Takwa dan amal Ramadan yang produktif

Nikmat yang terbesar yang seharusnya kita syukuri saat ini adalah Allah memberi kita  peluang sekali lagi untuk bertemu dengan tetamu agung yang datang kepada kita hanya setahun  sekali iaitu Ramadan. 

 

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan puasa ke atas kamu sepertimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183) 

 

Melalui ayat di atas, beberapa persoalan perlu kita tanya dalam diri: 

1. Mengapa Ramadan didatangkan buat kita? 

2. Apa hasil/kesan yang kita inginkan setelah melalui Ramadan selama lebih kurang 30  hari? 

 

Apabila kita menghubungkaitkan maksud firman Allah tersebut dan dua persoalan di atas, saya yakin ia akan memberikan impak yang besar dalam kehidupan kita  sebagai seorang Muslim.

 

Tidak lain dan tidak bukan, Ramadan adalah anugerah yang begitu berharga buat kita. Namun anugerah ini akan hanya menjadi sia-sia jika kita melaluinya dengan  hati yang buta dan diri penuh dosa. 

 

Jika kita telusuri persiapan para salafussoleh dalam menyambut  Ramadan, kita akan melihat persiapan mereka begitu dahsyat, rapi dan penuh dengan  kesungguhan.

 

Persiapan mereka bermula sejurus selepas tamatnya Hari Raya Aidilfitri, bukan  seperti kita yang mana esok hendak puasa pun masih seolah-olah tidak percaya yang kita akan  berpuasa.

 

Definisi takwa

 

Maka tidak hairanlah persiapan salafussoleh yang luar biasa itu akhirnya kesannya juga melahirkan dan terbinanya peribadi-peribadi yang luar biasa di mana natijahnya adalah takwa dalam diri.

 

Menarik untuk kita teliti definisi takwa.

Daripada Abu Hurairah RA, ia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Takwa itu di sini,” sambil baginda menunjukkan ke arah dadanya tiga kali. (HR Muslim, No. 2564) 

 

Hati diibaratkan sebagai seorang raja yang menguasai seluruh anggota badan. Bila raja itu baik, maka baiklah semua pengikutnya, begitu juga sebaliknya.

 

Ketakwaan seseorang bukanlah diukur daripada ibadah-ibadah lahiriah yang dilakukan oleh seseorang, akan tetapi lebih kepada bagaimana berhasil ia memformat hatinya sehingga mampu menampung cahaya keagungan  Allah dan menjauhi segala jenis penyakit hati yang bersarang dan beranak-pinak di hatinya. 

 

Dalam Minhaj al-Abidin, Imam al-Ghazali memberikan definisi takwa menjadi tiga:

Pertama: Takwa yang bererti takut. Allah berfirman, “..dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu takut.” (Al-Baqarah: 41)

 

Kedua: Takwa bermakna taat, sesuai dengan firman Allah, “Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa” (Ali Imran: 102), Ibnu Abbas  mentafsirkannya dengan “Taatlah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taat.”

 

Ketiga: Takwa yang bererti membersihkan hati daripada segala dosa.

Dalam suatu riwayat yang sahih disebutkan bahawa Umar bin Khattab RA bertanya kepada  sahabat Ubay bin Ka’ab RA tentang takwa. Ubay kemudian bertanya: 

“Bukankah anda pernah melalui jalan yang penuh duri?” 

“Ya,” jawab Umar.

“Apa yang anda lakukan saat itu?” 

“Saya bersiap-siap dan berjalan dengan hati-hati.” 

“Itulah takwa.” kata Ubay.

 

Rentetan daripada jawaban Ubay atas pertanyaan Umar, Sayyid Qutb berkata dalam tafsir Fi Zilal al-Quran:

“Itulah takwa, kepekaan batin, kelembutan perasaan, rasa takut terus-menerus,  selalu waspada dan hati-hati jangan sampai kena duri jalanan… Jalan kehidupan yang selalu  ditaburi duri-duri godaan dan syahwat, kerakusan dan angan-angan, kekhuatiran dan keraguan, harapan semua atas segala sesuatu yang tidak bisa diharapkan. Ketakutan palsu daripada  sesuatu yang tidak pantas untuk ditakuti… dan masih banyak duri-duri yang lainnya.” 

 

Dr Abdullah Nasih Ulwan menyatakan dalam buku Ruhaniyatud Daiyah:

“Takwa lahir sebagai konsekuensi logik daripada keimanan yang kukuh, keimanan yang selalu dipupuk dengan muraqabatullah (merasai pengawasan Allah), berasa takut dengan azab Allah serta berharap atas limpahan kurnia dan  maghfirahnya.”

 

Sayyid Qutb juga berkata:

“Inilah bekal dan persiapan perjalanan… bekal ketakwaan yang  selalu menggugah hati dan membuatnya selalu terjaga, waspada, hati-hati serta selalu dalam  konsentrasi penuh… Bekal cahaya yang menerangi liku-liku perjalanan sepanjang mata  memandang. Orang yang bertakwa tidak akan tertipu oleh bayangan semua yang menghalangi  pandangannya yang jelas dan benar… Itulah bekal penghapus segala kesalahan, bekal yang menjanjikan kedamaian dan ketenteraman, bekal yang membawa harapan atas kurnia Allah di saat bekal-bekal lain sudah sirna dan semua amal tidak lagi berguna.” 

 

Kenapa takwa?

 

Justeru, pernahkah kita tanyakan pada diri, mengapa Allah sangat memfokuskan natijah (kesan) puasa ini adalah untuk beroleh takwa? Hebat sangatkah takwa ini? Apa yang tersirat dan  tersurat dari perkataan takwa ini? 

 

Takwa dari sudut bahasanya adalah takut. Takut itu lahir daripada perasaan dalam diri. Secara  fitrahnya, manusia yang mempunyai perasaan takut terhadap sesuatu, mereka akan cuba sedaya upaya untuk menjauhi benda tersebut.

 

Misalnya manusia takut kepada binatang buas seperti harimau, singa dan lain-lain. Reaksi mereka apabila bertemu dengan binatang buas ini adalah akan lari dan menjauh sedayanya daripada binatang ini untuk menyelamatkan diri mereka daripada ancaman dan kebinasaan.

 

Mengapa terjadinya begitu? Mengapa mereka lari? Hal ini kerana manusia itu lari  daripada binatang buas tersebut kerana ia adalah hasil daripada sifat dan perasaan takut dalam diri. 

 

Namun, ia sangat berlainan dan jauh bezanya apabila kita melihat definisi takwa (takut) dalam ayat 183 Surah al-Baqarah. Mengapa saya katakan demikian? Hal ini jika kita perhatikan, perasaan takut (takwa) itu akan menjadikan kita makin dekat pada Allah, bukan menjauh seperti rasa takut kepada binatang buas tadi.

 

Menilai takwa

 

Justeru, bagaimana kita ingin menilai bahawasanya kita telah pun memperoleh darjat dan natijah (kesan) takwa daripada puasa yang kita jalani selama 30  hari? Jawapannya adalah dengan kita melihat bagaimanakah kehidupan kita sejurus selepas  tamatnya Ramadan.  

 

Jika kehidupan kita biasa, sama bahkan lebih teruk daripada sebelum kita bertemu dengan bulan Ramadan, maka amat kita takuti puasa kita hanya beroleh lapar dan dahaga.

 

Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya’ Ulumiddin ada menerangkan tentang  kategori orang yang berpuasa: 

1. Puasa orang awam 

Puasa golongan ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah beroleh lapar dan dahaga  di mana orang bukan Muslim juga boleh melaksanakan puasa seperti golongan  awam ini. Puasa mereka hanya terhindar daripada makan dan minum, namun pancaindera dan hati mereka tidak turut berpuasa. 

 

2. Puasa orang khusus 

Puasa golongan ini adalah yang turut berserta puasanya pancaindera mereka. Bukan sekadar puasanya daripada makan dan minum, namun penglihatan dan pendengaran mereka juga turut berpuasa.

 

3. Puasa orang khusus al-khusus

Puasa golongan ini adalah darjat puasa para anbia, para sahabat dan salafussoleh. Puasa mereka disertakan dengan puasanya hati mereka. 

 

Tidak hairanlah para anbia, para sahabat dan salafussoleh beroleh puasa khusus al-khusus di mana hati mereka turut berpuasa kerana mereka amat serius untuk  bertemu dengan Ramadan.

 

Dan tidak hairanlah mengapa ramai daripada kita hanya beroleh puasa orang awam kerana banyak bermain-main, tidak serius dan langsung tidak mengambil perhatian terhadap kedatangan  Ramadan. 

 

Hakikat puasa

 

Kita inginkan puasa ini hakikatnya adalah pembersihan diri secara total daripada dosa, ibaratnya kita keluar daripada madrasah tarbiah Ramadan ini menjadi seperti kain putih yang bersih dan suci.

 

Oleh itu, pembersihan diri daripada dosa itu bukanlah bermula apabila kita masuk pada bulan Ramadan, tapi ia bermula berbulan-bulan sebelumnya lagi.

 

Kita inginkan apabila tibanya Ramadan ini, kita menyambut dan melaluinya dengan hati yang salim (sejahtera), bukan hati yang gundah gulana dan masih tidak habis-habis dengan dunia. 

 

Kita inginkan apabila tibanya Ramadan ini, kita telah pun berlari dan inilah saatnya kita  memberikan ‘baton’ larian kita pada pelari keempat, bukan baru diberikan pada pelari pertama,  kedua mahupun ketiga.

 

Kita inginkan apabila masuk sahaja Ramadan, kita terus melaju dan  memecut dan kondisi kita pada saatnya berada pada bulan Ramadan adalah pada gear lima,  bukan baru hendak ‘panas-panaskan enjin’. 

 

Begitulah, amal muntij (produktif) daripada datangnya Ramadan ini adalah kita  memperoleh dua perkara: 

1. Sejurus tamatnya Ramadan, kehidupan kita makin dengan Allah SWT.

2. Sejurus tamatnya Ramadan, kita beroleh maghfirah dan dikembalikan diri kita kepada fitrah yang suci dan bersih.

 

Kita inginkan daripada 30 hari puasa kita pada bulan Ramadan ini, ia menjadi bekal kita untuk istiqamah dan terus tetap teguh dengan amal soleh untuk 11 bulan yang seterusnya. 

 

Akhir kalam, saya tutup dengan sedikit puisi untuk tatapan, peringatan dan manfaat bersama. 

Ramadan yang ku tunggu-tunggu
Ku selalu menantimu 
Kau suluh jiwa dan ragaku
Ramadan ku menunggu 

Tenang rasa hati 
Pabila engkau muncul lagi

Damainya ku rasakan 
Ramadan bulan al-Quran
Bulan penyubur iman 

Tuhan telah kurnia
Ramadan nan bahagia 
Aku ingin berubah 

Hanya bulan ini saja 
Tiada selainnya 
Mari memanfaatkannya 
Semoga tidak tersia.

 

Ahmad Syafiq Yusof
Guru Pendidikan Islam
Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia