Sikap mukmin apabila menghadapi ujian

Perkara yang kita tidak suka tetapi diwajibkan oleh agama, maka ia adalah yang terbaik untuk kita walaupun pahit untuk kita telan dan lalui. Pasti Allah menjanjikan hikmah dalam setiap ujian yang diberikan.

 

Ramai di antara kita yang seringkali melihat orang lain dengan mata kasar bahawasanya mereka seperti tidak diuji oleh Allah SWT dengan nikmat kekayaan, pasangan, anak, pendidikan dan lain-lain sehinggalah wujud dalam diri kita rasa kecewa atas ujian yang menimpa kita.

 

Walhal sebenarnya, begitu banyak lagi orang lain yang diuji dengan ujian yang lebih teruk daripada apa yang kita alami, tetapi mereka reda dan kekal sabar dengan ujian itu. Dengan keyakinan yang tinggi, mereka sering berkata “Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah SWT jualah kami kembali.”

 

Allah SWT menyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 155 hingga 157:

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

 

“(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan mereka berkata “Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nya jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.”

 

Bukan kita sahaja yang diuji dengan pelbagai ujian bahkan para nabi dan rasul yang menjadi kekasih Allah SWT juga diberikan ujian yang lebih jauh berat berbanding kita umat Nabi Muhammad SAW.

 

Kita perlu sentiasa ingat, ujian yang kita hadapi tidak hanya dalam bentuk kesusahan tetapi semua nikmat yang kita perolehi ini merupakan ujian di alam dunia ini daripada Allah SWT.

 

Apabila kita diuji dengan kesusahan, boleh jadi hati akan sering resah, tertekan dan terseksa hatta menderita sekalipun. Kebahagiaan dan kesenangan yang kita rasai hilang dengan sakit dan kesusahan. Maka sebagai hamba Allah SWT, pilihlah jalan sabar dan solat.

 

Di sini, ia menuntut kawalan diri yang tinggi serta kebergantungan yang mutlak kepada Allah SWT. Sebaliknya, apabila kita diuji dengan kesenangan dan nikmat, mungkin kita fikir ia merupakan kasih sayang serta rahmat Allah SWT tetapi ia juga merupakan ujian.

 

Syukur yang sebenar

Cukup sedikit daripada kalangan kita yang diberikan nikmat lalu kita bersyukur atas nikmat-nikmat yang diterima. Untuk bersyukur atas nikmat yang Allah berikan baik kecil ataupun besar, bukanlah hanya dengan melafazkan kalimah “Alhamdullillah” semata-mata.

 

Tapi syukur yang sebenar bermaksud mengucapkan dengan lidah, menyatakan kesyukuran tersebut di hati dan membuktikan tanda syukur kita itu dengan melaksanakan segala perintah Allah SWT. Nikmat tersebut digunakan bagi menambahkan rasa cinta kita kepada Allah SWT.

 

Betapa berbahagia seorang mukmin yang dekat dengan Allah SWT, siapa pun dia, dari mana latar belakangnya, apa sahaja tahap kedudukannya, berapa banyak hartanya, semua nikmat tersebut tidak akan mengaburi matanya daripada terus bersabar dan syukur kepada Allah SWT.

 

Setiap manusia di muka bumi ini pasti akan diuji Allah SWT bagi menguji kita sebagai hamba kerana Allah Maha Memahami dan Maha Mengabulkan doa hamba-hamba-Nya.

 

Kita sering berdoa agar dikurniakan syurga yang kekal abadi di sana, hatta Allah SWT mengabulkan doa kita dengan menyediakan ujian di dunia supaya kita belajar reda dan sabar kerana sebesar-besar pahala adalah pahala sabar.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya.” (Al-Furqaan: 75)

 

Apa yang dilakukan oleh mereka yang berbahagia dengan ujian Allah SWT? Setiap kita amat mudah melupakan dosa. Maka sebagai mukmin yang ingin berbahagia, hendaklah sentiasa beristighfar dan melakukan solat sunat taubat bagi membersihkan hati kita daripada dosa kecil mahupun dosa besar, dosa yang sengaja atau tidak disengajakan.

 

Jangan putus asa berdoa

Doa? Apa itu doa? Doa ialah permintaan kita sebagai hamba Allah SWT untuk perkara yang baik. Seperti yang kita semua maklum, doa merupakan satu ibadat, maka kita perlulah sentiasa berdoa dengan keyakinan yang Allah Maha Mengabulkan permintaan kita selagi ianya tidak menyalahi agama dan memutuskan silaturahim.

 

Janganlah ada dalam diri kita rasa bosan untuk berdoa, mungkin setahun, 10 tahun atau 20 tahun, doa kita tidak dimakbulkan tapi yakinlah bahawasanya Allah sentiasa dekat dengan hamba-Nya dan janji Allah yang Dia akan mengabulkan doa-doa hamba-Nya.

 

Ya, ramai yang mengatakan sabar setelah berkata keji, memaki hamun, bergaduh, mengeluarkan kata-kata nista sehingga menyakitkan hati insan lain.

 

Ketika ini, syaitan membisikkan kepada kita supaya jauh daripada syurga Allah tapi bagi hamba Allah yang bersabar pada pukulan yang pertama adalah sebenar-benarnya sabar.

 

Ketika ujian datang menimpa, pasti kecelaruan juga menjelma. Di sini, kita diajar untuk bersabar dengan mengucapkan “Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nya jualah kami kembali”.

 

Ramai di antara kita tidak menyedari bahawa nikmat yang diperolehi juga merupakan ujian daripada Allah SWT untuk menilai iman di dada kita.

 

Kita perlulah sentiasa menyandarkan nikmat yang diterima ini kepada Allah SWT dan ketika di puji seringlah menyebut “Alhamdulillah, segalanya daripada Allah SWT”.

 

Bila kita mendapat kegembiraan, selalu bersyukur dan apabila diuji, kita hendaklah bersabar. Boleh jadi apa yang kita suka, tidak baik untuk kita dan boleh jadi benda yang tidak baik itu baik untuk kita.

 

Bagi siapa yang reda dengan ujian yang berat akan mendapat pahala yang besar tapi siapa yang marah, dia akan mendapat murka Allah.

 

Oleh itu, kita perlulah sentiasa mengingati Allah saat diuji, walaupun ujian tersebut melalui pasangan, anak, keluarga, jiran, sahabat, kerja dan lain-lain. Ujian ini merupakan perantaraan oleh Allah tapi sebenarnya ujian itu memang telah dihadiahkan untuk kita oleh Allah SWT.

 

Ya Allah, tiada yang mampu membahagiakan diri kami kecuali Engkau. Pada saat kami bersedih dan cemas, pada saat kami menderita dan lemah, hanya kasih sayang-Mu yang dapat mengubati kami. Tiada lagi yang kami inginkan selain selalu bersama dan dekat dengan-Mu. Ya Allah, bersama-Mu kami bahagia.

 

Nuraini Che Hussin
Guru Sekolah Rendah Islam Aman, Machang, Kelantan

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia