Teladan dan Tip Mengurus Masa Dengan Bijak

Teladan dan Tip Mengurus Masa Dengan Bijak | IKRAM

Pengurusan masa sangat ditekankan dalam Islam sehingga terdapat satu surah khusus Allah SWT bersumpah dengan masa iaitu Surah al-Asr. Selain itu dalam Surah al-Fajr, Allah SWT bersumpah dengan waktu subuh, manakala dalam Surah al-Lail, Allah SWT bersumpah dengan waktu malam.

Bukan itu sahaja, malah Allah SWT mewajibkan hamba-Nya menunaikan solat fardu dalam waktu-waktu tertentu tanpa boleh terawal atau terlewat walau seminit. Begitu juga halnya dengan ibadah-ibadah lain seperti ibadah puasa, zakat, wukuf di Arafah, melontar di Mina dan ibadah korban yang sangat bergantung pada masa-masa tertentu.

Jelas bahawa Allah SWT telah menyusun satu sistem kehidupan yang sangat sempurna buat hamba-Nya dengan ikatan masa.

Suri teladan pengurusan masa

Seseorang yang mampu mengurus masa dengan efisien akan dapat mengoptimumkan penggunaan masa serta mendapat manfaat yang besar daripada masa tersebut.

Contoh manusia agung yang menguruskan masa kehidupannya sehingga dapat dinikmati manfaat ribuan tahun ialah baginda Rasulullah SAW. Rasulullah SAW hanya mempunyai masa 23 tahun bagi menyebarkan dakwah Islamiah ke pelosok alam.

Tempoh 13 tahun di Makkah merupakan masa yang sangat getir apabila baginda menghadapi tentangan kaum kafir Quraisy. Dakwah Islamiah tidak mampu berkembang dengan baik di Makkah ketika itu kerana mendapat tentangan yang sangat kuat.

Rasulullah SAW hanya mempunyai masa 10 tahun sahaja iaitu selepas baginda berhijrah ke Madinah. Pada lima hingga enam tahun pertama penghijrahan, Rasulullah SAW dan para sahabat banyak menghadapi siri-siri peperangan dalam usaha mempertahankan kaum Muslimin daripada dicerobohi hak-haknya.

Selain itu, Rasulullah SAW hanya mempunyai masa empat atau lima tahun sahaja untuk menyebarkan Islam di luar Makkah dan Madinah. Selepas perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah SAW mula menyebarkan dakwah Islam melalui surat-surat kepada negara-negara luar seperti Rom, Parsi, Mesir dan negara lainnya.

Dengan jumlah 27 siri peperangan yang dihadapi oleh Rasulullah SAW dalam tempoh 10 tahun, baginda mampu menguruskan masa mentadbir negara Madinah serta membuat hubungan diplomasi dengan penyebaran dakwah Islamiah kepada kuasa-kuasa besar yang lain.

Ia pastinya memerlukan perancangan dan pengurusan masa yang sangat sistematik. Hasilnya, dakwah Islamiah mula tersebar sehingga kita semua dapat menikmati Islam dan iman pada hari ini.

Rasulullah SAW menunjukkan contoh bagaimana masa yang sangat singkat jika diurus dengan baik, mampu merubah kehidupan sehingga memberi kesan kepada generasi terkemudian.

Masa adalah Kehidupan

Imam al-Ghazali menyebut bahawa masa adalah kehidupan. Setiap saat masa yang diberikan Allah SWT perlu dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti kehidupan yang bermanfaat.

Jelasnya lagi, tanda seseorang itu tidak dipandang oleh Allah SWT ialah apabila mereka disibukkan dengan perkara-perkara yang tiada kaitan dengannya dan tidak bermanfaat. Sebaliknya, seseorang yang diberi perhatian oleh Allah SWT akan dipenuhi masanya dengan perkara-perkara yang bermanfaat.

Secara zahirnya, semua orang diberi masa 24 jam sehari semalam. Namun, terdapat masa yang barakah iaitu tempoh masa yang pendek mampu menyelesaikan pelbagai tugasan.

Contohnya, seorang ibu yang bekerja mampu melaksanakan tanggungjawab mengurus rumahtangga, suami dan anak-anak. Dalam masa yang sama, dia mempunyai tanggungjawab yang besar di tempat kerja.

Dengan keberkatan masa, seorang ibu tersebut masih berpeluang menunaikan solat pada awal waktu, membaca al-Quran setiap hari, menyertai program-program khidmat masyarakat, terlibat dengan NGO serta kelas-kelas ilmu yang diadakan pada hujung minggu.

Sebaliknya, bagi mereka yang malang pula, walaupun mempunyai masa yang panjang, ia tidak mampu menyelesaikan apa-apa tugasan kerana tiada keberkatan masa.

Contohnya, seorang pelajar IPT yang tinggal di asrama dan hanya fokus belajar sahaja. Dia tidak terlibat dengan apa-apa persatuan dan aktiviti asrama, namun tidak mampu solat awal waktu, tidak mampu membaca al-Quran setiap hari, malah selalu tidak menghadiri kuliah kerana tertidur serta tidak menghantar tugasan yang diberikan pensyarah.

Banyak masa dihabiskan dengan tidur dan media sosial. Benarlah pepatah yang mengatakan bahawa hanya orang yang sibuk akan menghargai masa.

Tip menguruskan masa

Dengan pesatnya kemajuan teknologi terkini, masyarakat sangat banyak didedahkan dengan media sosial seperti seperti TikTok, Instagram, Facebook, Snapchat, YouTube, WhatsApp dan lain-lain. Jika tidak dikawal dengan bijak, masa akan banyak dibazirkan dengan melayani platform-platform ini tanpa disedari.

Seseorang itu akan hilang fokus dalam melakukan apa-apa aktiviti apabila sentiasa ingin melihat platform tersebut. Oleh itu, sangat penting bagi setiap individu mengawal penggunaan media sosial dengan bijak serta mencipta budaya produktif dan terfokus.

Tidak dinafikan bahawa banyak manfaat yang diperoleh daripada media sosial, namun perlu dipastikan penggunaannya dapat dikawal sehingga seseorang itu tidak terjebak kepada pembaziran masa dan perkara-perkara maksiat.

Cara mudah untuk mengurus masa dengan bijak ialah membuat jadual harian secara mingguan menggunakan langkah-langkah berikut:

1. Senaraikan perkara-perkara yang perlu dilakukan sepanjang minggu. Susun mengikut keutamaan. Contoh: hantar anak ke sekolah, mengemas rumah, membaca buku.

2. Sediakan jadual mingguan yang terdapat tujuh hari iaitu Isnin hingga Ahad.

3. Bahagikan hari-hari tersebut kepada 24 jam, bermaksud setiap hari ada 24 kolum bersamaan dengan 24 jam.

4. Masukkan waktu-waktu solat dalam jadual tersebut. Pastikan solat pada awal waktu.

5. Masukkan waktu-waktu tertentu untuk membaca al-Quran.

6. Masukkan senarai nombor 1 ke dalam jadual yang telah disediakan. Peruntukan juga masa untuk media sosial, ziarah ibu bapa, rehat dan tidur serta rutin harian yang lain.

7. Tampal jadual pada ruang yang mudah dilihat.

8. Sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya dipermudah untuk istiqamah mengikut jadual yang telah disusun.

Pada hakikatnya, kita tidak mengurus masa namun kita mengurus aktiviti yang perlu dilakukan dalam waktu tersebut.

Pastikan apa sahaja aktiviti yang dimasukkan dalam jadual adalah bagi mencapai matlamat jangka pendek dan matlamat jangka panjang yang telah ditetapkan. Matlamat tersebut perlu selari dengan tanggungjawab sebagai khalifah Allah SWT.

Manusia yang berjaya ialah mereka yang berjaya mengatur aktiviti kehidupannya selaras dengan panduan al-Quran dan as-Sunnah. Sesungguhnya kita bertanggungjawab atas apa sahaja aktiviti yang kita pilih bagi memenuhi jadual kehidupan kita.

“Patutkah manusia menyangka, bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?” (Al-Qiyamah: 75)

Pn Hasliza Talib
Pensyarah Jabatan Kefahaman dan Pemikiran Islam
Universiti Islam Selangor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia