Begitulah nilai tarbawi yang didapati dalam salah satu aktiviti program School Of Tarbiyah anjuran pertubuhan pelajar AMIR Jepun dengan kerjasama Biro Seberang Laut (BSL) IKRAM yang telah diadakan pada 27-30 Disember 2015 di Sanya Sport Centre, Tateyama di sini menghimpunkan 63 orang mahasiswi Malaysia di Jepun.
Dalam riadah salji ini, setiap pasukan mempunyai misi yang perlu dicari dalam timbunan salji dan setiap serangan kepada pasukan lawan, perlulah menyebut zikir atau ucapan yang tertulis dalam kertas yang dijumpai dalam timbunan salji seperti Assalamualaikum, jazakillah, asif jiddan, Subhanallah, Lailahaillallah, syafakillah dan lain-lain. Dalam Snowwar kedua pula, setiap pasukan perlu menyelamatkan panji daripada dirampas pasukan lawan.
Snowwar Games: Mencari barang tersembunyi, rangka strategi dan menyelamatkan panji
Program sekolah tarbiah ini bermula dengan Taaruf Games dan acara pembukaan diikuti dengan pembahagian peserta kepada dua kelas yang dijalankan secara selari iaitu Kelas Fatimah dan Kelas Khadijah yang dipimpin oleh Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad dan Saudari Sumayyah Abdul Aziz.
Dalam kelas Fatimah, peserta mempelajari tentang sejarah usrah dan buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam supaya para peserta menyedari kepentingan tarbiyah yang membawa kepada kefahaman Islam yang syumul dan bagaimana mempraktikkannya dalam kehidupan seseorang yang ditarbiah.
Dalam Kelas Khadijah pula, peserta mempelajari tentang sifat seorang Muslim, ciri-ciri tarbiah dan pengetahuan isu semasa supaya para peserta dapat memperkasakan fikrah selari dengan fikrah Islam, rasa yakin untuk menyampaikan dakwah, menggilapkan akhlak dan penampilan serta mempunyai persediaan murabbiah.
Kelas Fatimah, Kelas Khadijah dan LDK
Setiap kelas mempunyai Latihan Dalam Kumpulan (LDK) untuk peserta membincangkan pengajaran-pengajaran yang didapati dan resolusi yang praktikal untuk diamalkan selepas program nanti.
Setiap acara dan kelas dalam program ini turut diselangi dengan tazkirah yang berkaitan muraqabah, hubungan dengan Allah dan manusia, nikmat Islam dan iman, kisah sahabat yang gigih mencari kebenaran serta perkongsian pengalaman mereka yang mendapat sentuh tarbiah.
Melalui sesi persembahan seni Malam untuk Ummah, secara berkumpulan, para peserta dikehendaki menyampaikan mesej kemanusiaan dan kepedulian terhadap keadaan ummah dengan pelbagai cara seperti pantomin, sketsa, lakonan, sajak, nasyid atau flash mob.
Akhir program dalam majlis penutup, para peserta School of Tarbiyah berikrar untuk sentiasa mengamalkan asas-asas prinsip Islam, mematuhi peraturan universiti, taat kepada ibu bapa dan pensyarah, menghormati dan berkerjasama dengan rakan-rakan, menumpukan perhatian dalam pelajaran serta berusaha mengaudit diri melalui mutabaah amal ibadah, insyaa-Allah.