KUALA PERLIS – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Perlis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis dengan kerjasama kerajaan Perlis telah menganjurkan Program Serlah Potensi 1.0 pada Ahad lalu di Hotel Savana, di sini.
Program yang disertai kira-kira 50 orang peserta yang terdiri daripada klien AADK serta belia dan beliawanis Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis.
Program telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis, YB Puan Asmaiza Ahmad merangkap Pengerusi Projek Kampungku Permai Lagi Mempesona (KPLM).
Turut hadir Timbalan Yang Dipertua IKRAM Perlis, Profesor Madya Dr Juhairi Aziz dan juga Penolong Pengarah Pencegahan AADK Perlis.
Program Serlah Potensi 1.0 merupakan inisiatif kerajaan Perlis di bawah Projek KPLM yang bertujuan untuk menghayati keindahan Islam dan tujuan manusia dijadikan sebagai khalifah di muka bumi.
Di samping itu, ia bertujuan untuk membangun dan menyerlahkan potensi diri para peserta untuk manfaat diri dan masyarakat, serta menyemarakkan motivasi diri agar terus istiqamah menjadi insan yang bermanfaat.
Semasa pendaftaran program, kesemua peserta dan barisan urus setia dikehendaki menjalani ujian kendiri Covid-19 dan menjaga SOP sepanjang program yang berlangsung lancar dan ceria.
Program diserikan dengan penampilan bertenaga oleh Mohd Nabeel Asyraf Asmi dan penyampaian motivasi oleh Hj Ahmad Shafiai Uda Jaafar yang lebih dikenali dengan Pak Utih.
Dalam pada itu, IKRAM Perlis mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Perlis, AADK Perlis, IKBN Kuala Perlis, Hotel Savana, penceramah jemputan dan fasilitator atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini dan berharap usahasama seperti ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.
Foto: AADK Perlis