Ramadan bukan sekadar bulan ibadah rutin yang datang saban tahun. Ia adalah madrasah rohani yang disusun oleh Allah SWT untuk membina takwa. Firman Allah SWT (maksudnya):
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah: 183)
Takwa yang mendiam dalam diri seorang mukmin tidak lahir secara spontan. Ia memerlukan disiplin, perancangan dan kesungguhan. Justeru, Ramadan perlu disikapi dengan serius, bukanlah sekadar acara tahunan yang dihadap secara sambil lewa.
Ramadan melatari keindahan al-Quran
Ramadan dikenali sebagai bulan al-Quran kerana pada bulan inilah wahyu pertama diturunkan dan hubungan antara langit dan bumi diperkukuh melalui kalam Allah SWT.
Rasulullah SAW sendiri menunjukkan teladan yang jelas apabila baginda bertadarus bersama Jibril a.s. pada setiap malam Ramadan, sebagaimana diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.
Tradisi tadarus ini bukan sekadar bacaan biasa, tetapi satu proses semakan, penghayatan dan pengukuhan mesej wahyu. Ia menggambarkan bahawa Ramadan adalah musim memperbaharui komitmen terhadap al-Quran, bukan hanya membacanya, tetapi mendekatinya dengan hati yang sedar dan jiwa yang tunduk.
Justeru, menetapkan matlamat Ramadan seperti mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali, mentadabbur surah-surah pilihan dan menghafaz beberapa ayat penting adalah langkah praktikal yang selari dengan sunnah.
Amalan ini turut diperkuat dengan tradisi salaf, seperti yang dinukilkan daripada Imam az-Zuhri bahawa apabila masuk Ramadan, ia adalah bulan membaca al-Quran dan memberi makan.
Athar ini menunjukkan bahawa generasi awal Islam memusatkan Ramadan kepada dua paksi utama: pengukuhan hubungan dengan wahyu dan peluasan amalan dan aktiviti kebajikan dalam masyarakat.
Ramadan bulan menggemburkan iman
Matlamat ibadah dalam Ramadan seharusnya dibina secara sedar dan berfokus, kerana bulan ini adalah musim penggandaan pahala dan pengukuhan disiplin rohani. Antara sasaran utama ialah melazimi solat tarawih setiap malam. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang mendirikan (qiyam) Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran, diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari, no. 37; Muslim, no. 759)
Hadis ini menjadi asas bahawa solat malam Ramadan bukan sekadar ibadah tambahan, tetapi jalan pengampunan yang besar yang disasar.
Selain itu, sepuluh malam terakhir wajar dijadikan fokus intensif qiyam, sebagaimana diriwayatkan oleh Aisyah r.a. bahawa apabila masuk sepuluh malam terakhir, Nabi SAW menghidupkan malamnya, membangunkan keluarganya dan bersungguh-sungguh dalam ibadah (Riwayat al-Bukhari, no. 2024; Muslim, no. 1174 ).
Hal ini menunjukkan adanya peningkatan tahap ibadah pada fasa akhir Ramadan. Dalam masa yang sama, Ramadan juga medan memperbaik kualiti solat fardu, menjaga awal waktu dan membina khusyuk.
Justeru, matlamat ibadah Ramadan bukan sekadar menambah kuantiti amalan, tetapi meningkatkan mutu dan kesedaran dalam setiap solat agar Ramadan benar-benar menjadi titik lonjakan spiritual.
Serikan jiwa dengan akhlak mulia
Ramadan bukan sekadar latihan fizikal menahan lapar dan dahaga, tetapi latihan jiwa menundukkan hawa nafsu dan memperhalus akhlak. Para sahabat r.a. memahami bahawa nilai puasa terletak pada perubahan dalaman, bukan hanya pada penahanan zahir.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan keji, maka Allah tidak berhajat kepada dia meninggalkan makan dan minumnya.” (Riwayat al-Bukhari, no. 1903)
Dalam hadis lain, baginda mengingatkan: “Puasa itu perisai. Maka apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah dia berkata keji dan jangan bertindak jahil. Jika ada yang mencacinya atau mengajaknya bertengkar, hendaklah dia berkata: ‘Sesungguhnya aku sedang berpuasa.’” (Riwayat al-Bukhari, no. 1894; Muslim, no. 1151).
Justeru, antara sasaran praktikal Ramadan ialah mengawal kemarahan dengan respons yang lebih sabar, mengurangkan penggunaan media sosial yang melalaikan agar hati lebih terjaga, serta memperbaiki hubungan kekeluargaan melalui komunikasi yang lebih lembut dan empati.
Rasulullah SAW juga bersabda: “Bukanlah orang kuat itu yang menang dalam bergusti, tetapi orang kuat ialah yang mampu mengawal dirinya ketika marah.” (Riwayat al-Bukhari, no. 6114; Muslim, no. 2609).
Maka, Ramadan yang berkesan ialah Ramadan yang membentuk jiwa yang lebih tenang, lisan yang lebih terpelihara dan hubungan yang lebih harmoni kerana inilah tanda puasa yang benar-benar hidup dalam diri.
Fokus dan intensif: 10 malam terakhir
Sepuluh malam terakhir Ramadan adalah kemuncak perjalanan rohani seorang mukmin. Ia bukan fasa biasa, tetapi fasa intensif yang menuntut peningkatan kesungguhan dan fokus luar biasa.
Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa apabila masuk sepuluh malam terakhir, Nabi SAW menghidupkan malamnya, membangunkan keluarganya dan “mengetatkan ikatan kainnya”, iaitu bersungguh-sungguh dalam ibadah. (Riwayat al-Bukhari, no. 2024; Muslim, no. 1174 )
Gambaran ini menunjukkan perubahan rutin ibadah Baginda SAW, daripada baik kepada lebih baik, daripada bersungguh kepada lebih bersungguh.
Justeru, sepuluh malam terakhir wajar dijadikan sasaran khusus: memanjangkan qiyam, memperbanyak tilawah dan zikir serta beriktikaf jika berkemampuan, sebagaimana amalan Rasulullah SAW yang beriktikaf pada sepuluh malam terakhir. (Riwayat al-Bukhari, no. 2026; Muslim, no. 1172)
Dalam tempoh ini juga terdapat Lailatul Qadr, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Ketika Aisyah r.a. bertanya apakah doa terbaik untuk dibaca jika bertemu malam tersebut, Rasulullah ﷺ mengajarkan doa:
“Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa‘fu ‘anni” “Ya Allah, Engkau Maha Pemaaf dan menyukai kemaafan, maka maafkanlah aku” (Riwayat al-Tirmizi, no. 3513). Doa ini menunjukkan bahawa fokus utama bukan pahala semata-mata, tetapi keampunan dan pembersihan jiwa.
Persediaan mental juga penting agar Ramadan tidak dilalui sebagai rutin tahunan tanpa kesedaran. Para salaf diriwayatkan berdoa selama enam bulan agar dipertemukan dengan Ramadan, dan enam bulan selepasnya agar diterima amalan mereka.
Riwayat ini dinukil oleh Ibn Rajab dalam Lata’if al-Ma‘arif berdasarkan athar salaf yang masyhur dan dinilai hasan sanadnya. Ia memperlihatkan bahawa dalam tradisi sahabat dan tabiin, Ramadan adalah misi besar yang dirancang dan dinantikan, bukan musim ibadah bersifat ritual semata.
Maka, sepuluh malam terakhir bukan sekadar penutup Ramadan, tetapi peluang terakhir untuk lonjakan iman, saat seorang hamba mengumpulkan seluruh fokus hati, tenaga dan harapan hanya kepada Allah SWT.
Ramadan yang disambut dengan jiwa penuh harapan dan minda yang bersedia akan berlalu terasa begitu pantas. Bulan yang dinanti-nantikan itu seolah-olah berlari pergi bagi hamba yang benar-benar rindu untuk mendekatkan diri kepada Ilahi.
Prof. Madya Dr. Hamidah Mat
Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia (OUM)




