Saya ingin memberikan maklum balas terhadap berita bertajuk “Kemiskinan Meningkat Jika Wanita Tidak Bekerja,” yang diterbitkan pada 3 Januari 2025 di Utusan Malaysia yang mendakwa bahawa peningkatan jumlah wanita, termasuk yang berkelayakan akademik, memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa boleh menyumbang kepada peningkatan kadar kemiskinan isi rumah di Malaysia.
Sebagai Presiden Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR), saya merasakan adalah penting untuk melihat isu ini dari sudut yang lebih holistik dengan pendekatan yang lebih adil.
Seperti yang diketahui, suri rumah memainkan peranan besar dalam institusi keluarga. Usaha mereka mendidik anak-anak, mengurus rumah tangga, dan memastikan kestabilan emosi keluarga adalah sumbangan yang tidak ternilai.
Meskipun mereka secara umumnya tidak menyumbang secara langsung kepada pendapatan isi rumah, peranan mereka dalam aspek kewangan keluarga tetap signifikan melalui penjimatan perbelanjaan serta pengurusan aliran wang keluar yang berhemah.
Dalam aspek penjagaan anak-anak, suri rumah mampu mengurangkan kos yang signifikan seperti yuran pusat jagaan, kelas tambahan, dan pengangkutan untuk menghantar serta mengambil anak dari sekolah.
Kajian di Lembah Klang menunjukkan bahawa perbelanjaan bulanan untuk menghantar seorang anak ke pusat asuhan kanak-kanak adalah antara RM600 hingga RM1,200 seorang [1].
Bayangkan situasi keluarga dengan lebih daripada seorang anak. Jumlah kos yang boleh dijimatkan menjadi lebih besar apabila penjagaan anak dilakukan sendiri oleh seorang ibu yang berperanan sebagai suri rumah.
Dalam aspek pengurusan rumah tangga pula, suri rumah lazimnya akan memasak sendiri, membuat perbandingan harga sebelum membeli barang, mengemas rumah sendiri dan pelbagai tugasan lain.
Hal ini secara langsung dapat mengurangkan aliran wang keluar sekali gus membantu menyeimbangkan ekonomi keluarga dalam menghadapi cabaran seperti kenaikan kos sara hidup.
Malah, suri rumah yang memiliki kelayakan akademik berupaya membuat keputusan yang bijak dan strategik dalam pengurusan rumah tangga, seterusnya menjamin kualiti hidup keluarga yang lebih baik [2].
Menurut pandangan saya, keputusan untuk menjadi suri rumah sepenuh masa adalah pilihan peribadi yang dibuat berdasarkan keperluan dan dinamika keluarga masing-masing. Pilihan ini sering kali melibatkan pengorbanan besar, dan ia sepatutnya diraikan, bukan dipandang rendah.
Saya juga ingin menekankan bahawa menjadi suri rumah bukanlah suatu kelemahan atau kerugian kepada masyarakat dan negara. Sebaliknya, kita perlu memberi tumpuan kepada usaha untuk memberikan sokongan yang bersesuaian dalam pemberdayaan suri rumah itu sendiri.
Usaha negara dalam mencapai kesamarataan gender seharusnya bukan hanya tertumpu kepada isu antara jantina, tetapi juga mencakupi kesamarataan dalam kalangan wanita itu sendiri.
Setiap keluarga mempunyai keperluan yang berbeza, dan saya percaya bahawa peranan suri rumah adalah elemen penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Kita perlu menghormati pilihan mereka dan melihat sumbangan mereka sebagai sebahagian daripada kekuatan negara, bukan kelemahan.
Saya berharap kita semua dapat bersama-sama mencari jalan untuk menyokong dan memperkasa wanita agar dapat membuat pilihan yang terbaik untuk diri dan keluarga mereka, sama ada sebagai suri rumah atau pekerja dalam sektor formal.
Sesungguhnya, setiap sumbangan mereka adalah penting dalam membina masa depan negara, dalam kapasiti yang mereka jalankan.
Rujukan:
- Kos membesarkan anak
https://ekonomirakyat.com.my/berapa-kos-membesarkan-seorang-anak-di-kl-kajian-kata-rm1300-sebulan/
- Ila Nursalida Ali Amran on LinkedIn: Suri Rumah dan Pendidikan
Rose Jazimah Abdul Jalil
Presiden Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia