Pada minggu lalu, Malaysia menerima khabar yang mendukakan, kembalinya dua orang aktivis dan pejuang marhaen menemui Pencipta.
Dua nama yang dihormati dan disayangi ramai, Allahyarham Pyan Habib dan Allahyarham Che Salmi Che Ibrahim. Semoga Allah merahmati mereka berdua.
Pyan Habib: Seniman jalanan yang menyelami denyut nadi rakyat
Nama Allahyarham Pyan Habib bukanlah asing dalam kalangan peminat seni dan sastera di Malaysia. Anak muda generasi baharu mungkin kurang mengenali sosok ini.
Teraju utama bersama Datuk M Nasir dalam filem Kembara Seniman Jalanan yang menyaksikan nama Pyan Habib atau Osman Tikus mencanak naik dalam industri perfileman.
Namanya makin melonjak apabila dinobatkan sebagai Pelakon Tambahan Lelaki Terbaik dalam Festival Filem Malaysia Ke-6. Lebih unik lagi apabila Allahyarham tidak mahu menerima anugerah tersebut atas dasar prinsip yang diperjuangkan.
Pyan Habib adalah seorang sasterawan dan seniman. Walau mempunyai masalah pendengaran sejak kanak-kanak, Allahyarham berkebolehan menulis, berpuisi, mendeklamasi sajak, melukis malah berlakon. Sepanjang hayatnya, tidak banyak filem yang beliau lakonkan.
Bahkan banyak watak yang dibawa oleh Allahyarham bukan watak utama dan hanya muncul dalam beberapa babak sahaja. Akan tetapi, dek keunikan lakonan dan kelantangan dialognya, watak tersebut mengesankan dan menjadi “evergreen” sepanjang zaman.
Anak kelahiran Bukit Gantang, Taiping ini mudah dikenali dengan imej berjanggut dan berambut panjang, berseluar denim dengan sneaker Fung Keong ala-ala hippies dari zaman muda hinggalah ke akhir usianya.
Karya-karya seninya senantiasa berjiwa marhaen, senada dengan kehidupannya yang bergelumang dengan dunia jalanan dan rakyat bawahan.
Perjuangan dan mesej seninya jelas iaitu mengangkat darjat dan harakat manusiawi!
Itulah yang dilaungkan oleh Pyan Habib sejak usia mudanya. Ia begitu konsisten dan istiqamah hingga ke akhir hayat. Buktinya, beliau disayangi dan disegani semua golongan. Ramai termasuk penggiat-penggiat seni dan pemimpin-pemimpin negara yang menangisi pemergian Allahyarham.
Semoga semangat perjuangan Pyan Habib membela marhaen tertindas terus hidup sebagaimana dialog keramatnya dalam KSJ, “Kita mesti terus hidup.”
Semoga Allah SWT merahmati dan mengurniakan syurga buat Mohd Supyan Abdul Rahman a.k.a Pyan Habib.
Che Salmi Che Ibrahim: Usahawan, dermawan dan sukarelawan ummah
Rakyat Malaysia di pantai timur khususnya Terengganu pasti mengenali Pasar Raya Sabasun, sebuah rangkaian pasar raya yang menjual barangan runcit yang lengkap dan mengetengahkan produk-produk Muslim. Sabasun juga terkenal sebagai pasar raya yang mempamerkan syiar Islam dalam bisnes mereka.
Namun, tidak ramai yang tahu siapa tulang belakang di sebalik Sabasun yang mengasaskan dan mengepalai pasar raya hebat ini. Allahyarham Che Salmi atau lebih cocok dengan panggilan Abang Long adalah pengasas, pemilik dan Pengarah Urusan Sabasun Hyperruncit Sdn Bhd.
Kejayaan perniagaan Allahyarham sejak tahun 1995 menjadi contoh yang membuktikan sebuah syarikat milik Muslim mampu bersaing dan bertahan hingga ke tahap sekarang.
Sabasun adalah model kedai runcit yang mempamerkan nilai dan syiar Islam secara tidak langsung tanpa perlu menggunakan sentimen bangsa dan agama.
Nilai-nilai Islam yang diterapkan dalam kalangan pekerja dan pemilihan produk-produk jualan yang tidak menyokong Israel menjadi antara ciri unik yang ditekankan di Sabasun.
Pasar Raya Sabasun juga menjadi penyumbang tetap dalam membantu perjuangan rakyat Palestin melalui tabung My Humanitarian Care (MyCARE).
Walaupun bergelar usahawan berjaya dan sibuk dengan perniagaan, Allahyarham Che Salmi tidak kekok melibatkan diri dalam misi-misi kemanusiaan.
Selain meningkatkan ekonomi umat melalui perniagaan dan sumbangan dana, Allahyarham juga giat turun ke medan untuk menyantuni golongan terpinggir yang memerlukan.
Melalui perkongsian rakan-rakan Allahyarham, ramai yang tidak menyangka bahawa Allahyarham Abang Long Che Salmi begitu merendah diri dan sanggup menyertai misi-misi kemanusiaan di dalam dan luar negara bersama NGO Salam Relief dan Serantau Muslim. Beliau sangat komited membantu umat ini melalui pelbagai bentuk wadah dan wahana.
Pasar Raya Sabasun yang mengambil inspirasi daripada slogan hidup Allahyarham, ‘sabar dan sungguh-sungguh’ menjadi legasi peninggalan Che Salmi yang akan sentiasa dikenang. Ia menjadi simbol kejayaan perniagaan umat Islam dan ketulusan hati dalam memperjuangkan nasib umat Islam.
Pemergiaan Allahyarham Che Salmi pada usia 56 tahun menjadi khabar duka buat ramai yang menyayangi beliau. Semoga peribadi dan amal jariah yang ditunjukkan oleh Allahyarham hingga akhir hayatnya menjadi ikutan dan teladan buat seluruh umat Islam.
Semoga Allah SWT merahmati dan mengurniakan syurga buat Che Salmi Che Ibrahim.
Dr Azizul Salehudin
Ketua IKRAM Muda Perak