Rotan Kanak-kanak: Antara Budaya dan Agama

Rotan Kanak-kanak: Antara Budaya dan Agama | IKRAM

Bayangkan anda melakukan kesalahan dan kemudian ditegur secara kasar. Setelah itu, anda dimasukkan ke bilik dan dirotan. Adakah anda akan menginsafi diri? 

Bagaimana pula keadaan sekiranya anda ditegur secara baik dan diberikan peluang pula untuk memperbaiki kesalahan. Adakah anda rasa ingin berubah dan mahu perbaiki diri?  

Isu yang mahu diambil perhatian ialah terlalu banyak kes jenayah penderaan ke atas kanak-kanak terjadi di negara ini dilakukan sama ada oleh ibu bapa, penjaga atau orang dewasa sekitar.

Paling tragis, ada penderaan yang membawa kepada kematian atau kesan trauma sepanjang hayat. 

Kes dera meningkat

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pernah mendedahkan melalui jawapan bertulis sidang parlimen pada 14 Mac lalu, terdapat 220 kes kematian kanak-kanak akibat penderaan antara tahun 2018 hingga 2022.

Angka-angka ini tidak termasuk beribu-ribu kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan dan semakin meningkat. Trend ini membimbangkan. Kanak-kanak merupakan golongan rentan yang sepatutnya dilindungi dan dikasihi.

Di negara ini, merotan kanak-kanak adalah satu budaya yang diterima dalam masyarakat Malaysia sehingga wujud peribahasa sayangkan anak tangan-tangankan. 

Tidak sedikit pihak yang cuba menggambarkan merotan atau memukul anak merupakan suatu ajaran yang dituntut dalam agama Islam. Benarkah?

Bagaimana pula dengan isu memukul anak apabila dikuasai nafsu sehingga anak tercedera mental dan fizikal?

Apakah falsafah sebenar yang perlu difahami dalam pendidikan anak-anak menurut ajaran Islam dan pensyariatan rotan yang dimaksudkan.

Kaedah merotan atau memukul kanak-kanak sebagai langkah mendisiplinkan harus diperjelaskan hingga dan difahami oleh semua anggota masyarakat terutamanya pada ibu bapa, penjaga dan warga pendidik.

Perspektif Islam

Pertama, semua orang harus sedar bahawa Islam adalah agama yang menitikberatkan nilai kasih-sayang sebagai akhlak terbaik sesama makhluk. Ini selari dengan firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud:

“Maka disebabkan rahmat daripada Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu, maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan berbincang dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”

Ayat ini menjelaskan kelembutan dan kesantunan akhlak Rasulullah dalam menyantuni manusia sehingga dicintai dan ditaati mereka merupakan sikap dipuji Allah SWT. 

Bersikap kasar dan keras akan menjauhkan manusia lari, benci dan tidak mahu mendengar kata. Kelakuan kasar dari hati tanpa rasa kasihan lagi bengis bukan ajaran Islam.

Nabi Muhammad SAW adalah insan yang terbaik melayani ahli keluarganya serta bersikap penyayang terhadap kanak-kanak. Baginda pernah bersabda melalui hadis Riwayat Abu Daud (No. 495, Hadis Hasan): 

“Suruhlah anak-anakmu bersolat ketika mana mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka (sekiranya mereka tidak mengerjakan solat) ketika mana mereka berumur 10 tahun dan pisahkan tempat tidur antara mereka (iaitu anak lelaki dan perempuan).”

Melalui hadis ini, rotan dibenarkan sebagai kaedah mendisiplikan anak tetapi bukan rotan sembarangan sepertimana yang menjadi kefahaman masyarakat umum.

Tahukah anda, hukuman rotan adalah alternatif terakhir hanya setelah cara didikan lain digunakan, menurut tokoh pendidikan dan pengarang buku Tarbiyatul Aulad yang terkenal, Abdullah Nasih Ulwan. 

Beliau juga menekankan bahawa hukuman merotan hanya boleh dilaksanakan atas dasar mendidik dan tidak boleh dilakukan ketika marah. Emosi yang tidak terkawal mengakibatkan boleh terjadinya kezaliman apabila kemarahan ibu bapa atau pendidik dilampiaskan sewaktu memukul anak. 

Mendidik, bukan menyakitkan

Niat merotan adalah tujuan mendidik jiwa dan bukannya menyakiti secara fizikal. Sebaliknya merotan yang mengakibatkan kecederaan bukan lagi rotan untuk mendidik, tetapi sekadar memuaskan nafsu amarah sendiri, ia ditegah sama sekali dalam Islam. Ini adalah jenayah terhadap kanak-kanak.

Ibu bapa atau guru perlu dalam keadaan bertenang dan waras sebelum mengambil tindakan merotan. Jangan sesekali berani memegang rotan sekiranya emosi menguasai diri dan tidak dapat dikawal. 

Nabi mengajar melalui hadisnya bahawa pendidikan bukan bertujuan untuk menghukum. Merotan tidak wajar dilakukan pada kesalahan kali pertama.

Sebaliknya, sunnah yang dituntut Islam adalah menekankan nasihat secara baik, berperingkat-peringkat dan berhikmah secara berterusan sehingga wujud keinsafan. 

Peluang memperbaiki kesalahan harus diberikan sepertimana anjuran Nabi SAW. Tempoh tiga tahun iaitu dari umur tujuh hingga 10 tahun merupakan tempoh mendidik melalui kata-kata bagi ibadah solat secara berperingkat.

Anak-anak perlu diajar dan disuruh solat seawall tujuh tahun secara berterusan. Sekiranya anak tidak solat secara sengaja pada umur 10 tahun, hukuman rotan boleh dikenakan. 

Jelas sekali, perbuatan merotan dilakukan hanya setelah beberapa langkah nasihat dan kaedah pelaksanaannya telah digariskan syariat. Anggota badan yang sensitif seperti kepala, wajah dan dada ditegah.

“Apabila salah seorang daripada kamu bergaduh, maka hendaklah dia menjauhi (daripada memukul) muka. “(HR Muslim, No. 2612)

Beza disiplin, hukum

Ketahuilah, terdapat perbezaan ketara antara mendisiplinkan dan menghukum. Hukuman diberikan khususnya untuk menjadikan kanak-kanak takut melanggar peraturan. Manakala disiplin pula mengajar kanak-kanak membuat pilihan dan keputusan yang lebih baik pada masa mendatang.

Disiplin memupuk kawalan emosi yang baik pada kanak-kanak seperti belajar menenangkan diri, menyelesaikan masalah, mengendalikan emosi dan perasaan serta tingkah laku dengan kawalan yang baik. 

Manakala hukuman yang berat dan berulang kali kepada kanak-kanak seperti merotan boleh mencetuskan perubahan tingkah laku seperti memupuk kepercayaan pukulan jalan penyelesaian masalah, membibitkan perasaan benci pada ibu bapa, menjadi agresif, antisosial dan juga boleh membantutkan perkembangan otak.

Berhikmahlah dalam memberi pendidikan. Merotan atau memukul hanyalah sebahagian cerita dan dilaksanakan dengan tertib dan hanya setelah kaedah lain tidak berjaya. 

Sematkan dalam minda, Islam menitikberatkan kasih sayang dan kelembutan, menolak sebarang kekerasan sekalipun dalam perkara kebaikan, apatah lagi perbuatan yang membawa mudarat.

Santunilah orang lain teruramanya ahli keluarga sepertimana anda mahu disantuni.

Azlina @ Roszy Mohamad Ghaffar
Pakar Psikologi Klinikal, Hospital Pakar An Nur

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media, Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia