Program ini dianjurkan Jawatankuasa Khidmat Masyarakat IKRAM (i-Bantu) dengan kerjasama Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), IKRAM MUSLEH, IKRAM Health, Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI) dan Hidayah Centre Foundation (HCF).
Dilancarkan pada 16 April 2018 lalu di Hotel WP berdekatan Jalan Tuanku Abdul Rahman TAR), ia bertujuan mengumpul dana untuk bantuan sedekah, fidyah, makanan, infrastruktur, pendidikan, Orang Kurang Upaya (OKU) dan kesihatan kepada yang lebih memerlukan di dalam dan luar negara.
Di samping itu, ia bertujuan menzahirkan rasa mahabbah dan keprihatinan khususnya kepada umat Islam yang lebih memerlukan.
Bukan sahaja golongan dewasa dijemput untuk sertai program ini, tetapi golongan muda juga dijemput untuk bersama menjayakan program ini melalui kempen ‘1Tabung 1Pelajar’ bagi menggalakkan budaya menabung dan menderma dalam kalangan murid sekolah.
“Ini julung-julung kalinya kami melaksanakan Majlis Sidang Media dan Pelancaran pada hari dan waktu yang sama program kami dijalankan. Ini kerana, kami ingin membawa para tetamu kehormat bersama meninjau keadaan miskin bandar dan gelandangan pada waktu malam di Kuala Lumpur,” kata Prof Madya Hj Ainullotfi selaku Pengerusi i-Bantu merangkap Pengarah program Rayuan Ramadhan 1439H.
Selesai sesi sidang media, tetamu kehormat dijemput ke tempat pelaksanaan aktiviti ‘Street Ngaji’ untuk bersama melihat keadaan miskin bandar dan gelandangan di Jalan TAR menyertai kelas pengajian al-Quran kepada pelajar Muslim dan pengetahuan asas kepada mereka yang belum Muslim.
Seramai 30 orang sukarelawan Rose2Rose, i-Bantu dan pelbagai pihak membantu mengajar bacaan Iqra’ dan al-Quran kepada pelajar Muslim dan pengetahuan asas kepada pelajar bukan Muslim seperti Matematik, Sains dan lain-lain.
Untuk maklumat lanjut mengenai program Rayuan Ramadhan, sila layari laman sesawang www.ibantu.ikram.org.my atau Facebook iBantu.IKRAM.Prihatin. Sebarang sumbangan boleh dibuat melalui atas talian www.i-bantu.org.my/reg.