Sejarah menarik Masjid Hagia Sophia

Pada tahun 627 Masihi, telah berlaku Perang Khandaq di mana Rasulullah SAW dan penduduk Madinah menggali parit di sekeliling Kota Madinah bagi menghalang serangan tentera Ahzab. Ketika menggali parit, terdapat sebuah batu besar yang tidak dapat dipecahkan oleh orang ramai.

 

Nabi Muhammad SAW berdoa dan menghayunkan penukul beberapa kali untuk memecahkan batu tersebut lalu kelihatan percikan api sebelum batu tersebut pecah semuanya. Nabi Muhammad SAW bersabda:

 

“Pada pukulan pertama aku melihat gedung dan istana Kisra (Parsi). Pada pukulan kedua aku melihat istana-istana merah di Romawi. Sesungguhnya umatku pasti mengalahkan mereka.” (HR Ahmad dan Nasai)

 

Pada ketika lain, sahabat Rasulullah SAW bertanya kepada baginda, yang manakah akan dikalahkan dahulu, Kota Rom atau Konstantinople? Nabi Muhammad SAW bersabda: “Kota Hercules yang akan dikalahkan dahulu (merujuk kepada Kota Konstantinople).” (HR Ahmad dan Al-Hakim)

 

Nabi Muhammad SAW juga bersabda: “Kota Konstantinople pasti akan dibuka (oleh umat Islam). Pemimpinnya adalah sebaik-baik pemimpin, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (HR Imam Ahmad)

 

Pada tahun 1453, Sultan Muhammad bin Sultan Murad iaitu khalifah ketujuh kerajaan Islam Uthmaniyah telah memimpin armada Islam seramai 250,000 tentera dengan pelbagai strategi peperangan dan kelengkapan yang moden.

 

Pada usia 21 tahun, Sultan Muhammad digelar Sultan Muhammad ‘al-Fateh’ yang bermaksud ‘pembuka’ kerana telah berjaya membuka Kota Konstantinople daripada tangan kerajaan Byzantine yang zalim dan merealisasikan hadis Nabi SAW setelah lebih 800 tahun diperkatakan mengenai peristiwa ini.

 

Sejurus selepas pembukaan Kota Konstatinople, tanpa rampasan ataupun senjata, Sultan Muhammad al-Fateh membeli bangunan Hagia Sophia daripada paderi gereja menggunakan wang peribadi beliau, tanpa menggunakan wang kerajaan Uthmaniyah mahupun wang Baitul Mal (Pusat Zakat).

 

Sultan Muhammad al-Fateh telah mewakafkan bangunan tersebut sebagai masjid yang dipanggil Masjid Haghia Sophia, dikeluarkan patung-patung yang bertentangan dengan akidah Islam dan dimasukkan unsur seni bina Uthmaniyah. Gereja pula dialihkan ke kawasan lain yang dipersetujui oleh paderi dan penganut agama Kristian di sana.

 

Sultan Muhammad al-Fateh juga mendirikan lebih 300 masjid, 50 sekolah dan 50 tempat pemandian awam. Kota Konstantinople mula dikenali sebagai Istanbul. Masjid Hagia Sophia berfungsi sebagai masjid serta pusat kemasyarakatan dan kebudayaan sejak tahun 1453 hingga 1935, hampir 500 tahun lamanya.

 

Antara tahun 1922 hingga 1924, berakhirlah kerajaan Islam Uthmaniyah dengan kemerosatan kuasa Sultan Mehmed VI dan Sultan Abdul Majid II yang mengakhiri era Khulafa’ Islamiah (khalifah-khalifah Islam). Turki diisytiharkan sebagai Republik Turki dan Mustafa Kamal Atartuk membawa agenda sekularisme bersama golongan Turki Muda.

 

Pada 1935, Mustafa Kamal Ataturk telah menukarkan Masjid Hagia Sofia kepada muzium. Azan dan solat tidak lagi dibenarkan didirikan di dalam Masjid Hagia Sophia, malah rakyat perlu membayar tiket untuk memasukinya. Tulisan rasmi juga ditukar kepada Rumi bagi menghakis sejarah khilafah Islamiah yang telah tertegak sekian lama sejak risalah nubuwwah Nabi Muhammad SAW.

 

Setelah 85 tahun menjadi muzium sahaja, Mahkamah pada 10 Julai 2020 memutuskan pertukaran fungsi masjid yang telah diwakafkan oleh Sultan Muhammad al-Fateh kepada muzium adalah tidak sah.

 

Oleh itu, Haghia Sophia kembali kepada status asalnya iaitu masjid, yang terbuka kepada semua umat Islam untuk beribadat di dalamnya, menunaikan solat dan dilaungkan azan.

 

Semoga sejarah ini menjadi inspirasi dan kekuatan untuk umat Islam terus berwakaf, beribadah dan bersatu sebagai sebuah ummah contoh lagi disegani.

 

Afifah Che Embi, aktivis IKRAM Teluk Intan

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia