Diari masyarakat Malaysia pada Januari tahun 2025 dikejutkan dengan beberapa insiden yang berpunca daripada kegagalan mengawal kemarahan, antaranya insiden seorang pelanggan menampar petugas pemeriksa kenderaan, insiden lelaki OKU mental dibelasah di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Kemaman, buli berbaur perkauman, budaya kerja toksik dan pelbagai lagi insiden yang melibatkan ketidakmampuan mengawal emosi juga sabar.
Insiden sebegini mencerminkan krisis kesabaran yang semakin membimbangkan dalam masyarakat kita.
Dalam konteks kehidupan yang semakin mencabar ini, Islam menyediakan panduan yang komprehensif dalam menguruskan emosi dan membina kesabaran. Hal ini dijelaskan melalui firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 200 yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, dan bersedialah serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).”
Begitu juga halnya dengan pesanan Rasulullah SAW yang menjelaskan bahawa individu yang paling kuat bukanlah diukur dari sudut fizikal tetapi emosinya sebagaimana sabda baginda yang bermaksud:
“Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.” (Sahih Bukhari, nombor 6114)
Dalil ini menjadi asas kepada perbincangan tentang kepentingan membina kekuatan spiritual khususnya kekuatan menahan marah dalam menghadapi cabaran kehidupan moden kini.
Marah merupakan fitrah semula jadi manusia yang dizahirkan secara spontan apabila berhadapan dengan situasi yang mencabar seperti disakiti atau dizalimi.
Rasulullah SAW juga pernah mengalami perasaan marah terhadap Usamah bin Zaid yang membunuh seorang musuh yang didapati telah mengucapkan syahadah di medan perang, lalu Baginda menegur dengan sabdanya yang bermaksud:
“Apakah kamu telah membelah hatinya untuk mengetahui sama ada dia benar-benar beriman ataupun tidak?” (Sahih Muslim, nombor 96)
Faktor krisis kesabaran
Mari kita lihat apakah antara pencetus yang menyebabkan berlakunya krisis kesabaran. Antaranya adalah bahawa tekanan ekonomi dan kos sara hidup yang meningkat, bebanan hutang dan ketidakstabilan pekerjaan telah mencetuskan tekanan berterusan dalam kehidupan seharian sesetengah individu.
Apabila dilihat daripada perspektif Islam, tekanan kehidupan khususnya ekonomi merupakan sebahagian daripada ujian Allah SWT. Hal ini dijelaskan melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh), kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman….”
Maka, setiap individu perlu memahami bahawa kesulitan ekonomi bukanlah alasan untuk hilang kawalan, sebaliknya merupakan medan untuk membuktikan keteguhan iman dan kesabaran dalam menghadapi ujian Allah SWT.
Seterusnya ialah peranan dunia digital yang mempengaruhi media sosial serta mewujudkan budaya “tindak balas segera”.
Sesetengah individu begitu pantas menularkan sesuatu insiden tanpa pengesahan (tabayyun) sehingga mampu melahirkan masyarakat yang reaktif dan cenderung bertindak mengikut emosi.
Pendedahan ini membawa kepada komen provokatif di media sosial yang turut menyumbang kepada peningkatan tahap ketegangan dalam masyarakat.
Tindakan seperti ini jelas mencabar kemampuan seseorang untuk mengawal kemarahan dan mengekalkan kesabaran, sedangkan Islam menuntut umatnya untuk sentiasa berfikir dan bertindak secara rasional, bukan terbawa-bawa dengan provokasi di alam maya yang boleh menghakis nilai-nilai murni dalam diri.
Tindakan “tidak pasti jangan kongsi” ini sebenarnya telah diajar melalui Surah al-Hujurat ayat 6 yang memberi panduan kepada kita agar menyelidik kebenaran sesuatu berita sebelum mempercayai, apatah lagi menyebarkannya. Tujuannya adalah agar seseorang itu tidak menyesal dengan apa yang dilakukannya secara terburu-buru.
Faktor penyumbang lain adalah perubahan corak kehidupan moden yang memperlihatkan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan semakin longgar.
Kesibukan kerja dan gaya hidup individualistik menyebabkan kurangnya sokongan emosi dan spiritual dalam komuniti. Institusi keluarga yang dahulunya menjadi benteng dalam membentuk kesabaran kini semakin terhakis dengan masalah komunikasi dan jurang generasi.
Apabila tiada contoh teladan daripada penjaga atau orang yang lebih berusia, generasi seterusnya akan meniru dan melakukan perkara yang sama seperti peribahasa yang berbunyi “bapa borek anak rintik”.
Ketidakupayaan mengawal kemarahan sering berpunca daripada kurangnya pendedahan terhadap kemahiran pengurusan emosi dan konflik sejak awal, terutamanya dalam institusi kekeluargaan yang sepatutnya menjadi sistem sokongan utama.
Sistem pendidikan yang dilihat lebih cenderung kepada pencapaian akademik dan berorientasikan peperiksaan dipercayai turut menyumbang kepada kurangnya penekanan terhadap aspek pembangunan emosi dan spiritual pelajar.
Akibatnya, kita menyaksikan generasi yang lemah dalam menangani konflik dan mudah hilang kawalan apabila berhadapan dengan situasi mencabar.
Rawatan dan penjagaan rapi
Daripada perspektif psikospiritual Islam, krisis kesabaran ini berkait rapat dengan kelemahan jiwa (nafs) dan penyakit hati. Imam al-Ghazali melalui kitabnya Ihya’ Ulumuddin menjelaskan bahawa kemarahan yang tidak terkawal merupakan manifestasi nafs ammarah iaitu jiwa yang cenderung kepada kejahatan yang perlu dirawat.
Apabila hati dipenuhi dengan sifat-sifat mazmumah seperti geram, berang, tiada empati, berkecamuk, dendam, benci, meluat, berlagak samseng serta menimbulkan atau mencari masalah, akan lahirlah tindakan-tindakan yang tidak terkawal seperti insiden yang dinyatakan di atas.
Justeru, dalam menghadapi krisis kesabaran ini, hati memerlukan rawatan dan penjagaan yang rapi kerana hati merupakan raja kepada seluruh anggota badan. Apabila hati dikuasai oleh nafsu tanpa kawalan akal dan panduan agama, seseorang itu mampu hilang pertimbangan yang waras dalam tindakannya.
Perkara ini dijelaskan melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika daging itu baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati.” (Sahih Bukhari, nombor 52 dan Sahih Muslim, nombor 1599)
Sebagai seorang Muslim, usaha membersihkan hati daripada sifat mazmumah perlu dijadikan keutamaan dalam mengawal kemarahan dan menangani krisis kesabaran ini. Rasulullah SAW mengajar kita berdoa yang bermaksud:
“Wahai Allah yang membolak-balik hati-hati, tetapkanlah hatiku agar sentiasa berada di atas landasan agama-Mu.” (Riwayat Tirmizi, nombor 2140).
Baginda SAW juga memperingatkan kita tentang bahayanya setiap tindakan yang membawa kepada dosa. Tindakan itu akan meninggalkan titik hitam di hati sekiranya tidak segera dibersihkan melalui taubat dan istighfar.
Hal ini dijelaskan oleh Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya apabila seseorang melakukan dosa, nescaya akan tumbuh pada hatinya satu titik hitam. Apabila dia bertaubat, maka terhakislah titik hitam tersebut. Jika dia tidak berbuat demikian, titik hitam tersebut akan terus merebak hingga ke seluruh hatinya.” (Riwayat An-Nasa’i, nombor 11594).
Oleh itu, amalan taubat, istighfar dan doa perlu dijadikan benteng dalam memelihara kesucian hati agar cahaya iman membimbing kita ke arah kesabaran dan ketenangan dalam menghadapi sebarang ujian.
Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open Universiti Malaysia