Sudah Bersedia Menyambut Ramadan?

Sudah Bersedia Menyambut Ramadan? | IKRAM

Insya-Allah beberapa hari lagi kita akan bertemu dengan Ramadan, bulan mulia yang penuh berkat. Kita disarankan agar lebih banyak mendekatkan diri kepada-Nya, menyambutnya dengan penuh kegembiraan dan sukacita, seolah-olah menyambut kehadiran tetamu yang sangat kita nantikan.

Nabi SAW sering memberikan khabar gembira kepada para sahabat, akan datangnya Ramadan. Sahabat baginda, Abu Hurairah RA pernah bercerita bahawa ketika datang Ramadan, Rasulullah SAW memberikan khabar gembira kepada para sahabat akan datangnya Ramadan.

قَدْ جَاءَكُمْ رَمَضَانُ، شَهْرٌ مُبَارَكٌ، افْتَرَضَ اللهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ، تُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ، وَتُغْلَقُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَحِيمِ، وَتُغَلُّ فِيهِ الشَّيَاطِينُ، فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ، مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ

 “Telah datang kepada kalian bulan Ramadan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan kalian untuk berpuasa. Pada bulan ini, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan diikat; di sana terdapat malam yang lebih baik daripada seribu bulan, barang siapa terhalang untuk mendapat kebaikannya, bererti dia telah terhalang (untuk mendapatkan kebaikan).” (HR Ahmad dan disahihkan Syuaib al-Arnauth)

Secara umumnya, ketika kita ingin melaksanakan sesuatu ibadah, ada tiga perkara yang perlu kita ketahui:

  1. Apa persiapkan kita sebelum melakukan ibadah tersebut?
  2. Apa yang perlu dilakukan ketika beribadah?
  3. Apa yang harus kita lakukan pasca melaksanakan ibadah?

Justeru, apakah yang seharusnya dipersiapkan oleh seorang Muslim sebelum memasuki Ramadan? Terdapat beberapa perkara yang perlu kita persiapkan menjelang Ramadan.

 1. Perbanyakkan doa

Berdoa memohon kepada Allah SWT agar mempertemukan kita dengan Ramadan dalam keadaan sihat rohani dan jasmani sehingga kita mampu beribadah sebaik mungkin ketika Ramadan.

Kita meyakini bahawa satu-satunya yang berkuasa mengendalikan diri kita hanyalah Allah. Dialah yang memberi kemudahan kepada para hamba-Nya untuk beribadah kepada-Nya, baik kemudahan dalam bentuk fizikal, seperti kesihatan, kekuatan dan sebagainya.

Ini termasuk yang paling utama dan penting iaitu kemudahan dalam bentuk semangat untuk melaksanakan ibadah. Kita tidak akan mampu beribadah tanpa pertolongan daripada-Nya.

Kerana itu, berdoa dan berdoalah memohon kepada Allah agar kita diberi kemudahan untuk mendapatkan kebaikan, kesabaran, kekuatan dan keberkatan Ramadan itu.

Sebagaimana semangat sahabat dan para tabiin pada masa silam, mereka sangat gembira dan bersemangat sekali menyambut Ramadan sehingga mereka gunakan kesempatan dengan berdoa, memohon kepada Allah agar dipertemukan dengan Ramadan.

Mu’alla bin Al-Fadhl (ulama tabi’ tabiin) berkata: “Dulu para sahabat, selama enam bulan sebelum datang Ramadan, mereka berdoa agar Allah mempertemukan mereka dengan bulan Ramadan. Kemudian, selama enam bulan sesudah Ramadan, mereka berdoa agar Allah menerima amal mereka selama bulan Ramadan.” (Lathaif al-Ma’arif, hlm. 264)

Antara doa yang boleh kita ikuti adalah doa yang diriwayatkan oleh seorang ulama tabiin, Yahya bin Abi Katsir bahawa sebahagian sahabat ketika datangnya Ramadan mereka berdoa:

اَللَّهُمَّ سَلِّمْنـِي إِلَى رَمَضَانَ وَسَلِّمْ لِـي رَمَضَانَ وَتَسَلَّمْهُ مِنِي مُتَقَبَّلاً

“Ya Allah, temukan aku hingga ke bulan Ramadan, dan temukan Ramadan kepadaku, dan terimalah amal-amalku pada bulan Ramadan.” (Lathaif al-Ma’arif, hlm. 264)

Masya-Allah, sungguh harapan yang luar biasa. Betapa mereka menilai, Ramadan adalah bulan yang sangat istimewa sehingga mereka tidak menjadikannya kesempatan yang hadir itu sesuatu yang sia-sia.

 2. Perbanyakkan istighfar, mohon ampunan Allah

Semoga istighfar kita mampu meleburkan dosa yang ada. Dosa dan maksiat adalah sumber penyakit bagi hati, ia juga sumber noda bagi hati. Rasulullah SAW menggambarkan bagaimana bahayanya dosa bagi hati manusia.

إِنَّ العَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً نُكِتَتْ فِي قَلْبِهِ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ، فَإِذَا هُوَ نَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ وَتَابَ سُقِلَ قَلْبُهُ، وَإِنْ عَادَ زِيدَ فِيهَا حَتَّى تَعْلُوَ قَلْبَهُ، وَهُوَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَ اللَّهُ» {كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ}

Sesungguhnya seorang hamba, apabila melakukan perbuatan maksiat maka akan dititikkan dalam hatinya satu titik hitam. Jika dia meninggalkan maksiat itu, memohon ampun dan bertaubat, hatinya akan dibersihkan. Namun jika dia kembali maksiat, akan ditambahkan titik hitam tersebut hingga menutupi hatinya. Itulah yang diistilahkan ‘ar-raan’ yang Allah sebutkan dalam firman-Nya, (yang ertinya), “Sekali-kali tidak demikian, sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.” (HR Tirmidzi, Ibnu Majah)

Mulalah bertaubat untuk menghapuskan kesalahan yang pernah kita lakukan. Jika kesalahan itu harus ditutupi dengan membayar kaffarah, sediakanlah untuk membayarnya. Jika berkaitan dengan hak orang lain, kita perlulah bersedia meminta maaf kepadanya. Rasulullah SAW bersabda:

التَّائِبُ مِنَ الذَّنْبِ، كَمَنْ لَا ذَنْبَ لَهُ

Orang yang bertaubat daripada satu perbuatan dosa, seperti orang yang tidak melakukan dosa itu. (HR Ibn Majah)

Dengan bertaubat, bermakna kita menghilangkan penyakit hati berupa noda dosa yang ada dalam diri kita.

 3. Biasakan diri dengan kebaikan

Sesuatu yang dilakukan dengan mendadak, biasa hasilnya tidak memuaskan kerana untuk menjadi baik, ia tidak dapat dilakukan secara segera. Semuanya memerlukan proses. Rasulullah SAW mengingatkan:

 

مَنْ يَسْتَعِفَّ يُعِفُّهُ اللَّهُ ، وَمَنْ يَتَصَبَّرْ يُصَبِّرْهُ اللَّهُ ، وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللَّهُ

“Sesiapa yang melatih diri menjaga kehormatan maka Allah akan jaga kehormatannya, sesiapa yang melatih diri untuk bersabar, Allah jadikan dia penyabar. Dan sesiapa yang merasa cukup, Allah akan memberikan kecukupan kepadanya.” (HR Bukhari & Abu Daud)

Umumnya, ketika kita memasuki Ramadan, ada dua amalan besar yang akan dirutinkan dalam masyarakat iaitu berpuasa pada siang hari dan tadarus al-Quran. Kedua-duanya memerlukan kesabaran yang tinggi.

Kita perlu biasakan sedari sekarang. Mulakanlah latihan bersabar dengan banyak membaca ayat-ayat Allah iaitu al-Quran. Latih diri bersabar dengan membaca al-Quran kerana ia akan memudahkan kita banyak membaca al-Quran ketika Ramadan. Setidaknya dalam sehari kita mampu membaca satu juzuk.

 4. Bertekad untuk berubah

Kita perlu ada sasaran. Ramadan tahun ini harus mengubah diri kita menjadi yang lebih baik daripada sebelumnya. Allah SWT memberikan banyak kemudahan kepada hamba-Nya untuk beribadah selama Ramadan.

Dalam hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ

Ketika datang Ramadan, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu. (HR Muslim)

Pintu syurga dibuka ertinya peluang besar bagi kita melakukan ketaatan, untuk diterima amalan yang boleh menghantarkan kita ke syurga Allah. Pintu neraka ditutup ertinya kita berharap semoga kemaksiatan yang dilakukan segera diampunkan Allah SWT.

Syaitan-syaitan dibelenggu sehingga tidak mudah baginya untuk menggoda manusia, tidak sebagaimana ketika pada bulan-bulan lain, ia bebas menyesatkan manusia.

Sungguh itu adalah kesempatan terbesar bagi umat Islam untuk berubah. Sasaran Ramadan tahun ini menjadi lebih berkualiti. Jika sebelumnya hanya membaca setengah juzuk, targetkan agar yang dibaca lebih daripada itu.

 5. Fahami fiqh Ramadan

Tidak ada ruginya orang yang belajar kerana ilmu adalah pengarah bagi manusia menjalani kehidupan. Dengan ilmu, seseorang itu memiliki panduan untuk beramal dengan benar.

Kerana itulah, Ali bin Abi Thalib RA memuji ilmu antaranya, ilmu akan menjaga kita. Beliau berpesan kepada muridnya, Kumail bin Ziyad: “Ilmu lebih baik daripada harta; ilmu menjagamu dan kamu menjaga harta.” (Hilyah Auliya, 1/79)

Islam mengajarkan agar setiap muslim berbekal ilmu sebelum belajar. Memahami panduannya, sebelum beramal. Firman Allah dalam ayat 19 surah Muhammad:

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ

“Fahamilah, bahawa sesungguhnya tidak ada Ilah (sesembahan) selain Allah dan mohonlah ampunan bagi dosamu.”

Kata Imam Bukhari ketika beliau menjelaskan ayat ini: “Penjelasan, bahawa ilmu harus didahulukan sebelum berbicara dan beramal.” (Shahih Bukhari, 1/130)

Beramal dengan ilmu dalam erti kata ialah berdasarkan dalil yang akan membuat amal kita semakin meyakinkan. Semoga Allah membimbing dan memudahkan kita untuk melaksanakan ketaatan pada bulan Ramadan dan bulan-bulan lainnya, insya-Allah.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia