Puasa Sunat 6 Syawal: Cara, Hukum & Amal Berterusan

Puasa Sunat 6 Syawal: Cara, Hukum & Amal Berterusan | IKRAM

Mengucap syukur kita kepada Allah SWT atas anugerah dan nikmat-Nya, dapat kita menyempurnakan rangkaian ibadah selama bulan Ramadan yang baharu saja dilalui, bahkan telah menunaikan pula solat sunat Aidilfitri dan berbahagia bersama keluarga pada hari raya yang tentunya akan menjadi momen terindah.

Lebih daripada itu, ada sesuatu yang sangat istimewa setelah hari pertamanya kita melaksanakan solat sunat Aidilfitri, ziarah-menziarahi. Maka, sejak hari keduanya hingga ke akhir bulan, ada hamparan istimewa yang hanya terdapat pada bulan Syawal.

Daripada Abu Ayyub al-Ansari, Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian berpuasa enam hari pada bulan Syawal, maka dia berpuasa seperti setahun penuh.” (HR Muslim, No. 1164)

Maka, nilai puasa gabungan Ramadan selama sebulan dan enam hari pada bulan Syawal, digabungkan nilainya sama berpuasa setahun. Terdapat perkara penting dapat diulas daripada keterangan hadis ini.

Penghargaan Tinggi

Nabi SAW memberikan penghargaan yang tinggi kepada setiap insan beriman yang telah menyempurnakan puasa Ramadan dengan memberikan tambahan enam hari puasa lagi, yang nilaian keseluruhannya menjadi setara dengan yang berpuasa penuh selama setahun.

Sebagaimana rumusannya, dapat kita lihat dalam al-Quran ketika Allah SWT memberikan keutamaan khusus dan keutamaan untuk Rasulullah SAW yang diperintahkan, disampaikan kepada umatnya:

مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا ۖ وَمَنْ جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَىٰ إِلَّا مِثْلَهَا وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Sesiapa membawa amal yang baik, maka baginya (pahala) 10 kali lipat amalnya; dan sesiapa yang membawa perbuatan jahat, maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya, sedang mereka sedikit pun tidak dianiaya (dirugikan). (Al-An’aam: 160) 

Jika kita melaksanakan puasa Ramadan, sempurna selama sebulan, maka didarabkan dengan sepuluh, hakikatnya yang sama dengan 10 bulan.

Ketika sebulan itu 30 hari, didarabkan dengan 10 sama dengan 300, dan 6 hari (bulan Syawal) dikalikan dengan 10 sama dengan 60. Maka jumlah keseluruhannya ialah 360 hari.

Bukankah sangat menarik tawaran yang Allah berikan ini?

Maka, nilai fantastik ini dikurniakan Allah SWT sebagai hadiah kepada umat Nabi Muhammad SAW, melalui kemuliaan Rasul-Nya, puasa sebulan pada bulan Ramadan tambah enam hari pada bulan Syawal, nilainya sama dengan setahun penuh.

Cara Berpuasa

Cara menunaikan puasa Syawal ini diungkapkan dengan kalimah ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا kemudian diikuti menggunakan diksi kata  ثُمَّ lalu menggunakan kata  أَتْبَعَهُ.

Ini memberi kesan kepada dua bentuk maksudnya, iaitu puasa itu boleh dilaksanakan secara berurutan dan juga berselang, bermula sejak 2 Syawal hingga ke akhirnya.

Jumhur fuqaha daripada mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian fuqaha Hanafi dan Maliki bersepakat mengatakan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal adalah mustahab (sunat). Imam Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini memetik kata Ashab al-Syafie: 

“Yang paling afdal dalam melaksanakan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal adalah secara berturut-turut yang dimulakan selepas Aidilfitri, jika sekiranya tidak berturut-turut, sebagai contohnya, sehari berpuasa dua hari tidak, kemudian puasa lagi, asalkan genap enam hari dalam bulan Syawal maka itu juga turut mendapat fadilat al-mutaba‘ah (puasa yang mengiringi).”

Malah, sesetengah ulama mengharuskan puasa enam hari dalam bulan Syawal diniatkan berserta puasa qada Ramadan sebagaimana dijelaskan Imam Ibnu Hajar al-Haitami mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa qada:

“Contohnya, sesiapa yang berniat puasa qada pada hari Isnin dan dalam masa yang sama berniat puasa sunat hari Isnin, maka  itu dibolehkan serta mendapat ganjaran kedua-duanya. Sebaliknya jika diniatkan puasa sunat sahaja, maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.” (Al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafie, Kitab Puasa, jilid 2, m/s: 52 (Dar Kutub al-Ilmiyah)

Gabung Dengan Puasa Qada

Persoalan fiqh yang sering menjadi persoalan penting, bagaimana jika yang masih memiliki hutang qada puasa? Yang mana biasanya menjadi persoalan bagi muslimah yang datang haidnya pada bulan Ramadan yang memerlukan ia menggantikannya (qada).

“Maka sesiapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan orang miskin.” (Al-Baqarah: 184)

Hukum menggabungkan puasa qada dengan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal atau hari-hari lain yang disunatkan berpuasa adalah harus dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya.

Namun, ganjaran tersebut tidaklah menyamai ganjaran pahala seseorang yang telah menyempurnakan puasa sepenuhnya daripada sebulan Ramadan.

Bahkan menyegerakan puasa qada itu adalah amalan yang terpuji dan dituntut oleh syarak kerana pahala ibadah puasa tersebut hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui dan akan memberikan ganjarannya.

Setiap Muslim hendaklah menjadikan amalan berpuasa sunat ini sebagai rutin dan kelaziman.

Ini kerana telah terbukti natijah daripada berpuasa itu akan memelihara seseorang daripada segala sifat keji dan mungkar, mendorong amalan kebaikan lain, serta dapat menampung kekurangan daripada puasa wajib yang telah dilakukan.

Amalan Berterusan

Amalan yang seseorang lakukan pada bulan Ramadan tidaklah berhenti setelah Ramadan itu berakhir. Amalan tersebut seharusnya berlangsung terus selama seseorang hamba masih menarik nafas kehidupan.

Sebahagian manusia begitu bergembira dengan berakhirnya bulan Ramadan kerana mereka berasa berat ketika berpuasa dan berasa bosan ketika menjalaninya.

Sesiapa yang memiliki perasaan seperti ini, maka dia terlihat tidak akan bersegera melaksanakan puasa lagi setelah Ramadan kerana kepenatan yang dialami.

Justeru, apabila seseorang segera melaksanakan puasa setelah hari Aidilfitri, maka itu merupakan tanda bahawa ia begitu semangat untuk melaksanakan puasa, tidak berasa berat dan tidak ada rasa benci.

Alqamah pernah bertanya kepada Ummul Mukminin Aisyah r.a. mengenai amalan Rasulullah SAW: “Apakah baginda mengkhususkan hari-hari tertentu untuk beramal?” ’Aisyah menjawab:

لاَ، كَانَ عَمَلُهُ دِيمَةً

”Baginda tidak mengkhususkan waktu tertentu untuk beramal. Amalan baginda adalah amalan yang berterusan.” (HR Bukhari, No. 6466)

Amalan seorang mukmin barulah berakhir ketika ajal menjemput. Hasan al-Basri mengatakan, “Sesungguhnya Allah Taala tidaklah menjadikan ajal (waktu akhir) untuk amalan seorang mukmin selain kematian.”

Lalu Hasan membaca firman Allah SWT:

وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ

“Dan sembahlah Rab-mu sampai datang kepadamu al-yaqin (iaitu ajal).” (Al-Hijr: 99)

Ibnu Abbas, Mujahid dan majoriti ulama mengatakan bahawa ‘al-yaqin’ adalah kematian. Dinamakan demikian kerana kematian itu sesuatu yang diyakini pasti terjadi.

Az-Zujaaj mengatakan bahawa makna ayat ini adalah sembahlah Allah selamanya. Ahli tafsir lainnya mengatakan, makna ayat tersebut adalah perintah untuk beribadah kepada Allah selamanya, sepanjang hidup.

Mari kita hayati perkataan Ibnu Rajab berikut:

“Sesiapa melakukan dan menyelesaikan suatu ketaaatan, maka di antara tanda diterimanya amalan tersebut adalah dimudahkan untuk melakukan amalan ketaatan lainnya.”

Justeru, mintalah kepada Allah SWT agar diteguhkan dalam ketaatan hingga kematian menjemput, perlindungan daripada hati yang berbolak-balik dan tidak tetap, serta senantiasa diberi taufik dan hidayah-Nya kepada kita untuk istiqamah dalam ketaatan.

Semoga Allah SWT menerima segala amalan Ramadan dan memudahkan kita untuk menyempurnakannya dengan melakukan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal, insya-Allah.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia