Antara objektif program ini ialah untuk mengumpul dana untuk tajaan berbuka puasa dan sedekah di negara atau lokasi umat Islam yang lebih memerlukan. Ia juga sebagai tanggungjawab membantu umat Islam ditindas, ditimpa bencana, dilupakan dan berjuang di jalan Allah.
Selain itu, program itu sebagai cara menzahirkan rasa kasih sayang dan keprihatinan kepada umat Islam yang benar-benar memerlukan di Sudan, Palestin, Pakistan, Bangladesh, Iraq, Vietnam, Mindanao, Myanmar, Selatan Thailand, Afghanistan, Sri Lanka, Indonesia dan Kemboja.
Jaringan kerjasama antara IKRAM, JIM dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) di dalam dan luar negara turut dapat dibina bagi menyalurkan bantuan kepada golongan sasaran.
Menurut Pengarah Sekretariat Rayuan Ramadhan, Haji Tuan Yaacob Tuan Sof, pihaknya mensasarkan kutipan sumbangan sebanyak RM 500,000.00 bagi menampung bantuan kepada 100,000 umat Islam. Program Rayuan Ramadhan tahun ini adalah kali ke 13 dilaksanakan.
“Pihak sekretariat berbesar hati mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menyumbang bersama-sama pihak kami untuk menaja berbuka puasa bagi umat Islam yang sangat-sangat memerlukan bantuan dan perhatian daripada kita di pelbagai negara di seluruh dunia,” tambah beliau.
Katanya, pihak sekretariat juga tidak melupakan mereka yang sangat memerlukan bantuan, perhatian dan kasih sayang dalam negara Malaysia sendiri iaitu khusus untuk saudara baru (muallaf) yang diuruskan oleh Hidayah Centre.
Pihak sekretariat juga akan menghantar wakil-wakil untuk turut serta dengan umat Islam di negara-negara tempat kita mengagihkan tajaan berbuka puasa, bertujuan untuk meraikan umat Islam tersebut di samping sebagai satu jaminan kepada pihak yang menyumbang bahawa sumbangan mereka telah disalurkan dengan persaksian sendiri oleh wakil penganjur.
“Pihak kami menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar kita sama-sama dapat berkongsi rezeki, kasih sayang, keprihatinan dan melaksanakan tanggungjawab sebagaimana yang difirmankan Allah dalam surah Al Hujurat bahawa sesungguhya umat Islam itu adalah bersaudara,” ujarnya.
Mereka yang berminat untuk menyumbang, boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Berhad 5622-0960-8847 dan Bank Islam Malaysia Berhad 1211-3010005-797 atas nama “Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia“.
Sila hantarkan atau fakskan bank in slip sumbangan tersebut kepada Sekretariat Rayuan Ramadhan 1432H di alamat LOT 300.2, Lorong Selangor, Pusat Bandar Melawati 53100 Kuala Lumpur. No Faks: +60341071754 @ +60341086319 atau emel slip ke rayuan@ramadhan-qurban.org.