Memahami Keluasan Makna dan Konsep Rahmah

Memahami Keluasan Makna dan Konsep Rahmah | IKRAM

Perkataan ‘rahmah’ kembali popular ketika ini apabila masyarakat mengenalinya melalui Sumbangan Tunai Rahmah dan Menu Rahmah oleh Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sebelumnya, kata rahmah turut diperkenalkan oleh mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof melalui konsep Rahmatan Lil Alamin.

Makna Rahmah

Menurut al-Mu’jam al-Arabiy al-Asasiy, rahmah adalah kata terbitan daripada kata akar ra-hi-ma / yar-ha-mu yang bermaksud lembut hati terhadap seseorang, memberi kasih sayang, belas ihsan, santun dan simpati.

Ibnul Mandzur dalam Lisaanul Arab menyebutkan bahawa rahmah bererti kelembutan yang berpadu dengan rasa hiba. Manakala mengikut al-Raghib al-Isfahani, rahmah membawa makna kelembutan, kebajikan, kebaikan dan kenikmatan dan juga kasih sayang. 

Manakala dalam bahasa Melayu, kata rahmah atau rahmat menurut Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud belas kasihan, kurnia, berkat, bahagia, kelebihan, hikmah, faedah dan kegunaan.

Perkataan rahmah ini diulang dalam al-Quran dalam pelbagai bentuk, tempat dan juga pelbagai peringkat sebanyak 300 kali. Jika ditambahkan lagi sifat dan perkataan yang membawa tema yang sama dengan sifat rahmah, terdapat lebih daripada 1,000 ayat, menjadikannya hampir satu perenam daripada al-Quran.

Dalam Nuzhah al-A’yun al-Nawazir, Imam Ibnul Jauzi menggariskan 16 makna rahmah dalam al-Quran, iaitu syurga, Islam, iman, kenabian, al-Quran, hujan, rezeki, nikmat, kesihatan, pemberian, kehalusan, pengampunan, keluasan, kasih sayang, pemeliharaan dan cahaya.

Secara umum, kebanyakan pengertian tersebut menggambarkan sifat kasih dan rahmat yang dibawa oleh Allah dan Rasul-Nya.

Konsep Rahmah

Konsep rahmah boleh dilihat pada tujuan pengutusan Nabi Muhammad SAW, yang mengandungi ciri rabbaniyyah, rahmat Allah yang luas, universal, bestari serta wasatiyyah. 

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ 

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Al-Anbiyaa`: 107)

i. Rabbaniyyah

Rahmah adalah salah satu sifat ketuhanan yang menggambarkan kasih-Nya kepada makhluk-makhluk mengatasi kemurkaan-Nya.

Bertanyalah (wahai Muhammad): “Hak milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi?” Katakanlah: “(Semuanya itu) adalah milik Allah. Ia telah menetapkan atas diri-Nya memberi rahmah.” (Al-An’aam: 12)

Sabda Rasulullah SAW: “Tatkala Allah mencipta makhluk, Dia menulis pada kitab-Nya (yang berada di sisi-Nya di ‘Arasy: Sesungguhnya rahmah keampunan-Ku telah mengatasi kemurkaan-Ku.” (HR Bukhari, No. 3194 dan Muslim, No. 2751)

ii. Rahmat Allah yang luas

Betapa luas dan banyaknya rahmat daripada Allah untuk makhluk-Nya di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah telah mencipta sebanyak 100 rahmah pada hari penciptaannya. Dia menyimpan 99 rahmah dan melepaskan untuk seluruh makhluknya hanya satu rahmah. Sekiranya orang kafir mengetahui banyaknya rahmah di sisi Allah, nescaya dia tidak akan kecewa mendamba syurga, dan sekiranya orang mukmin mengetahui seluruh azab yang ada di sisi Allah, nescaya dia tidak akan merasa aman daripada neraka.” (HR Bukhari, No. 6469)

iii. Bestari

Dengan sifat rahmah Rasulullah SAW, baginda mempertautkan hati manusia di sekelilingnya. Dengan rahmah yang bijak bestari, pasukan yang asalnya kalah mampu bangun semula dengan kuat menghadapi musuh dengan semangat kesatuan dan kasih sayang yang tinggi.

“Maka dengan sebab rahmah (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (yang telah melanggar arahanmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari sekitarmu…” (Ali Imraan: 159)

iv. Universal

Sifat rahmah berkasih sayang bukan hanya sesama Muslim, malah juga kepada seluruh manusia termasuk juga yang bukan Islam serta makhluk alam yang lain seperti binatang dan tumbuhan.

Rasulullah SAW bersabda: “Kamu tidak dikira beriman sehingga kamu berkasih sayang (saling rahmah).” Para sahabat berkata: “Wahai utusan Allah, kami semua telah berkasih sayang.” Baginda bersabda: “(Maksud aku) bukan seperti kasih sayang seseorang kamu terhadap kawannya, tetapi rahmah kasih sayang terhadap seluruh manusia, rahmah secara umum.” (HR Thabrani, No. 2253, Hadis Hasan Lighairihi)

v. Rahmah dalam wasatiyyah

Antara ciri rahmah Nabi Muhammad SAW ialah sifatnya yang seimbang dan adil dan sifat inilah yang perlu menjadi contoh teladan kepada umatnya.

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil (ummatan wasatan), supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.” (Al-Baqarah: 143)

Baginda seorang penyayang tetapi tidak lemah, merendah diri tetapi tidak hina, panglima perang yang membuat helah perang tetapi tidak khianat terhadap perjanjian, politikus tetapi tidak menipu, musuhnya yakin dengan ketulusan dan amanahnya, menghimpunkan di antara tawakal dan kerapian perancangan, seimbang di antara ibadah dan kerja, seganding di antara rahmah dan perang.

Keluasan Aspek Rahmah

Islam sebagai rahmah seluruh alam juga boleh dilihat dalam pelbagai aspek seperti mendahulukan yang mudah dan menggembirakan, rahmah terhadap kemanusiaan, wanita,  golongan kanak-kanak dan orang tua; rahmah terhadap haiwan, alam sekitar; terhadap orang jahil, pendosa, terhadap orang kafir yang tidak memusuhi dan terhadap musuh.  

i. Rahmah dalam Memudahkan

Rasulullah SAW sentiasa berpesan kepada wakil utusan baginda ke negeri baharu untuk berdakwah agar memulakan pengajaran ilmu agama yang mudah dan melarang sikap menyusahkan. 

Nabi SAW bersabda: “Permudahkanlah dan jangan menyusahkan, berilah khabar gembira dan jangan menjauhkan orang.” (HR Bukhari, No. 69)

ii. Rahmah Terhadap Kemanusiaan, Wanita

Islam adalah agama rahmah terhadap kehidupan manusia, sama ada lelaki mahupun perempuan, pelbagai bangsa dan suku, juga Muslim dan bukan Muslim. Islam juga meletakkan kedudukan wanita seiring dengan lelaki dalam banyak perkara. Firman Allah:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan wanita dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).” (Al-Hujurat: 13)

iii. Rahmah Terhadap Kanak-kanak, Orang Tua

Rasulullah SAW menganjurkan sikap rahmah terhadap kanak-kanak dan orang tua, bahkan menunjukkan contohnya di hadapan para sahabat.

Rasulullah SAW pernah mencium Al-Hasan bin Ali sedangkan di samping beliau ada al-Aqra’ bin Habis at-Tamimi sedang duduk, lalu Aqra’ berkata: “Sesungguhnya aku memiliki 10 orang anak, namun aku tidak pernah mencium mereka sekalipun.” Maka Rasulullah SAW memandangnya dan bersabda: “Sesiapa tidak mengasihi, maka ia tidak akan dikasihi.” (HR Bukhari, No. 5997)

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya termasuk mengagungkan Allah adalah menghormati seorang Muslim yang beruban (sudah tua).” (HR Abu Dawud, No. 4843, Hadis Hasan)

iv. Rahmah Terhadap Binatang, Alam Sekitar

Bersifat rahmah dengan mengasihi dan menyayangi tidak hanya kepada manusia, malah kepada binatang. Menyembelih binatang seperti kambing perlu bersifat rahmah dengan menajamkan pisau atau parang juga tidak menyeksa semasa ditangkap mahupun cara ikatan ketika hendak disembelih.

Seseorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Aku menyembelih seekor kambing lantas aku merahmatinya,” Rasulullah berkata, “Bahkan seekor kambing jika engkau merahmatinya, maka Allah akan merahmatimu,” Rasulullah mengucapkannya dua kali.” (HR Thabrani, No. 15388, Sahih)

Memelihara dan memulihara alam sekitar yang ada di sekeliling adalah menjadi tanggungjawab Muslim sebagai sikap rahmah. 

Contohnya, Islam menegah membuang najis di dalam air yang bertakung dan tidak mengalir kerana ia akan menjadi najis dan kotor. Amalan membuang sampah merata-rata juga adalah akhlak  buruk yang perlu dijauhi.

Nabi SAW bersabda: “Janganlah seseorang daripada kamu membuang air kecil ke dalam air yang bertakung, kemudian ia mandi daripadanya.” (HR Muslim, No. 282)

v. Rahmah Terhadap Orang Jahil, Pendosa

Rasulullah SAW juga melarang para sahabatnya bertindak kasar terhadap seorang Badawi yang membuang air kecil di penjuru dalam Masjid Nabawi. (HR Muslim, 285) 

Walaupun kencing di masjid adalah suatu kesalahan dan termasuk perbuatan mengotorkan masjid, tetapi Rasulullah SAW tidak segera memarahi pelakunya atas beberapa kemaslahatan. 

Sikap lemah lembut dan kesantunan lebih memberi kesan dalam penyampaian dakwah kerana ia boleh menarik dan mendekatkan manusia kepada kebenaran, sebaliknya kekasaran akan menyebabkannya menjauhkan diri.

Selain itu, Allah menyeru para pendosa supaya tidak berputus asa daripada rahmah-Nya dan memohon ampunan-Nya.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmah Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Az-Zumar: 53)

vi. Rahmah Terhadap Musuh, Bukan Islam Yang Tidak Memusuhi

Allah SWT tidak melarang kita berbuat baik dan bersikap rahmah kepada orang bukan Islam yang tidak memusuhi kita.

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Al-Mumtahanah: 8)

Bahkan, Islam mengajar umatnya sentiasa menunjukkan sifat rahmah dan akhlak yang mulia dengan bersikap lunak dan santun kerana Allah menyukai kesantunan dalam semua perkara, walaupun terhadap musuh. 

Daripada Aisyah RA berkata, sekumpulan orang Yahudi meminta izin untuk bertemu baginda lalu mereka mengucapkan: “Assam ‘alaikum (Mati ke atas kamu).” Aku (Aisyah) berkata: “Ke atas kamu mati dan laknat!” Lalu baginda menegur: “Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu penyantun, menyukai kesantunan dalam semua perkara.” Aku (Aisyah) bertanya: Kamu tidak dengarkah apa yang mereka sebut?” Baginda berkata: “Ya, aku sudah jawab ‘Wa ‘alaikum (Ke atas kamu juga).'” (HR Bukhari, No. 6927)

Praktikkan Rahmah

Inilah pengenalan secara ringkas tentang makna, konsep dan aspek rahmah supaya ia dapat dilihat dan difahami dengan lebih menyeluruh dan perlu diaplikasikan oleh umat Islam.

Kefahaman ini penting bagi memperkenalkan imej Islam sebagai agama yang adil, sederhana dan santun terhadap semua manusia dan sekitarnya, selari dengan tujuan pengutusan Rasulullah SAW sebagai Rahmatan Lil Alamin, iaitu rahmah untuk seluruh alam.

Ini menunjukkan bahawa tugas umat Islam bukan sekadar untuk berkhidmat kepada sesama mereka sahaja, bahkan kepada seluruh umat manusia dan menjadi contoh rahmah dan kasih sayang, sama ada melalui hati, lisan ataupun perbuatan. 

Oleh itu, adalah penting agar konsep rahmah ini dipraktikkan dalam segala aspek kehidupan bagi memastikan lahirnya individu, keluarga, kejiranan, masyarakat dan negara yang maju, makmur dan sejahtera.

Ustaz Dr Hj Syazalie Hirman Ahmad Najib
Pengerusi Tarbiah dan Modal Insan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia