Dalam meraikan rahmat dan keberkatan pada bulan Ramadan, masjid dan surau dipenuhi jemaah, bazar Ramadan dikunjungi pelbagai pengunjung tanpa mengira kaum, etnik serta bangsa, malah terdapat jalan raya yang agak lengang ketika waktu berbuka.
Selain itu, pada bulan ini juga dilihat meningkatnya kesedaran melaksanakan amalan-amalan fardu dalam beragama, contohnya lebih ramai perempuan yang menutup aurat dan bertudung, manakala yang lelaki pula lebih selesa memakai kopiah juga berserban.
Namun, adakah situasi ini menggambarkan kejayaan falsafah berpuasa pada bulan Ramadan, atau sebenarnya sekadar manifestasi budaya tahunan yang telah kehilangan roh asalnya?
Puasa: Antara syariat dan adat
Pernahkah kita terfikir bahawa terdapat kemungkinan ibadah berpuasa pada bulan Ramadan pada era ini telah menjadi sebahagian daripada warisan budaya semata-mata dan bukannya amalan yang didasari oleh kefahaman syariat?
Ramadan kini seolah-olah diraikan sebagai acara tahunan, yang mempunyai pembuka dan penutupnya tersendiri, seperti satu “keraian” atau “pesta” yang datang dan pergi, tanpa meninggalkan kesan mendalam kepada jiwa yang melaksanakannya.
Apa yang dapat diperhatikan dan dianalisis dalam masyarakat kita pada era milenium 2000-an ini mendedahkan fenomena yang agak membimbangkan. Sikap dan amalan positif yang ditunjukkan sepanjang Ramadan akan lenyap sebaik sahaja Syawal menjelma.
Melalui pemerhatian ini, timbul dua persoalan utama: Adakah kita benar-benar memahami falsafah puasa atau sekadar menjalaninya sebagai adat turun-temurun?
“Persona Ramadan” dan kepura-puraan sosial
Boleh dikatakan pada saban tahun kita dapat menyaksikan kemunculan sesuatu yang boleh disebut sebagai “Persona Ramadan” iaitu watak sementara yang dilakonkan selama sebulan, antaranya:
- Orang yang menjadi pemurah, bersedekah membantu fakir miskin pada bulan Ramadan, tetapi mengabaikan golongan tersebut pada bulan-bulan yang lain.
- Wanita yang mengenakan tudung dan pakaian sopan sepanjang Ramadan, kemudian menanggalkannya sebaik sahaja memasuki Syawal.
- Mereka yang menahan kemarahan, berkelakuan baik, meninggalkan kata-kata kesat sepanjang Ramadan, tetapi kembali kepada tabiat buruk selepas berakhirnya Ramadan.
- Individu yang konsisten mengerjakan solat fardu dan solat Jumaat sepanjang Ramadan, namun meninggalkannya selepas Ramadan berakhir.
Situasi seperti ini menunjukkan berpuasa pada bulan Ramadan telah menjadi “kostum” yang dipakai kemudian ditanggalkan, bukannya dijadikan transformasi jiwa yang berkekalan.
Hal ini secara tidak langsung mengesahkan bahawa seseorang itu telah menjadikan bulan Ramadan sebagai “teater sosial” tahunan, iaitu seseorang itu berlakon sebagai watak Muslim yang lebih baik, sebelum kembali kepada “wajah” sebenar selepas berakhirnya Ramadan.
Ironinya, bulan Ramadan sepatutnya mengajarkan tentang kesederhanaan dan mengekang diri daripada berlebih-lebihan khususnya dalam perbelanjaan makanan. Apa yang dilihat adalah pada bulan Ramadan juga didapati “trend” perubahan dalam perbelanjaan yang berlebihan dalam masyarakat kita. Situasi ini dapat dilihat melalui:
- Perbelanjaan di bazar Ramadan yang melebihi keperluan.
- Persiapan berbuka yang mewah dan pelbagai menu yang jauh melampaui keperluan kesihatan badan.
- Kecenderungan untuk makan secara berlebihan selepas berbuka.
- Perbelanjaan melampau untuk baju raya dan persiapan sambutan Aidilfitri.
Tindakan tersebut dilihat sebagai suatu bentuk “penjajahan” terhadap konsep puasa kerana bertentangan dengan falsafah dan roh melaksanakan puasa seperti kesederhanaan, pengekangan diri dan empati terhadap mereka yang kurang bernasib baik.
Kejayaan Ramadan yang sebenar
Jika seseorang itu benar-benar menghayati dan mengukur kejayaan melaksanakan ibadah berpuasa pada bulan Ramadan dan ibadah lain, maka seharusnya bukan diukur melalui kehadiran ke masjid selama sebulan atau jumlah makanan yang disumbangkan kepada fakir miskin ketika berbuka.
Sebaliknya, kejayaan sebenar harus diukur melalui perubahan yang berlaku dalam kehidupan seseorang itu selepas Ramadan iaitu:
- Adakah kita masih mendirikan solat fardu dan solat sunat dengan konsisten?
- Adakah kita masih menyumbang kepada yang memerlukan walaupun bukan dalam bulan Ramadan?
- Adakah kita masih mengawal amarah, menjaga tingkah laku, memelihara akhlak dan menjaga tutur kata dalam pergaulan harian?
- Adakah kita masih menjaga batas-batas pergaulan dan pakaian sebagaimana yang dituntut oleh syariat?
- Adakah kita berbelanja mengikut keperluan atau berdasarkan tuntutan dan kemahuan?
Jika jawapannya masih tidak pasti, samar-samar dan banyak kepada “tidak”, maka kita perlu bermuhasabah, adakah pelaksanaan berpuasa pada bulan Ramadan hanya menjadi ritual budaya tanpa memberi kesan jangka panjang kepada spiritual?
Mencari semula falsafah puasa
Bagi mengembalikan roh sebenar berpuasa pada bulan Ramadan, kita perlu kembali kepada asas falsafah ibadah ini iaitu:
- Puasa pada bulan Ramadan sebagai latihan jiwa yang berterusan, bukan sekadar ritual tahunan.
- Berpuasa sebagai pembentuk disiplin diri yang kekal, bukan hanya bersifat pengekangan sementara.
- Berpuasa sebagai pemangkin empati sosial yang berkekalan, bukan simpati bermusim.
- Berpuasa sebagai penggerak perubahan peribadi yang progresif, bukan transformasi bersifat sementara.
Allah SWT menjelaskan bahawa matlamat utama berpuasa adalah untuk membentuk ketakwaan iaitu suatu keadaan jiwa yang sedar dan patuh kepada perintah-Nya dalam setiap aspek kehidupan pada setiap masa. Perkara ini dinyatakan melalui firman-Nya yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah ayat 183).
Kita perlu sedar bahawa Ramadan bukan hanya sekadar “bulan istimewa” dalam kalendar tahunan Islam, bahkan bulan ini merupakan ruang latihan intensif untuk membentuk jiwa yang lebih baik sepanjang tahun.
Transformasi yang dibawa oleh bulan Ramadan seharusnya menjadi pemangkin untuk perubahan berterusan, bukan sekadar pentas untuk menjadi pelakon yan baik selama 30 hari.
Menjadi tanggungjawab kita untuk membebaskan bulan Ramadan daripada “dijajah” yang menjadikannya sebagai ritual kosong tanpa makna mendalam. Seseorang itu perlu mengembalikan falsafah puasa yang sebenar supaya setiap amalan baik yang dilakukan dalam bulan Ramadan dikekalkan dalam kehidupan seterusnya.
Sebenarnya, Muslim yang berjaya bukanlah mereka yang hanya berubah selama sebulan pada bulan Ramadan, tetapi kejayaan itu bermula dengan menjadikan bulan Ramadan sebagai titik permulaan transformasi dirinya untuk sepanjang hayat.
Inilah cabaran sebenar yang perlu dihadapi bagi memastikan falsafah dan roh bulan Ramadan terus hidup dalam diri kita walaupun pada bulan-bulan yang lain.
Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open Universiti Malaysia