Sabar menghadapi musibah

Ujian Allah SWT

 

Ada perasaan cemas, sedih, takut malah putus asa seolah-olah keadaan seperti ini akan berpanjangan yang tiada berkesudahan. Sebagai umat Islam, adalah wajib untuk meyakini bahawa semua yang terjadi ini adalah atas kehendak Allah SWT yang Maha Tahu akan segala hikmah di sebaliknya.

 

Sungguh tiada daya dan upaya kecuali atas kehendak dan ketentuan Allah SWT.

 

لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ العَلِيِّ العَظِيْمِ

 

“Tiada daya dan upaya kecuali dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.”

 

Allah SWT mendatangkan musibah dan ujian antaranya adalah bagi menghapuskan dosa-dosa hamba-Nya. Ia selaras dengan sabda Nabi SAW:

 

مَا يَزَالُ الْبَلاَءُ بِالْمُؤْمِنِ وَالْمُؤْمِنَةِ فِي جَسَدِهِ وَمَالِهِ وَوَلَدِهِ حَتَّى يَلْقَى اللهَ وَمَا عَلَيْهِ خَطِيْئَةٌ

 

“Senantiasa ujian menimpa orang mukmin dan mukminah pada tubuhnya, harta dan anaknya, sehingga ia berjumpa dengan Allah dalam keadaan tidak memiliki dosa.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

 

Kembalilah kepada-Nya

 

Oleh yang demikian, umat Islam perlu menyerahkan serta mengembalikan kebijaksanaan atas segala yang berlaku kepada Allah yang Maha Mengurus alam semesta ini.

 

الَّذِيْنَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ

 

“(Orang-orang yang sabar iaitu) yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan: ‘Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. (Sesungguhnya kami milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nya kami kembali).  (Surah al-Baqarah, 156)

 

Apabila dilanda sesuatu musibah, Allah SWT mengajarkan agar mengucapkan dengan ucapan yang dikenali sebagai istirja’ iaitu:

 

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهَ رَاجِعُوْنَ

 

“Sesungguhnya kami milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nya kami akan kembali.”

 

Hal ini kerana segala yang terjadi merupakan ketentuan Allah SWT yang sudah tertulis di Lauh al-Mahfudz. Ia juga merupakan salah satu tanda keimanan terhadap Rukun Iman yang keenam iaitu beriman kepada Qada dan Qadar. Allah SWT berfirman:

 

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيْبَةٍ فِي اْلأَرْضِ وَلاَ فِي أَنْفُسِكُمْ إِلاَّ فِي كِتَابٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ نَبْرَأَهَا إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللهِ يَسِيْرٌ. لِكَيْ لاَ تَأْسَوْا عَلَى مَا فَاتَكُمْ وَلاَ تَفْرَحُوا بِمَا ءَاتَاكُمْ وَاللهُ لاَ يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُوْرٍ

 

“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya.

“Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput daripada kamu dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Surah al-Hadid: 22-23)

 

Kehidupan manusia terutamanya golongan yang beriman akan sentiasa tidak pernah sunyi daripada diuji oleh Allah SWT.

 

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

 

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?” (Surah al Ankabut: 2)

 

Orang yang beriman tentu akan bersabar tatkala ditimpa musibah dengan mengerjakan solat dan mohon kepada-Nya agar diberikan kekuatan untuk menghadapi segala ujian.

 

Bahkan ia tetap berada dalam ketaatan dan semakin mendekatkan diri kepada Allah SWT serta beristighfar memohon keampunan kepada-Nya. Allah SWT berfirman:

 

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلا عَلَى الْخَاشِعِينَ ,الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُمْ مُلاقُو رَبِّهِمْ وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

 

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhya hal itu sangat berat, kecuali bagi orang-orang yang  khusyuk, (iaitu) orang-orang yang menyakini bahawa mereka akan menemui Rabb mereka dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.” (Surah al-Baqarah: 45-46)

Setelah itu, ia perlu berusaha untuk menangani musibah ini agar diri tidak terjebak atau dijangkiti, bukan hanya berserah semata-mata di samping peka dengan arahan daripada pihak berkuasa dan mengingatkan jiran tetangga, saudara mara serta semua agar sentiasa  berwaspada.

 

Muhasabah kekuasaan Allah SWT

 

Manusia juga perlu bermuhasabah bahawa betapa mudahnya bagi Allah SWT untuk mengirimkan bala tenteranya dalam pelbagai bentuk seperti wabak COVID-19 ini.

 

Ia sungguh mencabar keegoan manusia yang sering berbangga dengan kekuatan dan teknologi yang dimiliki sehingga menjadikan masing-masing berada dalam keadaan kacau-bilau, terpinga-pinga dan huru hara untuk mendepani virus ini.

 

Hal ini membuktikan betapa kerdilnya manusia di sisi Allah SWT. Apa yang berlaku juga menuntut agar manusia terus berusaha sedaya upaya mencari jalan penyelesaian terbaik serta mengambil iktibar dan pengajaran.

 

Moga Allah SWT yang Maha Penyembuh akan segera memberi jalan keluar kepada wabak yang melanda hampir seluruh muka bumi ini.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia