KUALA LUMPUR – Sambutan Tahun Baharu Cina boleh menjadi medium bagi memupuk semangat muhibah dan mengeratkan perpaduan merentasi agama dan bangsa di Malaysia.
Oleh itu, semua pihak dijemput untuk menghadiri Majlis Mahabbah Tahun Baru Cina 2023 di Masjid Zaid Bin Haritsah, Kampung Sungai Mulia di sini yang akan diadakan pada Sabtu ini dengan pelbagai aktiviti, termasuk aneka jamuan untuk tetamu yang hadir.
Majlis ini merupakan anjuran pihak masjid, MAIWP dengan kerjasama Hidayah Centre Foundation (HCF), Pejabat Pentadbiran Zon 2 Jawi, Pejabat Cawangan DBKL Wangsa Maju, Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Wangsa Maju, Persatuan Penduduk Kg Lee Kong Chian, KRT Kg Lee Kong Chian, KRT Kg Sungai Mulia dan KRT Taman Setapak.
Menyambut dengan cara berbeza, HCF Melaka telah melaksanakan program Street Dakwah CNY dengan kerjasama para sukarelawan daripada Rakan Hidayah (RH) yang dibantu oleh Ustaz Kamal dan Dr Adam Wong pada 17 Januari lalu.
Sambil memberikan hadiah sempena Tahun Baharu Cina, program ini bertujuan untuk mendekati dan menerangkan kepada mereka tentang keindahan agama Islam yang terdapat pada ajarannya dan tidak boleh disandarkan pada kelakuan pengikutnya semata-mata.
Pada 23 Januari pula, HCF Miri, Sarawak dengan kerjasama Rakan Hidayah dan Surau Al Hidayah Tab Cinaq menganjurkan Chinese New Year Gathering yang menyajikan pelbagai juadah makanan tradisi Cina untuk ahli kariah, mualaf dan ahli keluarga yang hadir, dengan acara menarik Hui Chun Freestyle bagi menguji bakat kaligrafi peserta.
Tahun Baharu Cina adalah satu perayaan yang diraikan oleh masyarakat berbangsa Cina mengikut kalendar Cina.
Oleh kerana ia adalah perayaan tradisi bangsa Cina dan bukan perayaan agama, maka tiada halangan bagi para mualaf atau yang sudah lama menganut agama Islam untuk menyambutnya bersama ahli keluarga tersayang.
Namun sebagai Muslim, mereka tetap harus menjaga batas seperti tidak terlibat sama dalam upacara penyembahan berhala, permainan judi, minum arak atau makan khinzir.
Bagi mereka yang ingin mengunjungi sahabat berbangsa Cina pada musim perayaan ini, elakkan daripada memakai baju berwarna gelap terutamanya hitam bagi menghormati kepercayaan masyarakat Cina yang mempercayai hitam boleh membawa malapetaka.
Perayaan ini menghimpunkan ahli keluarga yang jauh dan dekat serta disambut juga bersama rakan taulan yang boleh mengukuhkan semangat muhibah dan mengeratkan silaturahim.