Solat dan Takbiratul Ihram Membina Pengabdian Hakiki

Solat bukan sekadar kewajipan harian bagi seorang Muslim, tetapi ia adalah satu anugerah yang Allah SWT kurniakan untuk menenangkan jiwa dan mendamaikan hati.

Dalam solat, manusia berpeluang menghubungkan diri secara langsung dengan Pencipta untuk mengadu, merintih dan berdoa kepada Zat Yang Maha Agung, Penguasa Sekalian Alam. Namun tidak semua orang merasai kenikmatan ini.

Ia memerlukan penghayatan, keikhlasan dan kesedaran bahawa solat bukan sekadar ritual fizikal tetapi terapi rohani yang menghidupkan hati. Solat yang dilakukan dengan penuh khusyuk mampu mengubah jiwa yang resah menjadi tenang dan hati yang gelisah menjadi damai. 

Kenapa menunaikan solat?

Sebahagian orang menunaikan solat kerana rasa tanggungjawab atau terpaksa, bukan kerana benar-benar memahami nilai dan hikmah solat. Inilah realiti yang berlaku terutama apabila solat dianggap hanya sebagai kewajipan rutin atau sekadar memenuhi syarat sebagai seorang Muslim.

Mereka mungkin solat kerana takut berdosa atau kerana ingin menjaga imej di mata keluarga dan masyarakat tetapi belum merasai kenikmatan, ketenangan mahupun keintiman dalam ibadah tersebut.

Namun, perasaan ini tidak perlu dipandang negatif sepenuhnya. Solat yang dilakukan walaupun atas dasar tanggungjawab masih merupakan ibadah yang diterima di sisi Allah SWT kerana ia menunjukkan kesungguhan untuk patuh kepada-Nya.

Dalam masa yang sama, ia juga menjadi langkah awal untuk mendidik hati. Dengan ilmu, penghayatan dan usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT, seseorang boleh perlahan-lahan mengubah solat daripada sekadar kewajiban kepada pengalaman spiritual yang bermakna.

Proses ini memerlukan waktu, tetapi ia akan membawa kepada hakikat solat yang sebenar sebagai sumber kebahagiaan, ketenangan dan cinta kepada Allah SWT.

Takbiratulihram pintu ibadah solat

Solat menjadi sumber kebahagiaan jika kita sendiri berusaha mencari ilmu berkaitan kehebatan solat. Dengan memahami setiap gerakan dan doa dalam solat, kita dapat merasai makna yang lebih dalam daripada setiap rukun ibadah ini. 

Gerakan  pertama dalam solat ialah takbiratulihram.  Ia adalah rukun solat yang ketiga selepas niat dan berdiri tegak. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Kunci bagi solat ialah bersuci dan tahrimnya adalah takbir. Penyudahnya ialah salam.” Riwayat Abu Daud (618)

Takbiratulihram berasal daripada perkataan takbir al-ihram. Takbir dalam bahasa Arab ialah ucapan Allahu Akbar yang bermaksud “Allah Maha Besar.” Perkataan ini berasal daripada kata akarكبر yang membawa makna besar. Takbir digunakan untuk mengungkapkan pengakuan terhadap kebesaran dan keagungan Allah SWT yang mengatasi segala sesuatu.

Sementara itu, ihram bermaksud memasuki keadaan tertentu yang mengharamkan perkara-perkara tertentu.

Dalam konteks takbiratulihram, ia bermaksud seseorang yang melafazkan takbir telah memasuki ibadah solat dan meninggalkan segala urusan duniawi seperti berbicara, makan atau melakukan perbuatan lain yang tidak berkaitan dengan solat. 

Dengan ini, takbiratulihram menjadi pintu masuk kepada ibadah solat yang penuh dengan pengabdian dan khusyuk kepada Allah SWT.

Konsep ini mirip ihram dalam ibadah haji. Seseorang yang memasuki ihram meninggalkan perbuatan yang dibolehkan sebelumnya seperti memakai wangian, memotong kuku atau berburu.

Kedua-duanya menggambarkan bentuk penyerahan diri yang sama iaitu meninggalkan urusan duniawi untuk memfokuskan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Takbiratulihram menjadi pintu kepada solat sebagaimana niat ihram menjadi pintu kepada ibadah haji. 

Kedua-dua keadaan ihram ini memerlukan keikhlasan, kekhusyukan dan kesungguhan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, sambil mengingatkan kita bahawa ibadah adalah momen untuk melepaskan diri daripada godaan dunia dan menyerahkan segalanya kepada-Nya.

Takbir mengagungkan Allah SWT 

Terdapat hadis yang menggambarkan kehebatan takbir dalam solat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila seorang hamba mengucapkan takbir, maka Allah berfirman, ‘Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku’. Dan apabila ia rukuk, Allah berfirman, ‘Hamba-Ku telah merendahkan diri kepada-Ku’. Apabila ia sujud, Allah berfirman, ‘Hamba-Ku telah merendahkan dirinya untuk-Ku.'”  [Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (no. 739) dan Muslim (no. 394)].

Hadis ini menunjukkan bahawa takbir membawa seseorang ke dalam keadaan penuh khusyuk dan mengingatkan akan kebesaran dan keagungan Allah SWT. Dengan setiap takbir yang dilafazkan, kita menyatakan kesediaan untuk meninggalkan segala perkara duniawi dan fokus sepenuhnya kepada Allah SWT.

Mengangkat tangan ketika takbir

Terdapat beberapa rukun solat yang disunatkan mengangkat tangan ketika takbir. Antaranya ialah ketika takbiratulihram (permulaan solat), sebelum rukuk, bangkit dari rukuk dan bangun ke rakaat ketiga dalam solat yang lebih daripada dua rakaat.

Perbuatan mengangkat tangan ini adalah sunah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis baginda yang bermaksud:

“Rasulullah SAW mengangkat kedua-dua tangannya sejajar dengan bahu ketika memulai solat (takbiratulihram), ketika akan rukuk dan ketika bangkit dari rukuk.”  [HR Al-Bukhari (no. 735) dan Muslim (no. 390)]

Mengangkat tangan ketika takbiratulihram adalah tanda menyerah diri kepada Pencipta. Seperti seseorang yang mengangkat kedua-dua belah tangan apabila mengakui kalah dalam pergaduhan, ia melambangkan penerimaan kelemahannya dan mengakui kekuatan yang lebih besar daripadanya.

Dalam konteks solat, mengangkat kedua-dua tangan dalam solat adalah sebagai pengakuan bahawa segala kekuatan, kehebatan dan kuasa berada di bawah kekuasaan Allah SWT. Ia melambangkan kerendahan hati dan pengakuan bahawa kita tidak mampu berdiri sendiri tanpa bantuan dan rahmat-Nya.

Dalam urusan dunia seperti kalah dalam perdebatan, seseorang mungkin berasa malu atau terhina. Namun dalam solat, “kekalahan” ini adalah kemenangan yang sebenar. Dengan menyerah sepenuhnya kepada Allah SWT, kita melepaskan ego, mengakui kelemahan diri dan menyerahkan segala urusan kepada kehendak-Nya.

Mengangkat tangan ketika takbir adalah isyarat bahawa kita bukan bergantung kepada kekuatan duniawi tetapi kepada Allah Yang Maha Perkasa, sambil menyatakan keyakinan penuh bahawa hanya Dia yang dapat menyelesaikan segala masalah dan memberikan kejayaan yang hakiki.

Sebagai ibadah yang paling utama, solat merupakan anugerah yang mendekatkan manusia kepada Allah SWT. Ia memberikan ketenangan jiwa dan menjadi terapi rohani dalam menghadapi cabaran hidup.

Melalui takbiratulihram, kita memasuki solat dengan penyerahan penuh kepada Allah SWT serta meninggalkan urusan duniawi dan mengakui kebesaran-Nya yang melampaui segala sesuatu. Setiap gerakan dan lafaz dalam solat mengajar kita untuk tunduk, khusyuk dan bergantung sepenuhnya kepada-Nya.

Oleh itu, solat bukan sekadar kewajiban, tetapi peluang untuk membina hubungan yang lebih erat dengan Pencipta. Solat menjadikan kita lebih kuat secara spiritual dan menemukan kebahagiaan hakiki yang tidak tergugat oleh dunia.

Marilah kita terus memperbaiki solat  agar ia benar-benar menjadi sumber kekuatan dan ketenangan dalam kehidupan.

Ustazah Hasliza Talib
Jabatan Kefahaman Islam dan Bahasa Arab
Universiti Islam Selangor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia