham masyarakat tentang konsep dan falsafah poligami sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam.

Adanya hukum poligami adalah untuk membawa kesejahteraan, namun amalan poligami yang tidak betul telah menyempitkan tafsiran amalan poligami dalam masyarakat sebagai sesuatu yang lebih membawa kemudaratan.

Kini, poligami telah disensasikan sebagai jalan untuk menikmati kelazatan dalam perhubungan tanpa menitikberatkan tentang tanggungjawab berat yang dipikul bersama pernikahan yang baharu. 

Naratif poligami yang dibawa tidak sepatutnya mendayuskan peranan lelaki yang perlu bertindak sebagai pelindung dalam rumah tangga dan bukan sebaliknya memperkasakan fungsi wanita dalam memperjuangkan hak isteri dan anak-anak akibat pengabaian tanggungjawab lelaki. 

Hakikatnya, tujuan pernikahan adalah untuk mencapai sakinah, mawaddah dan rahmah dalam rumah tangga.

Namun sekiranya ia dilakukan dengan keutamaan untuk mencapai kepentingan diri dahulu, kehidupan boleh menjadi berantakan sekali gus matlamat perkahwinan tidak akan tercapai.

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia