Sementara Itu Suatu Rahmat, Takwa Perlu Disemat

Sementara Itu Suatu Rahmat, Takwa Perlu Disemat | IKRAM

Wabak Covid-19 telah menjadi pengalaman hitam dalam sejarah peradaban manusia pada zaman moden ini.

Bagi golongan muda terutamanya yang belum pernah menghadapi situasi darurat yang mengancam nyawa, sudah pasti momen-momen melalui zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ‘tragedi’ itu membekas dalam diri, apalagi jika telah dijangkiti atau dalam kalangan insan tersayang yang dijemput Ilahi.

Pandemik yang telah menemui endemik, kini seperti tidak berakhir sepenuhnya. Seperti ombak yang masih mengganas, penyakit ini benar-benar menjadi ujian dan cabaran kepada masyarakat dunia.

Jika diimbau, seperti sesuatu yang mustahil kita pernah melalui situasi darurat, terkurung dan pergerakan sangat terbatas.

Rentetan itu, pelbagai impak turut mengena sama ada dalam kehidupan rumah tangga, kerjaya mahupun anak-anak yang persekolahannya baru bermula. Malah, telah lahir satu generasi yang masih belum pandai membaca pada usia yang sepatutnya.

Belajar Daripada Kehidupan

Hakikatnya, satu pengajaran yang besar mengharungi ujian pandemik ini ialah sejauh manakah kita bersedia untuk sesuatu itu sebelum kedatangannya?

Jika diteliti panduan-panduan kehidupan yang bernaung di bawah syariat Islam, pelbagai pesanan akan dapat kita petik sebagai renungan.

Sebagai contoh, Rasulullah SAW telah berpesan mengenai persediaan untuk menghadapi kematian.

Kematian menjadi ketakutan semua orang kerana tiada siapa yang tahu bila saat ketibaannya. Seperti kata pepatah Arab, “Manusia takut pada apa yang tidak diketahuinya.”

Bersempena hal ini, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhan-Mu sebelum kamu mati. Segeralah untuk melakukan amal soleh sebelum masa kamu disibukkan dengan urusan dan pekerjaan…” (HR Ibnu Majah, No. 1081, Daif)

Hadis tersebut menyeru agar setiap daripada kita untuk sentiasa bertaubat dengan istighfar dan koreksi diri, agar pada bila-bila masa dijemput Tuhan, seseorang itu  akan berada dalam keadaan bersedia dan bersih daripada dosa.

Sebaris pesanan yang mudah untuk dibaca, tetapi berat dan mencabar dalam alam realitinya.

Rebutan Menerbitkan Kesiapsiagaan

Taubat dan koreksi diri yang konsisten adalah pedoman kepada persediaan menghadapi kematian, namun ia menjadi sukar kerana hakikat kehidupan manusia sangatlah rencam dan mencabar.

Hakikatnya, hidup tidak mudah, bersedia untuk kematian juga bukanlah suatu kesenangan.

Kita sering mendengar kandungan hadis ini, malah telah dilagu dinasyidkan jua. Daripada Ibnu Abbas r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara: Masa mudamu sebelum datang masa tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, masa kayamu sebelum datangnya masa sempitmu (miskin), masa lapangmu sebelum tiba masa sibukmu dan masa hidupmu sebelum tiba masa matimu.” (HR Hakim [7846] dan Baihaqi [10248], Sahih)

Hadis ini sangat praktikal dalam menggambarkan kesiapsagaan seorang Muslim yang faham akan sifat kehidupannya.

Akan ada fasa sibuk, sakit, sempit, tua dan kematian. Semuanya suasana cabaran yang cuba digambarkan agar menjadi panduan bagi orang yang berfikir dan faham tentang hakikat kehidupan.

Seperti masuk ke dalam dewan peperiksaan, jika kita bersedia dan tahu akan apa kandungan yang akan ditanya, soalan peperiksaan akan dijawab dengan lebih mudah.

‘Kesementaraan’ Itu Satu Kelebihan

Hadis yang disebutkan di atas bukan sahaja berupa peringatan tentang cabaran-cabaran yang bakal dihadapi manusia di dunia, tetapi tentang sikap seorang mukmin terhadap situasi-situasi yang bakal mendatang dalam hidupnya di dunia.

Jujurnya, hadis ini menyeru setiap daripada Muslim supaya sentiasa bersedia untuk menghadapi apa jua situasi dan ujian hidup. Seperti kata pepatah Melayu, “Sediakan payung sebelum hujan.”

‘Payung’ yang bagaimanakah perlu disediakan, ‘hujan’ yang bagaimanakah yang bakal melanda? Bagaimana pula untuk menyediakan ‘payung’ dan perlindungan itu?

Jika anda mengikuti penulisan-penulisan saya sebelum ini, saya sering menekankan  tentang dua perkara utama yang mendasari kehidupan manusia, iaitu kefahaman dan pilihan.

Dua perkara ini jugalah yang akan membantu kita menyediakan ‘payung’ yang bagaimana untuk disediakan sebelum ‘hujan’. 

Bila berbicara tentang kesiapsiagaan, semuanya bermula dengan kefahaman yang benar tentang hakikat kehidupan manusia yang sifatnya ‘baharu’ iaitu tidak kekal.

Yang utama jangan dilupa, iaitu di sebalik ‘kesementaraan’ manusia, ada satu kuasa yang Maha Hebat menjadi pergantungan semua. 

Ramai yang menyangka, tidak kekal atau sementara kehidupan manusia ini adalah kekurangan dan kelemahan bagi manusia, sebaliknya sifat sementara ini adalah kelebihan dan keuntungan daripada Yang Maha Pencipta.

Bayangkan jika masalah yang kita hadapi bersifat kekal, bayangkan juga jika penyakit yang dihidapi bersifat kekal, sudah pasti kehidupan manusia akan menjadi sukar dan rumit lantas menemui jalan buntu.

Kemuncak Keadilan

Kemuncak keadilan kemanusiaan ialah Allah SWT menjadikan pertanggungjawaban manusia atas apa yang dipilih dan dilakukan di dunia.

Pengajaran demi pengajaran diulang-ulang dalam al-Quran tentang pentingnya memikirkan implikasi sesuatu tindakan, seperti yang dinyatakan dalam ayat berikut:

تِلْكَ اُمَّةٌ قَدْ خَلَتْ ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَلَكُمْ مَّا كَسَبْتُمْ ۚ وَلَا تُسْـَٔلُوْنَ عَمَّا كَانُوْا يَعْمَلُوْنَ

“Itulah umat yang telah lalu. Baginya apa yang telah mereka usahakan dan bagimu apa yang telah kamu usahakan. Kamu tidak akan diminta pertanggungjawaban tentang apa yang telah mereka kerjakan.” (Al-Baqarah: 134)

Kalimah tanggungjawab atau accountability pada sudut bahasanya sudah membawa makna yang berat, apatah lagi jika ditafsirkan dalam alam realiti tindakan manusia.

Betapa banyak masalah yang timbul di dunia disebabkan sikap yang tidak bertanggungjawab.

Letaklah dalam situasi apa pun, jika ada kekurangan pada sikap tanggungjawab, maka tunggulah kehancuran dan kebinasaan yang bakal terjadi, bagaikan dalam kisah padi yang mengharapkan pagar melindunginya, akhirnya padi musnah di tangan pagar sendiri.

Lihatlah, berapa banyak negara yang rosak dengan kewujudan pemimpin yang khianat dan tidak bertanggungjawab.

Tidak kurang juga keluarga yang runtuh ketika ahli-ahlinya tidak bertanggungjawab dan memilih untuk bertindak tanpa berfikir dan menimbangkan baik buruk pada tindakannya.

Takwa Sebaik-baik Bekalan

Allah SWT telah berfirman: 

وَتَزَوَّدُوْا فَاِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوٰىۖ وَاتَّقُوْنِ يٰٓاُولِى الْاَلْبَابِ

“Berbekallah kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa. Bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang mempunyai akal sihat.” (Al-Baqarah: 197)

Ayat ini mengingatkan kita tentang satu bekalan yang sangat penting dalam kehidupan iaitu takwa.

Dalam ayat ini, sifat takwa digandingkan dengan panggilan mereka yang mempunyai akal yang sihat sejahtera. Gandingan ini cukup kuat membuktikan peri pentingnya penggunaan akal dalam bertindak.

Maknanya, tindakan yang didasari takwa dan dipandu dengan pertimbangan akal yang sejahtera sangat-sangat dituntut dalam Islam.

Takwa menjadi dinamo yang menghidupkan hubungan seorang Muslim dengan Penciptanya. Takwa yang dijana dengan puasa Ramadan setiap tahun dan solat lima waktu setiap hari, sudah menunjukkan kepentingannya bagi seorang hamba.

Sama ada bekalan demi menjalani kehidupan untuk akhirat, mahupun bekalan demi menjalani kehidupan untuk dunia, takwa seringkali menjadi benteng dan pengawal tingkah dan laku manusia.

Oleh yang demikian, TAKWA menjadi pemandu kepada hubungan manusia dengan Penciptanya, dengan dirinya sendiri dan dengan sesama manusia yang lain.

Dr Hamidah Mat
Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open University Malaysia (OUM) dan Penasihat ILMAN

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia