Seluruh umat Islam di serata dunia meraikan kedatangan bulan Syawal yang mulia. Aidilfitri lazimnya disambut penuh meriah oleh semua penganut yang beragama Islam di negara ini.
Kegembiraan pada pagi hari raya tidak akan lengkap tanpa juadah tradisi seperti ketupat, rendang dan lemang, ditambah pula apabila dapat berkumpul bersama-sama seisi keluarga tercinta untuk meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa.
Tradisi kunjung-mengunjungi juga membuatkan hari raya lebih bermakna, apatah lagi tahun ini merupakan tahun kedua menyambut hari raya pascawabak Covid-19. Pertemuan dengan sanak saudara dan sahabat handai pasti akan mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang telah terbina.
Walau bagaimanapun, buat golongan suri rumah, kadangkala perjumpaan sosial sebegini amat meresahkan. Hal ini kerana, pastinya akan tiba pertanyaan-pertanyaan juga kata-kata yang sering kali membuatkan para suri rumah berasa rendah diri dan seolah-olah terpinggir dalam masyarakat.
“Suri rumah jer ke?”
“Rugilah belajar tinggi-tinggi tapi jadi suri rumah jer.”
“Untunglah duduk rumah jer, tak payah buat apa-apa.”
Ucapan sebegini walaupun mungkin sekadar untuk berbasa-basi, ia amat mengguris perasaan seorang wanita yang memilih untuk berkhidmat secara sepenuh masa sebagai seorang suri rumah.
Benar, seorang suri rumah tidak mempunyai pejabat fizikal untuk dituju kerana rumah yang diduduki itulah pejabat urusan mereka. Tetapi, tanggapan bahawa suri rumah hanya duduk goyang kaki di rumah juga adalah kurang tepat.
Di samping urusan rumah seperti memasak, membasuh dan mengemas, ditambah pula urusan persekolahan anak-anak, melunaskan hal ini sahaja sudah cukup melelahkan, apatah lagi sekiranya perlu menjaga anak yang masih kecil di rumah.
Perhatian penuh perlu diberikan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.
Sekiranya sesebuah keluarga itu mempunyai tiga orang anak yang sudah bersekolah, bayangkan berapa kali sehari seorang suri rumah perlu keluar untuk mengambil dan menghantar anak.
Bahkan anak kecil yang ada harus dibawa bersama. Walaupun ada masanya anak kecil itu sedang tidur, ia perlu diangkat juga masuk ke kereta. Kalau ditinggal nanti, takut lain pula jadi ceritanya.
Kadangkala anak kecil yang kepenatan dek kerana sering dalam perjalanan pula melampiaskan kepenatan mereka dengan tangisan dan rengekan berpanjangan.
Bertambahlah beban emosi terhadap suri rumah kerana perlu menenangkan anak kecil tadi, sementelah sedang terburu-buru hendak menghantar anak yang lain supaya dapat tiba pada waktunya di sekolah.
Jika terlewat nanti, ada pula muka yang masam mencuka dan menarik muncung panjang atau mungkin juga protes untuk tidak ke sekolah. Bayangkan hendak menjaga keperluan emosi yang berbeza bagi setiap anak sepanjang hari, alangkah penatnya!
“Saya pernah demam seminggu kerana terkejut bila anak mula masuk darjah 1. Sampai 6 trip sehari sebab ada anak di tadika juga,” kata Puan Khairoon Arina.
Oleh yang demikian, stigma yang masih menebal dalam masyarakat bahawa para suri rumah hanya bersenang-lenang di rumah menjadikan mereka berasa seolah-olah tidak berguna kerana dicanangkan di luar sana bahawa mereka tidak berbuat apa-apa.
Dikeruhkan lagi apabila ada yang berkata mereka hanya tahu menghabiskan duit suami pula. Hakikatnya, hanya yang pernah berasa duduk seharian di rumah sahaja yang tahu.
Ungkapan ‘suri rumah jer’ yang keluar dari mulut baik suri rumah itu sendiri, ataupun dari masyarakat umum, juga hendaklah dibuang jauh-jauh dalam merealisasikan pembinaan negara yang lebih rahmah.
Ini kerana, kata-kata tersebut melambangkan khidmat sebagai seorang suri rumah ibarat pekerjaan kelas bawahan, sedangkan yang hendak dibangunkan oleh kebanyakan suri rumah sepenuh masa adalah kemenjadian anak-anak hasil acuan tangan mereka sendiri.
Tidak dinafikan, ada waktu suri rumah itu sendiri yang seakan melarikan diri daripada bergaul dengan orang ramai. Dek kerana tidak terbiasa berkumpul dalam majlis sosial, ia menjadikan sebahagian suri rumah lebih selesa tidak bertemu empat mata dengan orang lain.
Usahlah dipandang mereka ibarat orang yang hidung tinggi, kerana hakikatnya mereka sedang berusaha menyesuaikan diri untuk bersama dalam kelompok masyarakat.
Profesor Julia T. Wood dalam bukunya, Relational Communication mengatakan bahawa wanita lebih gemar bersembang tentang perkara yang ada di sana persamaan antara mereka, termasuk minat yang serupa.
Disebabkan itu, cerita berkaitan keluarga dan anak-anak serta perkembangan umum semasa dirasakan lebih sesuai untuk dijadikan topik perbualan semasa kunjung-mengunjungi nanti.
Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama sebagai rakyat Malaysia menterjemahkan buah ibadah puasa kita dengan menjadi insan yang lebih rahmah dalam meraikan Aidilfitri yang mulia. Semoga suasana kunjung-mengunjungi pada bulan Syawal akan lebih bermakna buat kita semua.
Taqabbalallahu minna wa minkum!
Nurhafizah Shaharom
Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR)
Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.