Puasa Ramadan: Meninggikan ITQAN, Menggapai Takwa

Artikel kali ini membincangkan tentang perilaku dan tingkah laku ITQAN dalam masyarakat. Apakah ITQAN itu? Kita deduksikan dengan mengulas maksud konsep induknya dari perspektif psikologi dan sosiologi. 

Maksud psikologi ialah kajian saintifik tentang manusia dan jiwanya, sedangkan pengertian sosiologi pula ialah kajian saintifik tentang manusia dan masyarakat. 

Psikologi sosial ialah kajian tentang bagaimana tingkah laku individu atau kumpulan dipengaruhi oleh kehadiran dan tingkah laku orang lain. 

American Psychological Association (APA) mentakrifkan psikologi sosial sebagai kajian tentang bagaimana pemikiran, perasaan dan tindakan individu dipengaruhi oleh orang lain, sama ada seperti yang sebenarnya, bayangan atau diwakili secara simbolik.

Pada dasarnya, persepsi dan tindak-tanduk mempengaruhi cara seseorang memproses maklumat, berkelakuan serta bertindak balas, dan ini adalah sesuatu yang cuba difahami oleh ahli psikologi sosial.

Persoalan utama yang difikirkan oleh ahli psikologi sosial ialah bagaimana dan mengapa persepsi dan juga tindakan manusia dipengaruhi oleh faktor persekitaran seperti interaksi sosial. 

Dalam mencari jawapan kepada persoalan asas itu, penyelidik menjalankan kajian empirikal untuk menjawab soalan-soalan khusus seperti: 

  1. Bagaimanakah individu mengubah pemikiran dan keputusan mereka berdasarkan interaksi sosial?
  2. Adakah tingkah laku manusia menunjukkan keperibadian yang tepat?
  3. Bagaimanakah tingkah laku sosial berorientasikan matlamat?
  4. Bagaimanakah persepsi sosial mempengaruhi tingkah laku?
  5. Bagaimanakah sikap sosial yang berpotensi merosakkan, seperti prejudis, terbentuk?

 

Psikologi sosial hati

Seperti sedang rindu tapi tidak tahu apa yang dirindukan, entah seseorang, keadaan atau perasan, ada yang mengatakan ini adalah gerak hati, firasat, deria keenam atau dejavu.

Dari perspektif psikologi sosial, keadaan ini disebut kembali ke homeostasis hati. Homeostasis dirujuk sebagai pengekalan atau mekanisme kawal atur persekitaran dinamik dalaman (badan organisma).

Homeostasis merupakan salah satu konsep yang paling penting dalam biologi. Bidang fisiologi pula mengklasifikasikan mekanisme homeostasis sebagai kawal atur dalaman organisma. Homeostasis hati adalah tentang perihal rasa dan meluah rasa, dalam erti kata mengenal diri, peribadi dan ekologi kendiri.

Kembali ke homeostasis hati bermakna keterlibatan aktiviti pengekalan atau mekanisme kawal atur persekitaran dinamik dalaman (kendiri) yang malar dan mengawal atur dalaman diri, berinteraksi positif dengan dunia serta mencapai kesempurnaan kehidupan.

Dari perspektif romantisme, dalam erti kata mudah, ia disebut rindu! Dari perspektif psikologi sosial Islami, kita selalu menyebutnya kembali kepada fitrah! Ia bermakna jiwa yang hidup punya fitrah!

Fitrah Ramadani

Manusia secara fitrahnya dilahirkan sebagai insan yang suci daripada segala dosa. Namun, di sepanjang tempoh kehidupan, manusia melalui pelbagai pengalaman yang boleh mengubah fitrah asalnya, khususnya apabila seseorang itu mencapai peringkat berakal iaitu berkewajipan menunaikan segala perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Asal kejadian manusia secara fitrah ini dinyatakan Rasulullah SAW dalam hadis baginda yang bermaksud:

“Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih); kedua-dua ibu bapanyalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Bukhari)

Apabila manusia melalui segmen kehidupan, maka perjalanan pengalaman kehidupan akan sedikit sebanyak mengubah fitrahnya dan menjadikan mata hati tertutup  daripada melihat kebenaran serta tidak lagi sensitif dengan kejahatan juga keburukan.

Lantaran, berlakulah dosa yang dilakukan oleh manusia yang akhirnya akan menyebabkan seseorang itu terjerumus kepada banyak perkara yang tidak baik.

Allah SWT dengan kebijaksanaan-Nya menciptakan manusia dalam keadaan yang terbaik, sudah menyediakan satu peluang yang besar untuk manusia kembali kepada fitrahnya.

Analogi mudah perihal fitrah ramadani ialah nostalgia Ramadan. Bilamana individu berpuasa, memori perihal makanan, orang tersayang, peristiwa dan kenangan akan menjelma.

Dari manakah ini semua datang dan terhasil? Jawapannya ialah dari fitrah suci individu itu sendiri yang bertitik tolak dari sesuatu yang suci, indah dan cinta! Walau kurma mentega diperkatakan sedap dan terkini, kurma lipas juga menjadi idaman.

Walau pelbagai masakan hipster terjual di bazar Ramadan, ayam percik juga yang dicari! Hati itu rindu berselawat, bertarawih dan menjamah moreh berkat! Itulah fitrah Ramadani!

Infra dan superstruktur Ramadani

Dalam teori sosiologi, masyarakat terdiri daripada dua bahagian: asas (atau substruktur) dan superstruktur.

Asas merujuk kepada cara pengeluaran yang merangkumi kuasa juga hubungan pengeluaran seperti keadaan kerja majikan-pekerja, pembahagian teknikal buruh serta hubungan harta benda, yakni ahli masyarakat menghasilkan keperluan dan kemudahan hidup. 

Superstruktur pula merujuk kepada hubungan dan idea masyarakat lain yang tidak berkaitan secara langsung dengan pengeluaran termasuk budaya, institusi, peranan, ritual, agama, media dan negaranya.

Perkaitan kedua-dua asas/substruktur dan superstruktur ini tidak sepenuhnya satu arah atau sehala. Superstruktur boleh menjejaskan asas. Walau bagaimanapun, pengaruh asas adalah penting dan utama!

Berbalik kepada superstruktur fitrah Ramadani tadi, ibadah puasa dilihat sebagai Superstruktur yang merujuk kepada hubungan dan idea masyarakat yakni budaya, institusi, peranan, ritual, agama, media dan yang sepertinya.

Superstruktur fitrah Ramadani ini dilihat selari dengan asas/substruktur yang turut dilihat mengukuhkan asas/substruktur itu sendiri yang berupa latar atau situasi psikologi sosial masyarakat yang telah dibincangkan lebih awal.

Lima tanda puasa tinggi ITQAN 

ITQAN adalah unsur terpenting dalam fitrah Ramadani sebagai superstruktur. Antara amanah dan ibrah Allah SWT kepada manusia ialah kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan.

Pada bulan yang mulia ini, manusia bukan sahaja memberi tumpuan kepada ibadat puasa semata-mata, tetapi turut menggandakan segala jenis amal ibadat kepada Allah SWT, sama ada mempertingkatkan kualiti ibadat seperti puasa itu sendiri dan khususnya solat sebagai ibadat utama serta tiang agama, bahkan juga ibadat lain seperti bersedekah dan membuat kebaikan kepada orang lain. 

Melaksanakan segala ibadat tadi bersama ITQAN (kualiti) dan ikhlas serta penuh iman juga yakin kepada Allah SWT pastinya akan menghasilkan satu impak yang besar kepada individu, keluarga, kelompok mahupun masyarakat secara umumnya.

Oleh itu, Allah SWT menjanjikan pengampunan daripada dosa apabila dilakukan dengan sempurna. Hikmah takwa telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam ayat yang memerintahkan kita supaya berpuasa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Berdasarkan ayat ini, jelas ditegaskan bahawa matlamat utama puasa itu ialah mencapai nilai takwa kepada Allah SWT. Mencapai tahap tertinggi dalam ibadat puasa adalah sesuatu yang mesti diletakkan sebagai sasaran utama setiap orang yang berpuasa.

Tahap tertinggi itu ialah bilamana seseorang itu berjaya menjaga hati dan mengawal hawa nafsu daripada memikirkan atau mendorong untuk melakukan perkara yang boleh membawa kepada dosa.

 

Hal ini bermakna puasa bukan semata-mata puasa fizikal (jasmani), tetapi juga puasa spiritual (rohani) – JASNI.

Nah, inilah matlamat sebenarnya yang dikehendaki daripada tarbiah (pendidikan) yang didapati daripada ibadat puasa iaitu mengembalikan manusia pendosa kepada Allah SWT, kepada fitrah yang suci murni.

Digambarkan oleh Rasulullah SAW bahawa keadaan seseorang itu setelah menjalani ibadat puasa pada bulan Ramadan dan diampunkan dosa oleh Allah SWT adalah  sebagaimana hari dia baru dilahirkan ibunya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa berpuasa Ramadan dan mendirikan solat malamnya dengan penuh iman dan harapan ganjaran pahala kepada Allah SWT, maka akan keluar daripada Ramadan sebagaimana hari dia dilahirkan oleh ibunya.” (Riwayat Ahmad, Nasa’i dan Ibn Majah)

Oleh yang demikian, kita hendaklah merebut peluang dalam bulan Ramadan yang mulia ini dengan melakukan ibadat puasa serta memperbanyak taubat kepada Allah SWT daripada segala dosa.

Taubat nasuha mesti dilakukan dengan perasaan menyesal, meninggalkan dosa itu dan berazam tidak melakukannya lagi. Jika memenuhi syarat itu, maka ia pasti diterima Allah SWT.

Apabila kita juga sudah bersih daripada dosa-dosa besar, di samping sudah tiada dosa-dosa kecil, maka sebenarnya kita sudah kembali kepada fitrah!

Maka, disyorkan lima formula tinggi ITQAN bukan sahaja dalam menjalani puasa sebagai superstruktur kehidupan, malah dalam arena kehidupan yang lebih luas ke arah kesejahteraan.

  1. Tidak hanya menghitung masa
  2. Kehidupan sebagai satu rahmat
  3. Nikmat harus disyukuri 
  4. Diam atau berkata baik
  5. Perhatikanlah solatmu kerana di sana ada yang lebih indah daripada kehidupan itu sendiri.

 

“Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (surah Al-An’am ayat 162)

 

Dr Rosfazila Abd Rahman
Pensyarah kanan/ Penyelidik/ Ketua Pasca Siswazah
Jabatan Pengajian Ketamadunan dan Pembangunan Insan, Fakulti Sains Sosial (FSS)
Universiti Islam Selangor (UIS)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia