Memupuk Perpaduan Kaum Bermula Dari Rumah

Memupuk Perpaduan Kaum Bermula Dari Rumah | IKRAM

Jika boleh dibuat analogi Malaysia sebagai sebuah bahtera yang besar dipenuhi oleh keluarga Malaysia, pastinya sesiapa akan terbayang kepelbagaian etnik yang ada, kaya dengan aneka jenis masakan dan rasa, bersilang budaya dan bahasa.

Begitulah gambaran negara Malaysia di mata dunia yang sering menjadi tarikan pelancong kerana penawaran warna-warni seni dan budaya yang dimiliki.

Keindahan Malaysia lebih terjelma apabila rakyat berbilang etnik hidup dalam semangat kesepaduan, saling menerima perbezaan dan saling memperkuatkan kelebihan antara satu sama lain.

Inilah keindahan perpaduan yang diidamkan dan akan dapat terus dinikmati sekiranya rakyat Malaysia pada setiap generasi memelihara keutuhannya tanpa membiarkannya retak sedikit pun.

Sekiranya ada anasir buruk sekecil lubang mana pun, akhirnya jika dibiarkan melarat, ia berupaya untuk membesar sebagai retakan yang merosakkan sehingga sukar dibaiki.

Bermula Dari Rumah

Dalam menerapkan nilai perpaduan agar sentiasa lestari, keluarga merupakan nukleus terpenting dalam mencerap generasi yang akan terus mewarisi semangat kesatuan ini secara turun-temurun. 

Ketua Kluster Masyarakat Progresif Pertubuhan IKRAM Malaysia, Hj Ainullotfi Abdul Latif dalam program Bicara Bina Negara ‘Keluarga Utuh Teguhkan Negara’ baru-baru ini mengatakan:

“Peranan keluarga patut ditekankan, dipertegaskan dan diperkukuhkan.”

Ini kerana keluarga merupakan institusi terkecil dalam sebuah negara untuk membawa mesej terawal tentang keharmonian, kedamaian dan toleransi kepada minda anak-anak agar nilai-nilai baik ini subur membentuk keperibadian mereka sehingga dewasa kelak.

Ibarat kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Maka sejak kecil, anak-anak harus dibentuk dengan persepsi yang baik dan betul sehingga memiliki kekebalan terhadap apa jua anasir buruk yang mendatang.

Menurut Pengerusi Yayasan Perpaduan Malaysia, Prof Dr. Suresh Kumar Govind dalam program itu menyebut, “Apabila anak dari kecil diasuh dengan persepsi yang betul, sebarang isu mendatang akan dilihat sebagai cabaran dan bukan masalah.”  

Memupuk Perpaduan Kaum

Dalam konteks mencorakkan citra negara bangsa Malaysia yang berbilang etnik, semestinya pendedahan dan pergaulan berlainan bangsa  berupaya menghidupkan lagi konsep perpaduan yang dipelajari.

Masyarakat tidak harus hidup selesa dalam kepompong hidup masing-masing. Rasa berpuak-puak mudah terjadi kerana kurang interaksi dan percampuran dengan berlainan bangsa. 

Melalui pergaulan yang luas, masyarakat akan menjadi lebih terbuka, belajar bertoleransi, lebih memahami dan mudah menerima antara satu sama lain.  Sepertimana yang disebut oleh Prof Dr Suresh, “ Tak tau, tak faham. Tak faham, tak kenal. Tak kenal, tak sayang.” 

Bagaimana mungkin kita mengharapkan untuk ada kesatuan jika masyarakat tidak saling memahami. Bagi mendapat persefahaman, sudah tentu perlu ada komunikasi dan interaksi yang sihat agar slogan perpaduan yang dilaung-laungkan tidak menjadi retorik semata-mata.

Program komuniti bersifat integrasi dan silang budaya seperti  penganjuran rumah terbuka, gotong-royong, ziarah-menziarahi dan sambutan Hari Kebangsaan harus disambut baik bagi memupuk semangat kesatuan dan rasa kekitaan sesama masyarakat. 

Konsep ‘Dapur Inspirasi Malaysia WiLAT’ (Malaysia Inspire Kitchen WiLAT) yang dilancarkan oleh Wanita Dalam Logistik dan Pengangkutan (WiLAT) adalah contoh usaha baik yang mengajak masyarakat daripada pelbagai etnik untuk menyumbang tenaga dari penyediaan makanan hingga ke hidangan di meja makan dalam suasana yang santai.

Perbincangan santai di dapur boleh dibawa menjadi perbincangan serius yang harmoni di meja diskusi. 

Ketika negara menghadapi ancaman wabak Covid-19 sehingga menggugat ekonomi, terpapar pelbagai kisah rakyat tanpa mengenal bangsa saling mengambil tahu dan bahu-membahu bagi menyelesaikan musibah yang terjadi. 

Kempen mengangkat bendera putih mendapat sambutan dalam kalangan komuniti setempat hingga wujud slogan ‘Kita jaga kita’.

Penduduk kejiranan menjadi lebih cakna terhadap kesukaran yang dihadapi oleh keluarga jiran masing-masing agar tiada sesiapa yang tertinggal untuk disantuni dan ini memperkasakan komuniti itu.

Keluarga Utuh Teguhkan Negara

Begitulah kekuatan perpaduan yang diperolehi apabila masyarakat hidup dalam suasana saling bergantung dan memerlukan antara satu sama lain. Kekurangan yang ada akan ditampung bersama dan hidup lengkap-melengkapi.

Perbezaan yang ada tidak boleh dihilangkan, malah perlu diterima dan diuruskan dengan baik, sebagaimana yang ditegaskan oleh Pengasas dan Penasihat Pertubuhan Bapa Hebat Malaysia (Better Dads Malaysia), Jason Leong.

Mudahnya, kunci utama kepada keteguhan sebuah negara terletak pada kekuatan institusi kekeluargaan. Di situ akan lahirnya generasi yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan dan seterusnya menjadi penentu masa depan negara.

Sekiranya generasi ini terdidik dengan nilai peradaban yang tinggi dalam suasana masyarakat majmuk yang aman damai, maka kita boleh terus selesa mengimpikan masa depan yang cerah.

Jika sebaliknya, masyarakat dan negara perlu lebih bekerja keras lagi untuk memandu generasi kini ke landasan yang betul agar ia selamat dan sampai ke destinasi yang diharapkan, iaitu perpaduan dan keharmonian. 

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia