Abu Bakar Md Nor @ Bachok yang terkenal sebagai seorang yang suka menginfaqkan harta dan keringat berangkat menuju negeri abadi bertemankan doa pasrah isteri dan lima anaknya. Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) setelah sabar mengharungi Non-Hodgkin’s Lymphoma, sejenis barah darah sejak dua tahun lalu. Penyakit tersebut pada mulanya dikesan di Hospital Pakar An-Nur, Bandar Baru Bangi sebelum dirujuk ke PPUKM.
Berasal dari Pontian, Johor, Allahyarham dilahirkan pada 1964. Pernah menuntut di Maktab Rendah Sains MARA, Seremban dan di hujung pendidikan formalnya, beliau menimba ilmu di California State University, Amerika Syarikat. Di sana, Allahyarham bergiat cergas bersama MISG untuk menyuburkan dakwah dalam kalangan pelajar-pelajar Malaysia.
Pulang ke Malaysia, Allahyarham kekal istiqamah bersama jamaah apabila menjadi aktivis JIM dan terakhir sebagai Bendahari IKRAM Batu, Wilayah Persekutuan (WP). Dari sudut kerjaya, Talisman Malaysia Limited menjadi majikan terakhir Allahyarham sebelum beliau meninggal dunia.
“Sepanjang saya mengenali beliau, Allahyarham merupakan seorang yang sangat dermawan, suka membantu orang lain dan amat berisiplin dalam usrah,” kata Sdr Hasan Unir, Yang Dipertua IKRAM Batu yang juga naqib usrah Allahyarham.
Hassan turut menceritakan pengalaman menarik seorang rakan sekerja Allahyarham yang tersadai dalam satu perjalanan akibat kerosakan kereta. Setelah beliau menghantar kira-kira 10 khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada rakan-rakan untuk meminta bantuan, ternyata orang pertama yang muncul adalah Allahyarham Abu Bakar yang terus membantu beliau sehingga selesai masalah.
“Selain itu, dalam kalangan ikhwah, Allahyarham memang terkenal sebagai seorang yang selalu bersedia untuk meminjamkan keretanya bagi menjayakan kerja-kerja dakwah,” tambah Hassan.
Menurut Sdr Zahir Hasan, seorang lagi mentor Allahyarham dalam dakwah, ketika beliau mengunjungi Allahyarham di PPUKM, beliau masih bersemangat melayan ‘tetamu’ dan menggagahkan diri bercakap walaupun ketika itu beliau sedang uzur.
Timbalan Yang Dipertua IKRAM WP yang juga YDP JIM WP, Sdr Hasni Marjumat dengan nada terharu berkata, Allahyarham Abu Bakar merupakan seorang aktivis yang telah banyak menaburkan jasanya, sama ada dalam IKRAM atau JIM.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Pn Norzietah Abd Karim, seorang pensyarah di UiTM Shah Alam dan lima orang anak. Bagaimanapun, dua daripada anak Allahyarham, Muhammad Muaz dan Mawaddah adalah hasil perkongsian bersama Pn Norzietah, manakala tiga lagi, Mardhiah (22, pelajar perubatan di Mesir), Munirah (14, SMI Hidayah Johor Bahru) dan Maisarah (12, SRI Al-Amin Gombak) adalah hasil perkongsian bersama isteri pertama, Allahyarham Zaharah. Almarhumah meninggal dunia pada tahun 2001 akibat menderita barah payudara.
Jenazah Allahyarham selesai disembahyangkan pada jam 1.45 petang dan kemudiannya disemadikan di tanah perkuburan Taman Ibu Kota Kuala Lumpur. Antara yang hadir sepanjang majlis pengebumian adalah Presiden IKRAM Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad, Ketua Wanita IKRAM Ustazah Maznah Daud serta beberapa orang pimpinan IKRAM Pusat, Negeri dan Daerah. Dan di celah-celah hadirin yang ramai itu berdiri serang tua sekitar 65 tahun yang tabah dan redha dengan suratan takdir. Beliau adalah Hj Md Nor @ Bachok, bapa Allahyarham.
Dianggarkan kira-kira 700 orang mengiringi jenazah Allahyarham ke tempat persemadiannya yang terakhir. Jumlah seramai ini sudah cukup menceritakan siapa Allahyarham di hati orang-orang yang ditinggalkannya. Tetapi kalau itu pun belum cukup, ramai penziarah yang merapati jenazah Allahyarham dilihat sebak dan menitiskan air mata. Mereka adalah saudara-mara, teman sekolah, rakan universiti, kenalan pejabat dan sahabat dakwah yang sangat terkesan dengan perjalanan akhir Allahyaram. Itulah legasi seorang akh yang dermawan lagi prihatin terhadap insan-insan di sekitarnya.
Itulah Allahyarham Abu Bakar Md Nor @ Bachok.