Selat Hormuz kelihatan seperti satu laluan sempit di peta, tetapi tempat ini menentukan arah pasaran tenaga utama dunia. Dalam konflik antara Amerika Syarikat dan Iran, selat ini menjadi antara titik paling kritikal kerana kedudukannya sebagai laluan utama perdagangan minyak dan gas global.
Peningkatan operasi ketenteraan, serangan terhadap aset dan kapal serta tindakan kawalan oleh pihak-pihak yang bertelagah telah mengehadkan pergerakan kapal dan meningkatkan risiko keselamatan di perairan tersebut.
Sekatan terhadap kebebasan pelayaran di selat ini menjejaskan penghantaran tenaga, meningkatkan kos insurans dan perkapalan, serta memberi tekanan kepada harga minyak dunia.
Selagi ketegangan ketenteraan berterusan tanpa jaminan terhadap keselamatan dan kelancaran pelayaran, ketidaktentuan pasaran tenaga global serta risiko terhadap rantaian bekalan akan terus meningkat.
Kesan konflik kepada Malaysia
Hal ini menjelaskan mengapa Asia Barat sentiasa menjadi perhatian utama pasaran tenaga dunia. Setiap kali konflik di rantau ini memuncak, pasaran akan segera menilai kemungkinan berlakunya gangguan terhadap bekalan minyak dan laluan perdagangan strategik.
Walaupun bekalan sebenar belum semestinya terjejas, ketidaktentuan dan kebimbangan terhadap risiko masa hadapan sahaja sudah cukup untuk mencetuskan turun naik harga minyak dunia.
Dalam geopolitik global, minyak bukan sekadar komoditi ekonomi, bahkan turut menjadi instrumen kuasa, kepentingan strategik dan pengaruh politik.
Selagi ekonomi dunia masih bergantung kepada minyak sebagai sumber tenaga penting, kawalan terhadap pengeluaran, bekalan dan laluan perdagangan tenaga akan terus menjadi faktor utama dalam percaturan geopolitik antarabangsa.
Bagi Malaysia, kenaikan harga minyak membawa dua kesan yang berbeza. Sebagai negara pengeluar minyak dan gas, harga yang lebih tinggi boleh meningkatkan hasil eksport serta pendapatan kerajaan.
Namun pada masa yang sama, kenaikan tersebut turut meningkatkan kos pengangkutan, logistik dan pengeluaran, yang akhirnya memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat serta kos menjalankan perniagaan.
Justeru, persoalannya bukan sekadar sama ada kenaikan harga minyak membawa manfaat atau mudarat kepada Malaysia. Persoalan yang lebih penting ialah sejauh mana negara bersedia mengurus kesannya terhadap ekonomi, keterjaminan makanan dan kesejahteraan rakyat.
Dalam konteks ini, keterjaminan makanan tidak boleh diukur berdasarkan kewujudan bekalan semata-mata. Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030) menilai keterjaminan makanan melalui enam dimensi iaitu ketersediaan, kebolehcapaian, penggunaan, kestabilan, agensi dan kemampanan.
Makanan mungkin masih berada di pasaran, tetapi keterjaminan tetap terjejas sekiranya harganya tidak lagi mampu ditanggung, pengagihannya terganggu atau isi rumah terpaksa mengurangkan kualiti pemakanan.
Kenaikan harga minyak pengaruhi rantaian ekonomi
Persediaan itu tidak boleh dilihat hanya daripada sudut harga minyak semata-mata. Kesan sebenar sesuatu krisis global berlaku apabila peningkatan kos tenaga mula meresap ke seluruh rantaian ekonomi, daripada sektor pengeluaran sehinggalah kepada harga barang yang akhirnya dibayar oleh pengguna. Di sinilah terletaknya ukuran sebenar daya tahan sesebuah negara.
Minyak merupakan sumber tenaga yang menyokong hampir semua sektor ekonomi termasuk pengangkutan, perkilangan, pertanian, perikanan dan logistik. Apabila harga minyak dunia meningkat, kos bahan api turut meningkat, diikuti kenaikan kos pengeluaran, pengangkutan dan pengedaran.
Sebahagian besar peningkatan kos ini akhirnya dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga makanan, barangan keperluan dan pelbagai perkhidmatan. Akibatnya, inflasi meningkat dan tekanan terhadap kos sara hidup menjadi semakin ketara.
Hal ini bermakna, peningkatan hasil petroleum negara tidak semestinya mampu mengimbangi beban yang ditanggung oleh isi rumah dan sektor perniagaan.
Oleh sebab itu, keutamaan negara bukan sekadar mengurus harga minyak, tetapi membina sistem ekonomi yang lebih berdaya tahan supaya kejutan luaran tidak mudah menjejaskan kehidupan rakyat.
Tekanan ini juga tidak ditanggung secara sama rata oleh semua rakyat. Isi rumah berpendapatan rendah, ketua isi rumah tunggal, warga emas, orang kurang upaya, komuniti orang asli serta penduduk di kawasan terdedah bencana lebih mudah terjejas apabila harga makanan meningkat.
Oleh itu, jaringan keselamatan sosial seperti bantuan makanan, subsidi bersasar dan program bank makanan perlu bersedia untuk diaktifkan berdasarkan data dan tahap risiko sebenar.
Perkukuh rantaian bekalan makanan
Salah satu sektor yang paling cepat merasai kesan kenaikan harga minyak ialah sektor makanan. Harga yang dibayar oleh pengguna bukan hanya bergantung kepada kos pengeluaran di ladang, malah dipengaruhi oleh keseluruhan rantaian bekalan, daripada penyimpanan, pembungkusan dan pengangkutan sehinggalah kepada pemborongan serta pengedaran.
Justeru, usaha memperkukuh rantaian bekalan perlu menjadi sebahagian daripada strategi meningkatkan daya tahan negara. Kemudahan seperti pusat pengumpulan hasil, gudang penyimpanan sejuk dan rangkaian logistik yang lebih cekap perlu diperkasakan, di samping memanfaatkan teknologi bagi mengoptimumkan penghantaran.
Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran, malah membantu mengekang peningkatan kos dari ladang ke tangan pengguna.
Pada masa yang sama, pengurangan kehilangan dan pembaziran makanan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi daya tahan negara. DKMN 2030 merekodkan bahawa Malaysia membazirkan sekitar 17,007 tan makanan setiap hari, termasuk 24 peratus yang masih boleh dimakan.
Teknologi pemanjangan jangka hayat produk, pengurangan kehilangan pascatuai dan pengagihan semula lebihan makanan dapat mengurangkan tekanan terhadap bekalan serta memastikan sumber yang telah menggunakan tanah, air, tenaga dan kos pengangkutan tidak berakhir sebagai sisa.
Namun, kecekapan logistik sahaja tidak mencukupi sekiranya bekalan makanan negara masih terlalu bergantung kepada sumber luar.
Oleh itu, Malaysia juga perlu memperkukuh asas pengeluaran makanannya sendiri dengan melindungi tanah pertanian strategik, meningkatkan pengeluaran padi, ternakan, perikanan, sayur-sayuran serta makanan haiwan, di samping mengurangkan kebergantungan kepada import melalui teknologi pertanian moden, sokongan kepada petani dan usahawan tani serta sistem logistik yang lebih cekap.
Pelbagaikan sumber import, bina daya tahan
Cabaran negara bukan sekadar jumlah makanan yang diimport, tetapi juga tumpuan sumber import. DKMN 2030 mengenal pasti bahawa 80 peratus kebergantungan import makanan Malaysia tertumpu kepada tiga negara, sekali gus meningkatkan kerentanan terhadap gangguan rantaian bekalan.
Justeru, Malaysia perlu mempelbagaikan negara sumber, laluan penghantaran dan pilihan komoditi alternatif selain meningkatkan pengeluaran tempatan.
Di peringkat antarabangsa, Malaysia juga perlu memperkukuh diplomasi sistem makanan dan kerjasama serantau bagi mendapatkan laluan bekalan alternatif, perkongsian stok kecemasan serta penyelarasan tindak balas ketika berlaku gangguan perdagangan.
Langkah ini penting kerana daya tahan makanan tidak bermaksud negara perlu berdikari sepenuhnya, tetapi mampu mengurus kebergantungan secara lebih pelbagai dan strategik.
Dalam masa yang sama, usaha membina daya tahan makanan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada sektor pertanian berskala besar.
Program pertanian di sekolah, komuniti dan kawasan bandar wajar diperluas bagi memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan pengeluaran makanan tempatan, selain meningkatkan keupayaan komuniti menghadapi gangguan bekalan.
Persediaan menghadapi krisis juga memerlukan maklumat yang tepat dan terkini. Data berkaitan stok, pengeluaran, harga, kapasiti penyimpanan serta risiko bekalan perlu dipantau secara berterusan melalui satu sistem pemantauan atau dashboard keterjaminan makanan di peringkat negeri dan kebangsaan.
Dengan maklumat ini, kerajaan dapat mengesan risiko lebih awal sebelum ia berkembang menjadi krisis yang lebih besar.
Sistem ini perlu dipertingkatkan menjadi Sistem Amaran Awal yang menggabungkan analisis bekalan dan permintaan, pergerakan harga, kedudukan stok, kapasiti penyimpanan, laluan import serta risiko penghantaran.
Berdasarkan data tersebut, pelan kecemasan yang menyeluruh perlu disediakan bagi memastikan bekalan makanan, ubat-ubatan, bahan api dan barangan keperluan asas terus dapat diagihkan sekiranya berlaku gangguan di pelabuhan, kelewatan penghantaran atau krisis bekalan.
Pelan ini perlu merangkumi pengaktifan stok penimbal, penyelarasan sistem pengagihan serta kerjasama yang jelas antara kerajaan, industri dan NGO.
Tindakan juga perlu ditetapkan berdasarkan ambang risiko yang jelas supaya pengaktifan stok penimbal, bantuan bersasar, laluan logistik alternatif dan pengagihan kecemasan tidak bergantung kepada keputusan ad hoc ketika krisis sudah berlaku.
Wujudkan Perisai Keterjaminan Makanan Malaysia
Bagi menyatukan semua usaha ini di bawah satu kerangka yang lebih tersusun, sebuah inisiatif nasional seperti Perisai Keterjaminan Makanan Malaysia boleh diwujudkan.
Inisiatif ini wajar ditempatkan sebagai platform pelaksanaan di bawah kerangka DKMN 2030 dan penyelarasan Majlis Keterjaminan Makanan Negara, bukannya sebagai struktur baharu yang bertindih bidang tugas.
Inisiatif ini boleh menghimpunkan kerjasama agensi kerajaan, petani, koperasi, pihak berkuasa tempatan, universiti, sektor swasta dan NGO dalam membangunkan zon pengeluaran makanan strategik, geran daya tahan makanan, pertanian bandar, bank makanan komuniti serta protokol pengagihan ketika kecemasan.
Latihan simulasi dan ujian tekanan terhadap rantaian bekalan juga perlu dilaksanakan secara berkala supaya keseluruhan sistem benar-benar bersedia menghadapi kejutan global. Langkah ini membolehkan kelemahan dikenal pasti dan diperbaiki sebelum berlakunya krisis sebenar.
Latihan tersebut perlu menguji bukan sahaja ketahanan pelabuhan dan pengangkutan, tetapi juga keupayaan pusat pengumpulan, gudang sejuk, pasar borong, bank makanan serta saluran bantuan komuniti untuk berfungsi ketika berlaku kenaikan kos atau kekurangan bekalan.
Apabila sistem makanan dan logistik negara menjadi lebih cekap dan berdaya tahan, sebarang kejutan seperti kenaikan harga minyak atau gangguan perdagangan global tidak akan mudah diterjemahkan kepada lonjakan harga makanan dan barangan keperluan yang akhirnya membebankan rakyat.
Daya tahan sebenar ialah apabila makanan terus tersedia, boleh dicapai, selamat, berkhasiat dan mampu dibeli oleh semua lapisan masyarakat walaupun negara berdepan kecemasan atau kejutan yang tidak dijangka.
(Akan bersambung di Bahagian 2)
Haji Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia




