Para jemaah haji Malaysia telah mula kembali ke tanah air setelah selesai melaksanakan tuntutan rukun Islam kelima itu pada tahun ini. Seramai 280 orang jemaah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 9.30 malam pada Selasa lalu.
Tahniah diucapkan kepada semua jemaah. Mereka yang masih tinggal di Makkah dan Madinah sekarang sudah pasti menghitung hari dan tidak sabar untuk berkumpul semula dengan ahli keluarga masing-masing.
Namun percayalah, ramai sebenarnya dalam kalangan para hujjaj berasa sedih untuk meninggalkan dua tanah suci itu kerana peluang untuk menjejakkan kaki ke sana bukan mudah diperoleh, mungkin sekali seumur hidup.
Jadi, beruntunglah kiranya pada saat ini, majoriti daripada lebih 30,000 jemaah haji Malaysia masih berpeluang dan sedang asyik melakukan ibadah di sana.
Penerbangan terakhir jemaah haji Malaysia dijangka pada 20 Julai 2024.
Kuota rasmi jemaah haji Malaysia yang diluluskan oleh kerajaan Arab Saudi pada tahun ini ialah sebanyak 31,600 orang, peningkatan ketara berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 14,306 orang.
Kuota haji tahun 2023 itu hanyalah 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima dan terpakai kepada semua negara. Bilangan yang rendah tersebut antaranya disebabkan kawalan ketat yang dikuatkuasakan berikutan pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak beberapa tahun lalu.
Syukur kepada Allah kerana jemaah haji Malaysia dari dahulu memang terkenal sebagai jemaah yang berdisiplin sepanjang tempoh berada di Haramain.
Baru-baru ini, Tabung Haji (TH) sekali lagi mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Arab Saudi menerusi Anugerah Labbaittom bagi kategori kepuasan tertinggi dalam perkhidmatan yang disediakan oleh Pejabat Urusan Haji.
Anugerah yang diterima untuk kali ketiga berturut-turut itu membuktikan TH terus diperakui sebagai operator terbaik pengurusan haji tahun ini.
Anugerah berkenaan diterima oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan al-Rabiah.
Mudah-mudahan disiplin serta adab yang dipamerkan jemaah sewaktu melaksanakan ibadah haji serta pengurusan cemerlang oleh TH menjadi asbab yang memudahkan semua jemaah memperoleh haji yang mabrur dan diterima Allah SWT.
Hikmah ibadah haji
Bukan sedikit hikmah atau pengajaran yang dapat dikutip daripada pelaksanaan rukun Islam yang kelima ini. Antara hikmah mengerjakan haji ialah:
1. Ketaatan, kepatuhan dan ketakwaan kepada Allah
Ibadah haji membuktikan ketaatan serta tunduk dan patuhnya seorang hamba kepada Allah SWT. Umat Islam menunjukkan ketaatan dan disiplin mereka dengan mengikuti semua rukun dan wajib haji dengan sempurna.
Asy-Syahid Syed Qutb mengatakan dalam karyanya, “Islam bermakna tunduk, patuh, taat dan mengikuti, yakni tunduk patuh kepada perintah Allah, taat kepada syariat-Nya serta mengikuti Rasul dan manhajnya.” (Fi Dzilalil Qur’an, 1/378).
Semua rukun dan wajib haji yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan niat yang benar pula menguatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
2. Kesabaran dan kecekalan
Untuk selesai mengerjakan haji, seseorang itu memerlukan kesabaran, kecekalan dan ketabahan yang luar biasa.
Bukan mudah untuk beribadah dengan tenang dalam jutaan manusia dengan pelbagai ragam, cuaca panas mahupun sejuk yang melampau serta berbagai-bagai kesulitan daripada pemakanan, kesihatan hinggalah kepada pengaturan masa yang tidak boleh “ikut kepala sendiri”, semuanya mengajar pentingnya bersabar dan tabah dalam menghadapi ujian hidup.
3. Kesamarataan dan persaudaraan
Apakah agaknya antara hikmah pemakaian ihram yang serba putih kepada jemaah haji? Yang jelas, pemakaian ihram yang seragam dalam ibadah haji menghapuskan perbezaan status sosial. Tanpa mengira dari negara mana atau bangsa apa, kita diajar bahawa di hadapan Allah SWT, semua manusia adalah sama dan semua umat Islam bersaudara.
4. Pengorbanan
Pengorbanan dalam mengerjakan haji bukan sesuatu yang kecil. Bagi membolehkannya mengerjakan haji, seseorang menyimpan wang mungkin selama bertahun-tahun, malah ada yang berpuluh tahun.
Banyak kehendak peribadinya terpaksa dikorbankan. Dalam melaksanakan ibadah haji juga, jemaah mengorbankan masa, tenaga dan kebiasaan rutinnya. Jemaah haji meninggalkan keluarga, pekerjaan dan keselesaan mereka untuk menjalankan ibadah yang suci ini.
5. Pembersihan diri
Pelaksanaan haji melambangkan pembersihan jiwa daripada dosa-dosa. Momen wukuf di Arafah, misalnya, adalah saat yang sangat penting untuk berdoa dan memohon keampunan daripada Allah, melambangkan penyesalan dan niat untuk memperbaiki diri. Sementelahan pada saat dan di tempat itulah antara doa yang paling mustajab untuk dipohonkan.
6. Kebersamaan dan kesederhanaan dalam ibadah
Bersama-sama melaksanakan ibadah haji dengan jutaan umat Islam dari seluruh dunia mengajarkan tentang pentingnya kebersamaan dalam ibadah dan memperkuat ikatan ukhuwah Islamiah.
Bahkan pakaian ihram dan disiplin selama mengerjakan ibadah haji mendidik jemaah haji akan pentingnya bersederhana dan menjauhkan diri daripada kemewahan serta kesombongan.
7. Kebergantungan sepenuhnya kepada Allah
Ibadah haji mengajarkan bahawa manusia harus selalu bergantung kepada Allah SWT dalam setiap langkah hidupnya. Kadang-kadang berlaku perkara yang tidak dijangka ketika di tanah suci seperti sesat jalan, sakit dan sebagainya.
Di samping sentiasa beringat serta mengambil langkah keselamatan zahir yang perlu, jangan lupa bahawa kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Oleh itu, sentiasalah memohon pertolongan dan petunjuk-Nya.
8. Berzikir dan mengingati Allah
Haji adalah waktu yang penuh dengan doa dan zikir. Ia mengingatkan umat Islam tentang pentingnya mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui doa dan zikir dalam kehidupan sehari-hari.
Demikianlah cantiknya jalan kehidupan seorang jemaah haji andai sekembalinya ke tanah air, dia dapat meneruskan amalan yang terpancar daripada hikmah sepanjang pengalamannya mengerjakan haji serta dapat menjadi asbab untuk orang-orang lain mencontohinya pula.
Hj A Ralim M Yassen
Editor
– Kredit gambar: Kosmo Digital