“Sabaqaka biha Ukasyah.”
“Ukasyah telah mendahului dirimu.”
Begitu singkat jawapan daripada baginda Nabi SAW kepada para sahabat. Ketika itu baginda sedang menceritakan tentang 70,000 orang yang akan masuk ke syurga paling awal.
Ukasyah segera bangun dan meminta Rasulullah SAW agar berdoa supaya dirinya dimasukkan dalam golongan tersebut dan Nabi mendoakannya. Lantas para sahabat lain juga meminta doa yang sama. Namun Nabi SAW hanya menjawab, “Ukasyah telah mendahului dirimu dalam perkara ini.”
Sidang pembaca yang budiman,
Kisah Ukasyah ini dirakamkan dalam hadis riwayat Bukhari (6541). Ia telah mengajarkan kita tentang satu sikap mulia yang patut ada dalam diri seorang Muslim, iaitu sikap pantas dan tidak berlambat-lambat untuk menjadi yang paling awal dalam beramal.
Bayangkan jika kita yang menjadi sahabat yang sedikit terlambat berbanding Ukasyah dalam kisah tersebut. Betapa ruginya kita dan betapa besarnya penyesalan yang dialami.
Perang Ain Jalut: Peranan pantas Sultan Qutuz
Perang Ain Jalut terjadi pada tahun 658 Hijrah. Raja Mesir ketika itu, Sultan Qutuz (Sultan Muhammad Saifuddin Muzaffar al-Qutuz) menerima surat daripada Panglima Mongol, Hulagu Khan.
Dalam surat tersebut, Hulagu Khan mengancam untuk menyerang kaum Muslimin di Mesir dan mendesak Sultan Qutuz untuk menyerah kalah. Adakah Sultan Qutuz duduk diam dan bersantai-santai atau malah mempertimbangkan untuk menyerah? Tidak sama sekali.
Sultan Qutuz bersegera menyusun strategi untuk menewaskan panglima Hulagu Khan dan pasukannya. Tindakan awal yang dilakukan oleh Sultan Qutuz adalah menyatukan kaum Muslimin. Beliau menyeru kaum Muslimin mengumpulkan bantuan untuk peperangan dengan sokongan fatwa ulama Al-Izz bin Abdus Salam.
Kemudian beliau mengajak para penguasa yang pada mulanya enggan, untuk turut membantu peperangan. Beliau juga melantik panglima Baibars, seorang panglima yang handal untuk memimpin kaum Muslimin untuk mara menghadapi tentera Mongol.
Kembalikan semula Syam ke pangkuan Islam
Kemudian, pertempuran sengit telah berlaku di sekitar Gaza, Palestin (wilayah Syam) dan ia terjadi pada bulan Ramadan.
Tentera Muslimin menggunakan beberapa strategi seperti serangan pantas, meletakkan sebahagian pasukan di bukit yang tinggi dan menyusun pergerakan pasukan secara bergilir. Akhirnya tentera Mongol berjaya dikalahkan dan mereka berundur dari wilayah Syam.
Kisah perjuangan Sultan Qutuz dan panglima Baibars adalah sebuah teladan yang sangat baik dalam bertindak cepat dan tidak berlambat-lambat.
Sebaik sahaja menerima surat ancaman, Sultan Qutuz tidak melengahkan masa dan terus menyusun strategi dan pasukannya sehingga akhirnya Syam kembali di bawah kekuasaan kaum Muslimin.
Dengan bertindak cepat juga, tentera Mongol hanya dapat menguasai wilayah Syam dan Iraq sekitar satu tahun sahaja, iaitu bermula Ramadan 657 Hijrah sehingga Ramadan 658 Hijrah.
Teguran Allah SWT
Sidang pembaca yang budiman, Ramadan telah pergi meninggalkan kita. Tidak perlu kita tangisi lagi kepergiannya. Sekarang waktu untuk segera beramal. Bukan waktu untuk duduk santai berlambat-lambat.
Allah SWT pernah menegur orang beriman yang keberatan dan seolah-olah enggan untuk bangun berjuang di jalan Allah. Firman Allah dalam surah At-Taubah ayat ke-38:
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: “Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah”, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.”
Dalam ayat ini, Allah SWT telah mengingatkan kita akan satu perkara penting iaitu orientasi kehidupan kita yang sebenarnya ialah akhirat. “Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat?”
Memujuk diri untuk segera beramal
Apabila kita terleka dan gagal memujuk diri kita untuk segera beramal, ia akan berakhir dengan penyesalan. Situasi ini dialami oleh Kaab bin Malik seorang sahabat yang hebat, alumni perang Uhud, yang juga termasuk 40 orang terawal masuk Islam dalam kalangan Ansar.
Beliau tidak menyangka, perbuatannya berlambat-lambat untuk bertolak ke medan perang Tabuk, berakhir dengan kemurkaan daripada baginda Nabi SAW.
Walaupun akhirnya beliau diampunkan oleh Allah SWT, namun penyesalan dalam dirinya begitu mendalam kerana diboikot selama 50 hari oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat akibat kelalaiannya itu.
Kita dan para sahabat hanya manusia biasa yang tidak terlepas daripada kelemahan dan sifat malas. Namun, apabila kita berjaya memujuk diri untuk bangkit dan bergerak, yakinlah bahwa reda Allah SWT akan menyertai langkah-langkah kita.
Teladan yang mulia telah dicontohkan oleh seorang sahabat, Abdullah Ibnu Rawahah, dalam memujuk diri dan segera beramal. Dalam Perang Mu’tah, terdetik rasa ragu-ragu dalam hatinya untuk maju memimpin peperangan selepas dua orang panglima hebat telah syahid dibunuh tentera musyrikin.
Untuk menghilangkan keraguan itu, dengan segera dia memujuk dirinya dengan sebait syair:
Wahai jiwa,
Kau harus turun berperang, atau
Kupaksa kau turun
Mengapa kau tampak enggan menggapai syurga?
Saudara dan saudari, Ramadan telah berlalu pergi. Oleh itu, bersegeralah kita mendorong diri meneruskan amal kebaikan agar kita tidak merugi!
Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia