Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengucapkan selamat menyambut Hari Kesihatan Mental Sedunia (10 Oktober 2015). Sambutan ini adalah satu usaha memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan kesihatan insan merangkumi kesihatan fizikal, kesihatan mental dan kesihatan spiritual.
Di peringkat organisasi, IKRAM telah memastikan program-program tarbiahnya seimbang antara tarbiah berbentuk fizikal (jasadi), mental (‘aqli) dan spiritual (ruhi). Program-program tarbiah IKRAM adalah berdasarkan objective dan outcome-based education (tarbiah bi al-ahdaf wa al-nata’ij) merangkumi objektif psikomotor (mahari), kognitif (ma’rifi) dan afektif (syu’uri) untuk mencapai kesejahteraan dan kesihatan yang seimbang antara ketiga-tiga aspek ini. IKRAM melibatkan pakar-pakar jiwa seperti pakar psikiatri, ahli psikologi dan kaunselor dalam usaha membangunkan sumber tarbiah dan dakwahnya.
Di peringkat masyarakat, IKRAM juga telah mengambil kira perspektif psikiatri, psikologi dan kaunseling dalam program-program yang berkaitan kekeluargaan (melalui wadah PeKA), remaja (melalui wadah IKRAMTeens dan Raudhatus Sakinah), kanak-kanak (melalui wadah IKRAM Junior), undang-undang (melalui Jawatankuasa Undang-undang), khidmat masyarakat (melalui Jawatankuasa Khidmat Masyarakat dan wadah i-Bantu) dan kerja-kerja kemanusiaan (melalui Jawatankuasa Pembelaan Umat Sejagat dan wadah MyCARE). IKRAM sentiasa mengalu-alukan kerjasama mereka yang pakar dalam bidang kesihatan jiwa.
Sebagai sebuah pertubuhan dakwah yang peka akan pembangunan holistik jiwa dan umat manusia, IKRAM akan terus berusaha untuk:
- Memberi kesedaran kepada semua lapisan masyarakat tentang pencegahan dan rawatan pelbagai jenis penyakit mental.
- Menjayakan program-program yang bertujuan untuk mengurangkan stigma kepada penyakit dan pesakit mental serta rawatan dan rehabilitasinya.
- Memantapkan kurikulum bersepadu akademik di sekolah-sekolah IKRAM-Musleh yang mengambilkira aspek-aspek kesihatan fizikal, mental dan spiritual.
- Bekerjasama dengan ahli-ahli profesional dan semua aktivitis masyarakat yang bertujuan untuk mewujudkan suasana masyarakat yang sihat di sudut fizikal, mental dan spiritual.
- Membantu mewujudkan polisi kesihatan mental di semua peringkat masyarakat yang melibatkan pihak kerajaan dan swasta.
- Menggalakkan lebih ramai pelajar dan pelatih dalam bidang psikiatri, psikologi dan kaunseling.
- Mendidik masyarakat untuk bersifat rahmah terhadap mereka yang menghidap penyakit mental sesuai dengan konsep Negara Rahmah.
Semoga usaha-usaha ini akan membantu membina negara rahmah yang lebih sejahtera.
Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia