Suri Rumah Berdaya Kunci Keluarga Bahagia

Suri Rumah Berdaya Kunci Keluarga Bahagia | IKRAM

Tanggal 8 Mac merupakan tarikh yang istimewa buat semua insan yang bergelar wanita.

Pada tarikh tersebut, seluruh dunia secara khususnya akan meraikan dan memberikan pengiktirafan kepada mereka bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa.

KASIH Wanita dipilih sebagai tema sambutan pada tahun ini oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). 

Akronim KASIH membawa konsep seperti kasih sayang (K), akhlak mulia (A), sihat dan selamat (S), ilmu (I) dan harmoni (H). Ia selari dengan konsep MADANI yang dihasratkan oleh Kerajaan Perpaduan.

Tema KASIH telah diangkat sebagai penghargaan terhadap kaum wanita yang tidak putus mencurahkan kasih sayang, menghiasi peribadi dengan akhlak mulia, menjaga kesihatan diri dan keluarga, mempertingkatkan upaya diri dengan ilmu serta mencintai keharmonian di mana jua ia berada. 

Sasterawan ulung Buya Hamka pernah memuliakan wanita melalui kata-katanya, “Wanita itu ialah tiang negara. Kalau wanita itu baik, baiklah negara, dan kalau mereka rosak, rosak pulalah negara. Mereka adalah tiang; dan biasanya tiang rumah tidaklah begitu kelihatan. Tetapi kalau rumah sudah condong periksalah tiangnya. Tandanya tianglah yang lapuk.” 

Kesejahteraan sesebuah negara turut bergantung kepada penglibatan dan sokongan para wanita dalam menjayakan agenda negara.

Dalam pada itu, terdapat satu golongan wanita yang sering disalahertikan peranannya dalam pembangunan keluarga dan masyarakat iaitu para suri rumah.

Sebenarnya wanita yang ‘tidak bekerja’ ini boleh diibaratkan sebagai pahlawan yang tidak didendang. 

Hakikatnya, tema KASIH yang digariskan KPWKM telah menterjemahkan peranan wanita yang memilih suri rumah sebagai ‘kerjayanya.’

Tanggungjawab yang disandang menuntut mereka memakai pelbagai topi agar peranan yang diamanahkan terlaksana sempurna, lalu membawa keharmonian pada keluarga dan masyarakat.

Sehubungan dengan itu, kebajikan mereka harus diambil berat dan tidak dipandang enteng.

Kaum wanita khususnya para isteri meraikan inisiatif Kerajaan Perpaduan dalam memperkenalkan i-Sayang melalui skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini, yang membenarkan suami memindahkan dua peratus carumannya ke akaun isteri.

Langkah ini menunjukkan keprihatinan dan komitmen pihak kerajaan dalam memperkasakan sistem kekeluargaan sebagai tonggak masyarakat melalui pengiktirafan kepada para isteri sebagai elemen kebahagiaan rumah tangga (keluarga bahagia). 

Namun, kebajikan wanita tidak harus dihadkan dalam bentuk kewangan sahaja, tetapi turut merangkumi aspek pembangunan diri.

Dewasa ini, semakin ramai wanita berpendidikan tinggi memilih untuk melepaskan kerja demi memenuhi tuntutan keluarga.

Pelbagai faktor yang mengiringi pilihan tersebut seperti gaji yang tidak setimpal dengan kos komitmen bulanan, isu penjagaan anak serta kesukaran menyeimbangkan tanggungjawab di tempat kerja dan di rumah.

Kesibukan dan fitrah suasana kerja di rumah sering kali memerah keringat fizikal dan menguji mental menyebabkan golongan suri rumah sering melupakan aspek pembangunan diri mereka.  

Menurut Pengerusi Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR), Puan Rose Jazimah Abdul Jalil, bagi menzahirkan konsep KASIH, golongan suri rumah perlu diberdayakan melalui pembangunan diri.

“Pembangunan diri ini perlu bersifat holistik dengan merangkumi aspek pembangunan diri suri itu sendiri, suri dan keluarga, serta suri dan masyarakat.” 

Pembangunan diri suri penting agar mereka cakna terhadap emosi diri sendiri, dan mengetahui cara menguruskannya. Mereka harus terdidik tentang pengurusan masa, kewangan, komunikasi berkesan dengan pasangan dan anak-anak. 

Apabila situasi diri suri rumah dan keluarganya menjadi harmoni, ini akan memudahkannya memberi khidmat bakti kepada masyarakat.

Seterusnya melalui bantuan sokongan, mereka turut dapat serta menjana ekonomi keluarga dan negara dalam relung yang bersesuaian.

Tangan yang menghayun buaian dapat menggoncang dunia.

Walaupun bersifat lemah lembut dan keibuan, seorang suri yang terbangun wataknya mampu menyumbangkan tenaga dan idea untuk membangunkan keluarga, masyarakat dan negara. 

Nur Hafizah Shaharom
Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR)

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia