PRU15: RUU Anti Lompat Parti Sinar Baharu Demokrasi Malaysia

PRU15: RUU Anti Lompat Parti Sinar Baharu Demokrasi Malaysia | IKRAM

Mutakhir ini, landskap politik yang tidak menyenangkan menyebabkan berlakunya kelesuan politik dalam kalangan rakyat. Hal ini dapat dilihat menerusi peratusan keluar undi semasa pilihan raya negeri seperti di Johor dan Melaka pada tahun lalu.

Dengan pertambahan pengundi muda menerusi pendaftaran pengundi secara automatik dan kelulusan RUU Undi18, kelesuan ini dibimbangi akan menyebabkan lebih ramai memilih untuk tidak keluar mengundi, lalu menjejaskan pengamalan demokrasi yang berdiri di atas representasi suara rakyat. 

Sikap sebahagian ahli politik yang tidak beretika dan mementingkan maslahat peribadi berbanding kebajikan rakyat menyebabkan rakyat muak dan kecewa terhadap politik negara. 

Malah, yang lebih membimbangkan apabila mereka merasakan tiada keperluan untuk cakna dengan isu semasa kerana beranggapan semua ahli politik adalah sama dan jijik.

Antara sikap tidak beretika seseorang ahli politik adalah ketika dia memilih untuk berpindah parti politik demi merebut kuasa dan jawatan yang dijanjikan selepas dipilih dan dilantik menjadi wakil rakyat menerusi proses pilihan raya. 

Sedangkan, ada rakyat memilih beliau melihat kepada integriti dan aspirasi parti yang diyakini mampu untuk mentadbir negara dengan lebih baik.

Sikap yang tidak bermoral ini semestinya memberikan tanggapan yang buruk terhadap ahli-ahli politik secara khusus dan terhadap pengamalan demokrasi di negara secara umum, seterusnya menatijahkan defisit kepercayaan dalam kalangan rakyat.

Menyedari hal ini, Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti telah diperkenalkan untuk melarang ahli-ahli politik bertukar-tukar parti politik demi menjaga kestabilan kedudukan mereka tanpa menghiraukan isu-isu rakyat. 

Dalam RUU ini, Ahli Dewan Rakyat yang keluar daripada parti politik dalam satu gabungan parti dan menyertai parti politik lain dalam parti gabungan yang sama atau berbeza akan dihentikan khidmat menjadi Ahli Dewan Rakyat.

Oleh itu, penggubalan akta anti-lompat parti telah mendapat sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen bagi meminda Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan. Dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 10(1)(c) memberi kebebasan individu untuk berpersatuan.

Apabila perkara ini dipinda, ia bermakna kebebasan tersebut tidak bersifat mutlak dan sekatan akan dikenakan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang berkaitan ahli parti politik di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara. 

Akhirnya, pada 28 Julai 2022 Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti telah diluluskan di Dewan Rakyat. Kelulusan rang undang-undang ini adalah harapan untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap pengamalan politik di Malaysia dan memulihkan kelesuan politik. 

Tambahan lagi, kelulusan rang undang-undang ini sendiri merupakan manifestasi kuasa rakyat dalam membentuk polisi dan dasar negara.

Justeru, ia merupakan sebuah kejayaan yang sepatutnya memotivasikan kita untuk turun mengundi PRU15 dan memilih wakil yang benar-benar bekerja untuk rakyat. 

Shakirah Ahmad Sharifuddin
Ahli Jawatankuasa IKRAM Legal

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia