Rukun Negara: Tanpa Perpaduan, Ia Dokumen Tanpa Makna

Bebas itu adalah merdeka, dan merdeka itu simbolik penyatuan bangsa Malaysia yang sebulat suara ingin membebaskan diri daripada penjajahan demi mendapatkan kedaulatan dan ketuanan.

Kenikmatan dan keamanan yang dirasakan pada hari ini telah dibayar dengan darah, titik peluh oleh hati-hati yang berjiwa besar oleh orang-orang terdahulu. 

Jalan membebaskan negara ini daripada cengkaman penjajah diiringi kesukaran dan tidak mudah, tetapi telah berjaya diperolehi melalui pengorbanan dan semangat kesatuan yang membara, melibatkan penyatuan semua kaum di Malaysia.

Harga yang dibayar untuk beroleh kemerdekaan terlalu mahal setelah sekian lama negara dijajah. Maka, hargailah kedamaian dan keamanan yang telah dikecapi pada hari ini.

Tanggungjawab kita semua sebagai rakyat Malaysia adalah untuk memastikan kenikmatan ini berlanjutan dan terus disuburkan. Katakan tidak pada sebarang usaha untuk memecahbelahkan dan mengacaubilaukannya. 

Hakikatnya, persamaan kita semua adalah tidak ada sesiapa atau mana-mana  kaum di Malaysia yang mahukan perpecahan, perkelahian atau persengketaan. Semua mahukan lanjutan hidup tanpa konflik dan untuk itu, semua rakyat Malaysia mesti berusaha sehingga tidak ada ruang untuk perpecahan berlaku. 

Setia pada Rukun Negara

Jangan meninggalkan kesatuan nasional untuk kemenangan-kemenangan kecil yang berkepentingan. Idea mewujudkan logo dan tema kemerdekaan sendiri seolah-olah tidak senada dengan semangat kebersamaan sebagai bangsa Malaysia yang satu.  

Negara tercinta ini umpama bahtera yang sedang berlayar ke destinasi menggapai kemakmuran dan keharmonian secara bersama-sama. 

Tetapi sekiranya rakyat dan terutamanya pemimpin masyarakat serta ahli politik sebagai anak-anak kapal gagal melihat gambaran ke depan yang luas, masing-masing akan melambatkan atau menggagalkan kelancaran perjalanan demi mencapai keberhasilan sendiri. 

Sudah banyak peristiwa dalam lipatan sejarah yang menunjukkan kejatuhan disebabkan oleh pertengkaran dalaman sehingga tersebar luas ke luar hingga menyebabkan kejatuhan kuasa wilayah atau negara secara keseluruhan. 

Pertelingkahan yang berlaku bukan disebabkan oleh antara kaum sahaja, bahkan turut berlaku antara rakyat daripada kaum yang sama.

Ketika negara mengalami pergolakan rakyat suatu ketika dulu sehingga memuncak pada 13 Mei 1969, Rukun Negara hadir dengan hasrat untuk mengatasi segala konflik perbezaan yang terdapat masyarakat yang berbilang kaum.

Pembentukan Rukun Negara yang diisytihar pada 31 Ogos 1970 bagi mencapai perpaduan yang erat dalam kalangan seluruh anggota masyarakat agar kemakmuran negara dapat dinikmati semua rakyat secara adil dan saksama. 

Majlis Perundingan Negara yang dipengerusikan Tun Abdul Razak Hussein dan para pemegang taruh merentasi kaum termasuk tokoh agama dan pemimpin masyarakat berpendirian bahawa rakyat mesti berpegang pada satu prinsip bagi mewujudkan kestabilan negara yang membawa kepada pembentukan Rukun Negara

Lima Rukun Negara ini diadakan untuk mencapai perpaduan yang lebih erat, memelihara cara hidup yang demokratik, mencipta keadilan dalam menikmati kemakmuran negara bersama, memupuk sikap saling menyelami kebudayan dan membina masyarakat progresif. 

Justeru itu, rakyat Malaysia harus menghidupkan kembali semangat yang digariskan oleh prinsip Rukun Negara agar negara tidak tergelincir sekali lagi dalam kancah pertelingkahan dan agar ikatan perpaduan sentiasa diperkukuhkan.

Tun Abdul Razak pernah mengingatkan, “Rahsia kesempurnaan Rukun Negara ialah pada amalannya. Tanpa amalan, Rukun Negara akan menjadi secebis dokumen yang tidak mempunyai makna.” 

“Adalah mustahak Rukun Negara bukan sahaja difahami oleh setiap rakyat, tetapi juga diamalkan dengan sepenuhnya dan segala hikmat-hikmat yang terkandung di sebalik tiap-tiap perkataan dan kalimat Rukun Negara itu benar-benar menjadi darah daging.”

Tegas capai perpaduan

Sambutan kemerdekaan adalah sesuatu yang memberi impak kepada sesebuah negara dan tidak sepatutnya ada nada berbeza dalam menyambutnya. 

Kemerdekaan ini adalah lambang perjuangan hasil perpaduan rakyat sesebuah negara, iaitu melibatkan keseluruhan juzuk negara. Siapa lagi yang harus utamakan penghormatan terhadap negara jika bukan rakyatnya sendiri.

 

Apabila negara sendiri tidak dijaga dan dihormati, bagaimana pula kita mengharapkan pihak luar menghormati negara kita pula? Belajarlah daripada reaksi dan sikap negara lain terhadap negara yang berkonflik.

Apabila ini berlaku, bukankah ini membuka peluang dan ruang kepada negara lain untuk mengambil kesempatan terhadap kelemahan negara tercinta? Maka, isu ini perlu dirangkum kembali dalam semangat Rukun Negara. 

Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik, KITA , Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dalam wawancaranya bersama IKRAM melalui program Spotlight berkata, “Penting untuk difahami semua bahawa perbezaan itu kebiasaan yang normal dan perlu diterima kerana hakikatnya manusia dicipta berbeza-beza. Perpaduan ialah isu menguruskan semua perbezaan yang seringkali mencetuskan konflik apabila tidak disantuni.”

Setiap warganegara Malaysia ada tanggungjawab untuk memlihara naratif yang mendukung negara bangsa dan bukan melemahkannya. Pemimpin perlu ada ketegasan untuk mencapai perpaduan. Lalui proses perbincangan bagi mencapai kesepakatan supaya hak setiap anggota masyarakat terbela dan diraikan. 

Jiwai semangat yang terkandung dalam Segulai Sejalai, yang membawa erti seiring dan sejalan dalam bahasa Iban di Sarawak. Kita semua mahu menikmati keamanan, kedamaian dan kemajuan yang berterusan, maka berusahalah ke arahnya.

Basmin Maarof

Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media

Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia