Suri Teladan sebagai ‘Role Model’ Pembentukan Akhlak

Suri Teladan sebagai ‘Role Model’ Pembentukan Akhlak | IKRAM

Artikel kali ini akan meneruskan perbincangan tentang pembentukan akhlak kepada kanak-kanak, murid-murid dan remaja secara khususnya serta kepada orang dewasa, pekerja dan masyarakat secara amnya. 

Sebelum dijelaskan lebih terperinci, mari kita bincangkan terlebih dahulu secara ringkas siapakah qudwah hasanah atau suri teladan yang berperanan dalam pembentukan akhlak.

Siapakah yang boleh digelar qudwah hasanah? Qudwah hasanah boleh diberi definisi sebagai ikon, idola, mentor, pempengaruh, suri teladan, individu yang disanjungi, dikagumi, dipuja, disayangi dan diminati yang terdiri daripada tokoh pendidikan, tokoh agama, tokoh politik, bintang sukan, artis dan mana-mana individu yang memberikan inspirasi kepada orang lain termasuklah ibu bapa, guru, pensyarah, ahli perniagaan, ulama dan sebagainya. 

Mengapa qudwah hasanah ini sangat penting dalam pembinaan akhlak? Ia disebabkan mereka terdiri daripada individu yang dihormati, disanjungi, dijadikan teladan, dicontohi, mempunyai pengaruh positif serta memberi inspirasi kepada pengikutnya.

Pandangan yang diberikan, tindakan, akhlak dan peribadi mereka mampu memberi impak kepada pengikutnya. Individu mampu terpengaruh atau dipengaruhi oleh suri teladannya sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam kehidupannya.

Secara sedar atau tidak suri teladan merupakan figura penting yang memberi contoh ikutan yang baik dalam membantu seseorang meningkatkan potensi diri dan memperbaiki kelemahan yang ada.

Selain itu, pengaruh qudwah hasanah kepada pembinaan akhlak daripada bentuk motivasi yang diambil daripada pencapaian mereka mampu mendorong pengikutnya mencapai matlamat dengan tindakan yang betul, jujur, berintegriti dan berakhlak.

Suri teladan

Kejayaan yang ditonjolkan oleh suri teladan itu berupaya mendidik pengikutnya agar sentiasa mencontohinya untuk terus memperbaiki diri, berhadapan dengan cubaan dan cabaran dalam kehidupan serta meletakkan matlamat Allah sebagai tujuan utama dalam setiap tindak-tanduk yang dilakukan.

Nilai-nilai murni dan keterampilan yang baik dijadikan teladan selain mengambil pengajaran daripada tindakan dan sikap positif qudwah hasanah untuk diterapkan dalam kehidupan mereka.

Ini secara tidak langsung membentuk identiti dan pengalaman kehidupan pengikutnya, selain  memberikan nilai positif yang dapat membimbing pengikut ke arah kebaikan dan kesejahteraan.

Siapakah yang sebaiknya menjadi suri teladan masyarakat Islam khususnya kepada pembentukan akhlak? Jawapan tepatnya ialah Rasulullah SAW merupakan qudwah yang paling ideal bagi umat Islam.

Mereka sewajarnya mengambil contoh akhlak dan budi pekerti baginda sebagai contoh dan teladan agar dapat ditiru oleh generasi muda khususnya. Rasulullah sebagai suri teladan telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmannya melalui surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Rasulullah itu bagi kamu adalah contoh ikutan yang baik untuk mereka yang mengharapkan Allah…”

Pada masa kini, ibu bapa seharusnya menjadi suri teladan yang paling baik kerana merekalah yang berperanan penting dalam mendidik dan membesarkan anak-anak selain masa ibu bapa bersama-sama anak-anak agak panjang berbanding dengan sekolah dan rakan-rakan. 

Hal ini bertepatan dengan apa yang dijelaskan Imam Syafie iaitu “Hendaklah kamu (ibu bapa) memperbaiki diri kamu dahulu sebelum kamu memperbaiki anak-anak kamu kerana mata anak-anak sentiasa memerhatikan kamu.”

Kini apabila berlakunya alaf digital, anak-anak mencari suri teladan selain ibu bapa. Yang dikhuatiri ialah suri teladan yang dipilih oleh anak-anak tidak sesuai dan membawa kepada pengaruh akhlak yang tidak baik. 

Apabila dilihat pada laporan akhbar kini, laporan masalah salah laku anak-anak yang terdiri daripada awal remaja sehingga ke peringkat dewasa tidak pernah sunyi daripada bahan tatapan umum.

Mengapa ibu bapa sangat penting sebagai suri teladan kepada anak-anak kini? Jawapannya, didikan awal anak-anak bermula dari rumah dan ia bergantung kepada kaedah serta nilai-nilai yang ditunjukkan oleh ibu bapa.

Ibu bapa sebagai ikon

Sekiranya anak-anak dilakukan secara baik dan berhemah, mereka akan menjadi baik. Sekiranya mereka dilakukan secara kejam, kasar dan ganas, tidak mustahil anak-anak itu mampu mencederakan atau menjadi ‘malapetaka’ apabila dewasa nanti kerana membesar dalam suasana yang tidak seimbang.

Ibu bapa sebagai ikon anak-anak perlu diambil berat oleh masyarakat. Ibu bapa perlu kembali kepada tanggungjawab asal iaitu mendidik, mengajar dan memimpin anak-anak dengan kaedah yang betul sebagaimana yang dijelaskan oleh Abdullah Nashih Ulwan iaitu: “Allah memberi kasih sayang kepada orang tua yang mendidik anaknya untuk berbakti kepada dirinya.”

Islam telah meletakkan garis panduan kepada ibu bapa, guru, ketua, pemimpin dan individu yang dikenali sebagai suri teladan sebagai pemangkin kepada pembentukan akhlak iaitu: 

  1. Menyampaikan dan mengucapkan kata-kata yang baik, lembut dan menonjolkan kasih sayang.
  2. Bersikap  adil dan berbuat baik khususnya kepada kaum kerabat dan orang lain.
  3. Tidak menunjukkan sikap kasar, ganas, kejam dan kasar sebagaimana firman Allah melalui surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud: “..sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu…”

Perkara di atas merupakan antara panduan kepada suri teladan khususnya ibu bapa yang mahu dijadikan contoh ikutan kepada anak-anak agar kehidupan mereka sentiasa dirahmati, sejahtera, dipandang mulia dan istiqamah.

Jika ibu bapa mengambil jalan yang bengkok dan mengajar perlakuan kasar, mereka akan melihat anak-anak mereka turut menyimpang dan tersasar dari landasannya. 

Berikut merupakan antara kisah tanggungjawab ibu bapa yang diambil daripada buku Pedoman Pendidikan Anak dalam Islam oleh Abdullah Nashih Ulwan yang boleh dijadikan pengajaran kepada kita khususnya kepada ibu bapa dan mereka yang berpotensi menjadi ikon anak-anak: 

Seorang lelaki telah datang kepada Umar Ibn al-Khattab mengadu akan anaknya yang derhaka. Kemudian Umar bertemu dengan anaknya untuk menyedarkan. Anak itu menjawab “Wahai Amirul Mukminin, bukankah anak juga mempunyai hak-hak yang harus diberikan oleh bapanya? Umar berkata, “Sudah tentu.”

Anaknya bertanya, “Apakah itu wahai Amirul Mukminin?” Umar menjawab, “Memilihkan ibunya, memberikan nama yang baik kepada anak, mengajar al-Quran kepadanya.”

Anak itu berkata, “Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya ayahku belum pernah melakukan salah satu pun antara semua itu. Adapun ibuku seorang bangsa Ethiopia dari keturunan bangsa Majusi.” 

“Ayahku memberi namaku Ju’al yang bermaksud kumbang kepala dan belum pernah mengajarku satu huruf pun daripada al-Kitab. 

Kemudian Umar menoleh kepada lelaki itu dan berkata, “Engkau telah datang kepadaku untuk mengadukan bahawa anakmu telah derhaka terhadapmu, padahal engkau telah berbuat buruk kepadanya sebelum ia berbuat buruk kepadamu.’’

Jelas di sini bahawa anak-anak, baik yang remaja mahupun dewasa dan majoriti individu mampu dipengaruhi oleh suri teladan yang wujud secara langsung atau tidak langsung dalam kehidupan kita.

Figura penting

Sama ada disedari atau tidak, suri teladan merupakan ‘potret’ atau figura penting yang memberi contoh ikutan yang baik atau tidak, yang bersesuaian atau sebaliknya dalam membantu anak-anak dan individu untuk sentiasa meningkatkan jati diri dan peribadi serta memperbaiki kelemahan diri.

Secara umumnya, golongan remaja dan belia dilihat agak gemar mencari suri teladan yang terdiri daripada artis, instafamous, bintang sukan dan pemimpin politik sebagai ikon mereka. 

Yang agak membimbangkan adalah apabila ikon yang diminati tidak memberikan contoh akhlak yang baik. Lebih-lebih lagi apabila kerapuhan institusi kekeluargaan dilihat turut menjadikan mereka terkapar-kapar tanpa bimbingan yang sebaiknya daripada ibu bapa.

Mereka tidak sedar kesan dan pengaruh suri teladan dalam tindakan yang bakal mereka lakukan apabila terlalu taasub mengikuti gaya hidup, pemikiran dan nilai-nilai yang ditunjukkan oleh ikon tersebut dalam kehidupan mereka.

Jujurnya, kehidupan manusia ini memerlukan ‘pemandu’ yang menunjukkan jalan yang betul khususnya bagaimana bertindak dan bertingkah laku.

Bukalah mata dan bukalah minda dengan melihat daripada pelbagai perspektif bagi mencari suri teladan untuk kita kagumi atau minati seperti kata Syeikh Muhammad Al-Hamid:

‘Berjalan tanpa mursyid (pemandu) yang mengetahui, kadangkala tidak membawa kepada matlamat yang diharapkan, dan hendaklah kamu berpandukan kepadanya. “

“Samalah juga seorang itu tidak boleh menjadi doktor dengan sekadar membaca buku-buku sahaja tanpa melakukan amali kedoktoran, kemudian setelah berjaya dalam peperiksaan, dia bertugas di pusat rawatan di bawah pemerhatian seorang doktor.”

“Tidaklah dia menjadi seorang doktor kecuali dengan melalui cara ini. Perjalanan menuju Allah tidak akan terjamin pencapaiannya kecuali dengan mendampingi orang alim yang bersih, bertakwa dan warak.”

“Seorang itu dididik dengan mendampingi orang lain, dan orang itu dididik dengan orang lain pula. Begitulah seterusnya hingga kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.” 

 

Prof Madya Dr Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open University Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia