SERI KEMBANGAN – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keperluan menggunakan aplikasi MySejahtera sebagai prosedur operasi standard (SOP) daftar masuk ke premis-premis mungkin dimansuhkan.
“Keputusan sama ada meneruskan atau memansuhkan SOP daftar masuk melalui MySejahtera itu akan ditentukan berdasarkan trend jangkitan pandemik Covid-19 serta data mobiliti penduduk dan pengembara apabila sempadan negara dibuka semula 1 April ini.”
Beliau berkata, penentuan berhubung perkara ini akan mengambil masa sekitar sebulan kerana perlu melihat kepada trend semasa.
“Sekiranya trend jangkitan tidak banyak perubahan dengan trend ketika ini, maka kita boleh ‘drop’ fungsi daftar masuk,” katanya selepas melancarkan Majlis Penutup Program Pengurusan Berat Badan Bersepadu Kebangsaan dan ‘World Physical Activity Day’ 2022 pada Rabu.
Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bahawa sudah tiba masanya amalan mengimbas MySejahtera setiap kali memasuki premis dihentikan ketika negara sedang memasuki fasa Peralihan Ke Endemik mulai 1 April.
“KKM dijangka memuktamadkan rundingan bersama syarikat yang mengendalikan platform perisian aplikasi tersebut dalam tempoh kira-kira sebulan.”
Menurutnya, proses rundingan sedang berjalan ketika ini.
“Namun ia ambil masa sedikit sebab agak teknikal,” katanya yang akan memberikan penjelasan berkenaan perkara itu di Dewan Negara.
Khairy berkata, rundingan itu diadakan setelah KKM menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Harga pada tahun lepas, bertujuan melaksanakan rundingan harga perolehan dan pengurusan perkhidmatan aplikasi MySejahtera dengan pihak syarikat untuk tempoh dua tahun, selaras tatacara perolehan kerajaan.
“Perolehan tersebut telah dipersetujui Kementerian Kewangan pada 28 Februari lepas untuk dilaksanakan dan kini proses rundingannya telah dimulakan bagi memastikan ‘due diligence’ dilakukan dalam proses itu serta memelihara kepentingan kerajaan.”
Dalam pada itu, Khairy telah menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah menjual aplikasi MySejahtera kepada mana-mana syarikat swasta, dan ia adalah hak milik kerajaan.
Terdahulu, kerajaan telah memansuhkan SOP berkaitan pemeriksaan suhu badan dan buku rekod daftar masuk premis pada 11 Februari lepas.