10 Cara Suri Rumah Jimatkan Kewangan Keluarga

10 Cara Suri Rumah Jimatkan Kewangan Keluarga | IKRAM

SERI KEMBANGAN – Ramai yang tertanya-tanya dan bersikap skeptikal apabila wanita yang berpendidikan tinggi atau sudah berkerjaya memilih untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. 

“Kebiasaannya ramai akan mempersoalkan tentang  kelangsungan hidup kewangan keluarga,” kata Pengerusi Suri Rumah Rahmah (SRR), Rose Jazimah Abdul Jalil.

Beliau berkata, tidak kurang mempertikaikan masa depan si isteri dan anak-anak yang dianggap tiada jaminan. Tidakkah tindakan ini membebankan para suami?

“Sekiranya dilihat secara literal, tindakan ini seperti merugikan, bahkan boleh dianggap sebagai mementingkan diri sendiri. Namun sekiranya diteliti dengan mendalam, akan menampakkan manfaat yang tersurat dan tersirat atas pilihan tersebut.”

Selain itu, antara kelebihan yang diperoleh adalah kebajikan anak-anak dan ahli keluarga lain dapat didahulukan dan penjimatan kewangan keluarga turut dapat dilaksanakan.  

Dalam perkembangan berkaitan, seorang suri sumah, Salida Amran berkata, ramai isteri diselubungi rasa bersalah kerana tidak dapat menyumbang kepada ekonomi keluarga setelah bertukar atau memilih kerjaya menjadi suri rumah.

“Pilihan ini tidak salah, namun jika langkah tersebut serasi dengan jiwa, sesuai dengan keadaan semasa, apa salahnya,” ujar beliau.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi SRR berpandangan, sekalipun suri rumah tidak menyumbang duit secara fizikal, namun secara tidak langsung peranan mereka telah membuat penjimatan yang berupaya menstabilkan ekonomi keluarga.

Melangkah keluar daripada dilema tersebut, menurutnya, ramai suri rumah menjalankan perniagaan kecil-kecilan dari rumah atau membuat kerja separuh masa demi meningkatkan pendapatan keluarga sebagai solusi.

Berikutan itu, beliau menggariskan beberapa penjimatan kewangan keluarga yang signifikan dapat dilakukan melalui peranan seorang suri rumah apabila kos pembayaran berikut dapat dielakkan iaitu:

1) Kos pusat transit anak selepas waktu persekolahan

Kebiasaan para ibu sedia ada di rumah dalam sela waktu transisi sekolah sesi pagi atau petang dan selepas tamat waktu persekolahan.

2) Kos pengajian tadika

Sebagai suri rumah, ada pilihan untuk anak belajar separuh masa atau sepenuh masa iaitu sehingga ke petang hari. Kos penjimatan yuran untuk pembelajaran separuh hari kebiasannya berbeza sebanyak 50 peratus berbanding sepenuh hari. 

3) Kos pengangkutan sekolah

Suri rumah yang ada kemahiran memandu boleh menghantar dan mengambil sendiri anak-anak dari sekolah.

4) Kos kelas tambahan

Ibu yang berkelapangan dan ada kebolehan mengajar boleh memantau kerja rumah anak-anak atau mengulang kaji bersama anak tanpa perlu kepada khidmat pusat tuisyen.

5) Kos susu formula

Suri rumah yang berkemampuan berpotensi untuk menyusukan bayi secara penuh sehingga usia anak dua tahun. 

6) Kos lampin pakai buang

Bagi suri rumah yang bersedia untuk mengendalikan lampin kain, ini adalah langkah penjimatan yang sewajarnya.

7) Kos makan di luar

Fitrah tempat kerja suri rumah di rumah membolehkannya mempunyai kelebihan masa untuk memasak hidangan seharian.

8) Kos pengambilan ejen pembantu

Suri rumah mempunyai kelebihan masa untuk menyelesaikan tugasan rumah tangga dengan lebih banyak.

9) Kos pusat jagaan

Fleksibiliti adalah suatu kelebihan yang memberikan mereka ruang untuk menjaga anak sepenuhnya berbanding ibu bapa bekerja yang perlu kerja lebih masa atau berada di luar kawasan.

10) Kos mendobi

Kelebihan masa adalah keupayaan untuk menguruskan kain kotor sehingga tugasan menggosok dan melipat kain.

“Membantu ekonomi keluarga bukan setakat menambah cash flow yang masuk.”

“Namun, kita (suri rumah) juga mampu mengukuhkan ekonomi keluarga dengan mengurangkan cash flow yang keluar,” kata Salida yang juga pelajar pengajian doktor falsafah dalam bidang Kajian Kesejahteraan Suri Rumah di UTM Kuala Lumpur.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia