Memanfaatkan kesulitan sebagai latihan kesabaran

Memanfaatkan Kesulitan Sebagai Latihan Kesabaran

Perspektif manusia kepada masalah sering kali dijadikan bahan untuk ‘keluhan’ dan ‘ratapan’ atas apa yang berlaku pada takdir hidupnya.

Tanpa kita sedar, kaki ini berdiri di atas bumi yang nyata, di mana tidak ada seorang pun manusia yang terlepas dengan masalah dan dugaan.

Dari kanak-kanak, remaja, dewasa, sehinggalah orang tua, semuanya mempunyai jalan cerita ‘erti susah’ yang berbeza-beza. Kerana itu, mengapa tidak dimanfaatkan kesulitan sebagai latihan untuk menjadikan diri sabar?

Fikir mati

Kisah ini mengingatkan saya kepada satu peristiwa ketika saya sedang berada dalam pengajian ijazah sarjana muda di salah sebuah universiti tempatan. Ketika itu, saya di tahun ketiga pengajian.

Lambakan tugasan mengejar ‘deadline’, komitmen dengan persatuan, kerjaya sebagai seorang penulis freelance, ditambah masalah dengan rakan-rakan sepengajian, cukup memenatkan bukan sahaja fizikal, malah mental juga.

Kata orang, penat badan kita boleh rehat, tetapi kalau penat mental, memang tidak cukup dengan berehat sahaja. Bila mental penat, jiwa mula kacau menerawang entah ke mana. Fokus belajar tidak perlu ceritalah.

“Maaf, tapi ketika itu jujur saya berfikir untuk mengakhiri kehidupan.” Sebab saya tinggal di asrama dan duduk dalam bilik seorang diri, jadi rakan serumah tidak perasan dengan perubahan yang berlaku.

Sehinggalah satu hari ketika di dewan kuliah, saya mendapat satu mesej daripada sahabat lama sewaktu di sekolah rendah. Entah bagaimana dia seperti mengetahui akan perubahan pada diri ini.

Sedangkan jarak antara kami sangat jauh. Saya di Johor, manakala dia di Singapura melanjutkan pelajaran dalam diploma jururawat.

Dengannya saya tidak berselindung kerana kami sudah bersahabat lama hampir 13 tahun. Habis air mata ini menceritakan segala masalah kepadanya. 

‘Cari’ Tuhan semula

Persoalan yang bermain-main dan mengganggu hidup saya seakan-akan lenyap mendengar jawapannya yang cukup simple tetapi mendalam. “Cari Tuhan you semula.” 

Perkataan “cari Tuhan semula” mungkin perkara biasa bagi orang yang sedang tidak dilanda ujian, tetapi bagi yang sedang dilanda ujian, sesungguhnya perkataan itu menjentik hati setiap daripada mereka termasuk saya.

Saya terfikir, sedangkan dia yang bukan beragama Islam pun boleh menasihati saya tentang Allah, lalu di mana iman saya ketika itu?

Sungguh bertuah apabila Allah SWT mempertemukan saya dengan seorang sahabat berbangsa India yang mempunyai peribadi yang baik. Sehingga ke hari ini kami masih bersahabat.

Jarak tidak menghalang kami untuk bertanya khabar dan mengikuti perkembangan masing-masing. Sejak dulu lagi, saya memang banyak belajar daripada kehidupannya. Pada saya, beliau merupakan seorang anak yang sangat patuh pada kedua-dua ibu ayah.

Apabila ibunya meninggal dunia ketika beliau masih sekolah menengah, beliaulah yang mengalas tanggungjawab sebagai seorang kakak sulung dan ibu dalam ahli keluarganya.

Segala kerja-kerja rumah tangga seperti memasak, mencuci, mengemas dan mengajar adik-adik dilakukan sendiri kerana ayahnya bekerja di Singapura. 

Beliau figura sahabat yang mengajar saya tentang kegigihan dan tidak berputus asa dalam kehidupan. 

Tangisan dan kepenatannya menguruskan keluarga ditambah komitmen sebagai seorang pelajar saban kali membuatkan dirinya terjatuh dan tersungkur.

Apabila malam adalah waktu untuk dia mengulang kaji pelajaran, apabila siang menjelma dia akan bersekolah dan melakukan komitmen penuh sebagai suri rumah tangga. 

Kami sangat terbuka dalam berbicara soal agama kerana nilai hormat-menghormati yang kami amalkan tidak sesekali merendah-rendahkan dan memburukkan pegangan hidup masing-masing. 

Semua manusia diuji

Firman Allah SWT:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman,” sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” (Al-Ankabut: 2)

Cukup memberi kesan ayat ini jika dikaji. Adakah manusia mengira ujian hanya bererti Allah memberikan kedukaan dan kesusahan kepada hamba-Nya?

Jika kita berfikir ujian adalah kesedihan, maka kita akan mudah kecewa. Jika kita berfikir ujian adalah kesukaran, maka kita akan merasa kegelisahan dalam hidup. 

Berfikirlah yang ujian itu adalah tarbiah bagi diri agar menjadi manusia yang lebih kuat. Bagaimana keadaan tubuh menerima, responsnya akan kelihatan di hati.

Orang soleh diuji, orang kafir diuji, para sahabat diuji dan bahkan Rasulullah SAW juga diuji.

Apabila sudah sampai satu tahap kita membanding-bandingkan ujian kita dengan orang lain yang jauh lebih senang hidupnya, maka alihkanlah perbandingan itu kepada Rasulullah SAW.

Hal ini kerana baginda lebih banyak cabaran, ujian dan rintangan yang Allah beri dalam kehidupan seperti:

1. Seorang anak kematian ibu ayah, Rasulullah SAW juga kematian ibu bapa sejak kecil.

2. Seorang ayah kematian anak, Rasulullah SAW juga kematian anak yang masih kecil.

3. Seorang pemuda dicaci, dihina dan diherdik, Rasulullah SAW juga pernah dicaci, dihina dan diherdik serta dipulaukan ketika berdakwah.

4. Seorang suami kematian isteri, Rasulullah SAW kematian isteri tercinta, Saidatina Khadijah RA.

5. Sebuah keluarga hidup dalam kemiskinan, Rasulullah SAW hidup seadanya sangat minima. Jika dilihat dari tapak peninggalan rumah baginda, jelas kesederhanaan hidup Rasulullah SAW walaupun merupakan ketua keluarga yang disegani dan dihormati.

6. Seorang rakan kematian rakannya yang lain, Rasulullah SAW juga pernah kematian sahabat baginda dan sanak saudara.

Ikhlaskan diri

Dan renungkanlah kembali, kehidupan seseorang ibarat sebuah roda. Kadang kita di atas, di puncak kejayaan dan kadang kita di bawah, dikelilingi kegagalan dan kesulitan.

Tetapi ketahuilah, dalam hidup ini tidak semua yang kita inginkan bakal kita miliki. Ada masanya kita terpaksa melepaskan sesuatu yang paling kita suka dan dambakan.

Sebaik-baik mereka itu adalah mengikhlaskan setiap yang berlaku dalam hidup dengan kunci sebuah keredaan. Yang menghalang seseorang untuk reda adalah diri mereka sendiri.

Bukalah hati selapangnya dengan mempercayai takdir dan aturan Allah SWT bahawa itu sebaik-baik perancangan. Mungkin apa yang kita hilang hari ini akan diganti dengan yang lebih baik daripada apa yang kita kejarkan selama ini.

Persoalannya bagaimana untuk memiliki keikhlasan dalam setiap ketentuan-Nya?

Jawabnya hargai dan syukur. Ujian adalah perjuangan untuk melatih diri sabar. Kita hidup pada akhir zaman yang penuh dengan fitnah dan dugaan cukup mencabar keimanan dan akidah.

Jika ujian kehidupan yang sementara ini pun sudah tidak mampu dipikul, bayangkan bagaimana ketika kehidupan sewaktu fitnah Dajjal yang sebenar nanti?

 

Hannani Juhari

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia