Kelebihan Puasa Sunat 6 Hari Pada bulan Syawal

Keistimewaan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal | IKRAM

Umat Islam digalakkan berpuasa sunat selama enam hari pada bulan Syawal. Sunnah ini sudah pasti memiliki beberapa keistimewaannya yang tersendiri.

 

1. Puasa sunat enam hari Syawal akan menggenapkan ganjaran berpuasa setahun penuh

Nabi Sallallahualaihiwasallam bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian berpuasa enam hari pada bulan Syawal, maka dia berpuasa seperti setahun penuh.” (HR Muslim, No. 1164)

Para ulama mengatakan bahawa berpuasa seperti setahun penuh asalnya kerana setiap kebaikan diumpamakan dengan sepuluh kebaikan yang sama. Bulan Ramadan sama dengan berpuasa selama sepuluh bulan (30 x 10 = 300 hari = 10 bulan) dan puasa enam hari pada bulan Syawal sama dengan berpuasa selama dua bulan (6 x 10 = 60 hari = 2 bulan).

Ia seolah-olah, jika seseorang itu melaksanakan puasa Syawal dan sebelumnya berpuasa sebulan penuh pada bulan Ramadan, maka ia seperti melaksanakan puasa setahun penuh. Hal ini dikuatkan oleh sabda Rasulullah Sallahualaihiwasallam:

(مَنْ صَامَ سِتَّةَ أَيَّامٍ بَعْدَ الْفِطْرِ كَانَ تَمَامَ السَّنَةِ (مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا

“Sesiapa berpuasa enam hari setelah Aidilfitri, maka ia seperti berpuasa setahun penuh. [Barangsiapa berbuat satu kebaikan, maka baginya sepuluh kebaikan semisal (Al-An’aam: 160)].” (HR Ibnu Majah, No. 1175)

Satu kebaikan dibalas dengan sepuluh kebaikan seumpamanya dan inilah balasan kebaikan yang minimum. Inilah nikmat dan anugerah yang luar biasa yang Allah Subhanahuwataala berikan kepada hamba-Nya, umat Islam.

Cara melaksanakan puasa sunat Syawal adalah:

  1. Dilakukan selama enam hari.
  2. Lebih utama dilaksanakan sehari setelah Aidilfitri, namun tidak mengapa jika dilewatkan, asalkan masih pada bulan Syawal.
  3. Lebih utama dilakukan secara berurutan namun tidak mengapa jika dilakukan tidak berurutan.
  4. Usahakan untuk menunaikan qada puasa terlebih dahulu agar mendapat ganjaran puasa setahun penuh. Dan ingatlah, puasa Syawal adalah puasa sunat sedangkan qada Ramadan adalah wajib. Sudah semestinya ibadah wajib lebih didahulukan daripada yang sunat.

 

2. Puasa sunat enam hari Syawal seperti halnya solat sunat Rawatib yang dapat menutup kekurangan dan menyempurnakan ibadah wajib

Yang dimaksudkan di sini ialah puasa Syawal akan menyempurnakan kekurangan-kekurangan yang ada pada puasa wajib bulan Ramadan sebagaimana solat sunat Rawatib yang menyempurnakan ibadah solat wajib.

Amalan sunnah seperti puasa Syawal akan menyempurnakan puasa Ramadan yang terdapat kekurangan. Inilah yang dialami setiap orang dalam puasa Ramadan, pasti ada kekurangan yang mesti disempurnakan dengan amalan sunat.

 

3. Melaksanakan puasa sunat enam hari Syawal merupakan tanda diterimanya amalan puasa Ramadan

Jika Allah Subhanahuwataala menerima amalan seorang hamba, maka Dia akan menunjuki pada amalan soleh selanjutnya. Jika Allah menerima amalan puasa Ramadan, maka Dia akan tunjuki untuk melakukan amalan soleh lain antaranya puasa enam hari pada bulan Syawal. Situasi ini diambil daripada sebahagian pandangan salaf:

مِنْ ثَوَابِ الحَسَنَةِ الحَسَنَةُ بَعْدَهَا، وَمِنْ جَزَاءِ السَّيِّئَةِ السَّيِّئَةُ بَعْدَهَا

“Antara balasan kebaikan adalah kebaikan selanjutnya dan antara balasan keburukan adalah keburukan selanjutnya.”

Ibnu Rajab menjelaskan perkara di atas dengan perkataan salaf lainnya:

“Balasan daripada amalan kebaikan adalah amalan kebaikan selanjutnya. Sesiapa melaksanakan kebaikan lalu dia melanjutkan dengan kebaikan lainnya, maka itu adalah tanda diterimanya amalan yang pertama. Begitu pula sesiapa yang melaksanakan kebaikan lalu ia lanjutkan dengan amalan keburukan, maka ini adalah tanda tertolaknya atau tidak diterimanya amalan kebaikan yang telah dilakukan.”

Renungkanlah! Bagaimana lagi jika seseorang hanya rajin solat pada bulan Ramadan, namun setelah Ramadan, solat lima waktu begitu dilalaikan? Layakkah amalan orang tersebut pada bulan Ramadan diterima? Ayuh, bersama-sama kita bermuhasabah.

Al-Lajnah Ad-Da-imah Lil Buhuts ‘Ilmiyyah wal Ifta’ (Fatwa Arab Saudi) mengatakan:

“Adapun orang yang melakukan puasa Ramadan dan mengerjakan solat hanya pada bulan Ramadan saja, maka orang seperti ini bererti telah melecehkan agama Allah. (Sebahagian salaf mengatakan), “Seburuk-buruk kaum adalah yang mengenal Allah (rajin ibadah) hanya pada bulan Ramadan saja.”

“Oleh kerana itu, tidak sah puasa seseorang yang tidak melaksanakan solat di luar bulan Ramadan. Bahkan orang seperti ini (yang meninggalkan solat) dinilai kafir dan telah melakukan kufur akbar, walaupun orang ini tidak menentang kewajiban solat. Orang seperti ini tetap dianggap kafir menurut pendapat ulama yang paling kuat.”

Hanya Allah yang memberi taufik-Nya.

 

4. Melaksanakan puasa sunat enam hari Syawal adalah sebagai bentuk syukur kepada Allah

Nikmat apakah yang disyukuri? Ia adalah nikmat ampunan dosa yang begitu banyak pada bulan Ramadan. Bukankah kita telah ketahui bahawa melalui amalan puasa dan solat malam selama sebulan penuh adalah sebab datangnya ampunan Allah Subhanahuwataala, begitu pula dengan amalan menghidupkan malam lailatulqadar pada akhir-akhir bulan Ramadan?

Ibnu Rajab mengatakan, “Tidak ada nikmat yang lebih besar daripada pengampunan dosa yang Allah anugerahkan.”

Hinggakan Nabi Sallallahualaihiwasallam yang telah diampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan akan datang banyak melakukan solat malam. Ini semua baginda lakukan dalam tujuan bersyukur atas nikmat pengampunan dosa yang Allah Subhanahuwataala kurniakan.

Ketika Nabi Sallallahualaihiwasallam ditanya oleh isteri tercinta baginda iaitu Aisyah radiallahuanha mengenai solat malam yang banyak baginda lakukan, Nabi Sallallahualaihiwasallam pun membalas:

أَفَلاَ أُحِبُّ أَنْ أَكُونَ عَبْدًا شَكُورًا

“Tidakkah aku senang menjadi hamba yang bersyukur?” (Muttafaq ‘Alaih)

Begitu pula antara bentuk syukur kerana banyaknya ampunan pada bulan Ramadan, pada penghujung Ramadan. Kita dianjurkan untuk membanyakkan berzikir dengan mengagungkan Allah Subhanahuwataala melalui bacaan takbir “Allahu Akbar”. Ini juga antara bentuk syukur sebagaimana Allah Subhanahuwataala berfirman:

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (puasa Ramadan) dan hendaklah kamu membesarkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah Al Baqarah: 185)

Begitu juga para salaf sering kali melakukan puasa pada siang hari setelah malamnya mereka diberi taufik oleh Allah untuk melaksanakan solat tahajud.

Ingatlah bahawa rasa syukur haruslah diwujudkan setiap saat dan bukan hanya sekali saja ketika mendapat nikmat. Namun setelah mendapat satu nikmat, kita perlukan kepada bentuk syukur yang seterusnya.

Terdapat bait syair yang sangat bagus dihayati, “Jika syukurku pada nikmat Allah adalah suatu nikmat, maka untuk nikmat tersebut diharuskan untuk bersyukur dengan nikmat yang semisalnya.”

Ibnu Rajab menjelaskan:

“Setiap nikmat Allah berupa nikmat agama mahupun nikmat dunia pada seorang hamba, semua itu patutlah disyukuri. Kemudian taufik untuk bersyukur tersebut juga adalah suatu nikmat yang juga patut disyukuri dengan bentuk syukur yang kedua. Kemudian taufik daripada bentuk syukur yang kedua adalah suatu nikmat yang juga patut disyukuri dengan syukur lainnya. Jadi, rasa syukur akan ada terus sehingga seorang hamba merasa tidak mampu untuk mensyukuri setiap nikmat. Ingatlah, syukur yang sebenarnya adalah apabila seseorang mengetahui bahawa dirinya tidak mampu untuk bersyukur (secara sempurna).”

 

5. Melaksanakan puasa sunat enam hari Syawal menandakan bahawa ibadahnya berterusan dan bukan bermusim

Amalan yang seseorang lakukan pada bulan Ramadan tidaklah berhenti setelah Ramadan itu berakhir. Amalan tersebut seharusnya berlangsung terus selama seseorang hamba masih menarik nafas kehidupan.

Sebahagian manusia begitu bergembira dengan berakhirnya bulan Ramadan kerana mereka berasa berat ketika berpuasa dan berasa bosan ketika menjalaninya. Sesiapa yang memiliki perasaan seperti ini, maka dia terlihat tidak akan bersegera melaksanakan puasa lagi setelah Ramadan kerana kepenatan yang ia alami.

Jadi, apabila seseorang segera melaksanakan puasa setelah hari Aidilfitri, maka itu merupakan tanda bahawa ia begitu semangat untuk melaksanakan puasa, tidak merasa berat dan tidak ada rasa benci.

Terdapat sebahagian yang hanya rajin ibadah dan solat malam pada bulan Ramadan saja, lantas dikatakan kepada mereka:

بئس القوم لا يعرفون الله حقا إلا في شهر رمضان إن الصالح الذي يتعبد و يجتهد السنة كلها

“Seburuk-buruk orang adalah yang hanya rajin ibadah pada bulan Ramadan saja. Sesungguhnya orang yang soleh adalah orang yang rajin beribadah dan solat malam sepanjang tahun.”

Ibadah bukan hanya pada bulan Ramadan, Rejab atau Syaaban saja. Asy-Syibliy pernah ditanya:

“Bulan manakah yang lebih utama, Rejab ataukah Syaaban?” Beliau pun menjawab, “Jadilah Rabbaniyyin dan janganlah menjadi Sya’baniyyin.” Maksudnya, jadilah hamba Rabbani, yang rajin ibadah pada setiap bulan sepanjang tahun dan bukan hanya pada bulan Syaaban saja. Kami kami juga dapat mengatakan, “Jadilah Rabbaniyyin dan janganlah menjadi Ramadhaniyyin.” Maksudnya, beribadahlah secara berterusan sepanjang tahun dan jangan hanya pada bulan Ramadan saja.

Alqamah pernah bertanya kepada Ummul Mukminin Aisyah mengenai amalan Rasulullah Sallallahualaihiwasallam: “Apakah baginda mengkhususkan hari-hari tertentu untuk beramal?” ’Aisyah menjawab:

لاَ، كَانَ عَمَلُهُ دِيمَةً

”Baginda tidak mengkhususkan waktu tertentu untuk beramal. Amalan baginda adalah amalan yang berterusan.” (HR Bukhari)

Amalan seorang mukmin barulah berakhir ketika ajal menjemput. Hasan al-Basri mengatakan, “Sesungguhnya Allah Taala tidaklah menjadikan ajal (waktu akhir) untuk amalan seorang mukmin selain kematian.”

Lalu Hasan membaca firman Allah Subhanahuwataala:

وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ

“Dan sembahlah Rabmu sampai datang kepadamu al-yaqin (iaitu ajal).” (Al-Hijr: 99)

Ibnu Abbas, Mujahid dan majoriti ulama mengatakan bahawa ‘al-yaqin’ adalah kematian. Dinamakan demikian kerana kematian itu sesuatu yang diyakini pasti terjadi.

Az-Zujaaj mengatakan bahawa makna ayat ini adalah sembahlah Allah selamanya. Ahli tafsir lainnya mengatakan, makna ayat tersebut adalah perintah untuk beribadah kepada Allah selamanya, sepanjang hidup.

Ayuh kita perhatikan perkataan Ibnu Rajab berikut:

“Sesiapa melakukan dan menyelesaikan suatu ketaaatan, maka di antara tanda diterimanya amalan tersebut adalah dimudahkan untuk melakukan amalan ketaatan lainnya.

Dan di antara tanda tertolaknya suatu amalan adalah melakukan kemaksiatan setelah melakukan amalan ketaatan.

Jika seseorang melakukan ketaatan setelah sebelumnya melakukan kejelekan, maka kebaikan ini akan menghapuskan keburukan tersebut.

Yang sangat bagus adalah mengikut ketaatan setelah melakukan ketaatan sebelumnya. Sedangkan yang paling buruk adalah melakukan keburukan setelah sebelumnya melakukan amalan ketaatan.

Ingatlah bahawa satu dosa yang dilakukan setelah bertaubat lebih buruk daripada 70 dosa yang dilakukan sebelum bertaubat.

Mintalah kepada Allah agar diteguhkan dalam ketaatan hingga kematian menjemput. Dan mintalah perlindungan pada Allah daripada hati yang terumbang-ambing.”

 

Semoga Allah senantiasa memberi taufik dan hidayah-Nya kepada kita untuk istiqamah dalam ketaatan hingga maut menjemput. Hanya Allah yang memberi taufik.

Semoga Allah menerima amalan kita semua pada bulan Ramadan dan memudahkan kita untuk menyempurnakannya dengan melakukan puasa sunat enam hari bulan Syawal, insya-Allah.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia